Jabalah bin al-Aiham seorang raja daripada
raja-raja Ghassan. Iman telah menyusup ke dalam hatinya, lalu dia memeluk
Islam.
Kemudian dia menulis surat kepada Khalifah
Umar bin al-Khattab menyatakan hasratnya untuk datang ke Madinah.
Surat itu diterima Umar dengan penuh
kegembiraan. Kaum muslimin juga turut bergembira dengan perkhabaran itu.
Umar menjawab suratnya dengan mempersilakan
dia datang serta menyatakan bahawa hak kamu sama dengan hak kami. Tanggungjawab
kamu sama dengan tanggungjawab kami.
Maka Jabalahpun datang bersama 500 orang
tentera berkuda. Dia memasuki Madinah dengan memakai pakaian yang ditenun
dengan emas, di atas kepalanya terletak mahkota bertatah permata yang berharga.
Tenteranya juga memakai pakaian yang mewah-mewah.
Semua penduduk Madinah termasuk wanita dan
kanak-kanak keluar untuk melihat Jabalah serta ahli rombongannya.
Umar mengalu-alukan ketibaannya dan membawa
Jabalah duduk di sisinya di dalam majlis.
Apabila tiba musim haji, Umar berangkat ke
Makkah untuk menunaikan haji. Jabalah ikut serta menunaikan haji.
Ketika Jabalah sedang tawaf, tiba-tiba
kainnya dipijak oleh seorang lelaki miskin dari qabilah Bani Fizarah. Jabalah
berpaling ke arah lelaki itu dengan marah lantas menampar mukanya sehingga patah
hidungnya.
Lelaki itu mengadu kepada Umar.
Umar memerintahkan agar Jabalah datang mengadapnya.
Umar bertanya: apakah yang mendorong kamu
menampar saudaramu sehingga patah hidungnya?
Jabalah menjawab: sesungguhnya dia telah
memijak kainku. Kalaulah tidak kerana kemuliaan Baitillah, nescaya aku tetak
lehernya!
Umar: maknanya kamu telah mengaku
menamparnya. Maka kamu ada dua pilihan, sama ada memohon maaf daripadanya atau
jika tidak, kamu dikenakan qisas. Dia menampar muka kamu sebagaimana kamu
menampar mukanya.
Jabalah: dia akan membalas dengan menampar
mukaku, sedangkan aku seorang raja dan dia pengembala?
Umar: wahai Jabalah, sesungguhnya Islam
telah menyamakan antara kamu dengan dia. Tidak ada kelebihan seseorang ke atas
yang lain kecuali dengan taqwa.
Jabalah: kalau begitu, biarlah aku memeluk
kristian.
Umar: sesiapa yang menukar agamanya
(murtad), maka hendaklah dibunuh! Justeru, jika kamu meniggalkan Islam dan
memeluk kristian, aku pancung lehermu!
Jabalah: beri aku tempoh sehingga esok,
wahai Amirul-Mukminin ....
Umar: baiklah. Aku beri kamu tempoh itu.
Pada malamnya Jabalah serta pengikutnya
keluar dari Makkah menuju ke Qastantin lalu memeluk kristian.
Hari-hari berlalu berganti tahun.
Keseronokan dunia semakin padam. Jabalah mula didatangi penyesalan. Dia teringat
hari-hari berada di dalam dakapan Islam, teringat lazatnya solat dan siam
(puasa). Dia menyesal kerana meninggalkan agama yang benar dan mempersekutukan
Tahan semesta alam. Dia menangis sambil mengungkap syair:
Orang mulia memeluk kristian kerana malu
untuk satu tamparan
Apalah kemudaratannya kalau dia bersabar?
Hatiku dibalut perasaan sombong dan bongkak
Aku telah menjual mata yang sihat dengan
mata yang cacat.
Maka alangkah baiknya kalau aku tidak
pernah dilahirkan oleh ibuku
Alangkah baiknya kalau aku kembali kepada
apa yang telah diputuskan Umar untukku.....
Namun penyesalan hanya tinggal penyesalan.
Akhirnya dia mati dalam kekufuran hanya kerana sombong dan enggan tunduk kepada
Syari'at Tuhan semesta alam.
Dipetik daripada buku karangan Dr Muhammad
bin Abdul-Rahman al-'Arifi, "Fi Batnil-Hut".
No comments:
Post a Comment