"Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya
rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada padanya. (Bukan sahaja
Kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka
Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka;
maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya.”
(Al-Mu’minun:71)
Agak lama tidak sempat, tidak ada
idea untuk duduk menukilkan apa yang berligar di ruang minda apabila
mentadabbur ayat-ayat Al-Quran, kalam Allah yang maha besar, jelas dan penuh
hikmah.
Semalam saya dianugerahi ni’mat
mentadabbur ayat 71 surah ke 23 yang maksudnya tertera di atas. Kebetulan
terbaca satu laporan di laman maya themalaysianinsider.com yang memetik
kata-kata Obama bahawa “Negara perlu hormati hak LGBT, perkahwinan sejenis”
dengan hujjah-hujjahnya.
Tidak dinafikan, semua kita ada
perasaan, ada kecenderungan, ada fikiran, ada pertimbangan. Namun apakah
neraca, apakah jenis kayu ukur yang kita pegang untuk menilai yang mana betul
atau salah, yang mana baik atau buruk, yang mana menguntungkan atau merugikan?
Kalau anda membina sebuah rumah
yang sempurna, lengkap dengan perabot yang mewah, cantik dan menyenangkan
sesiapa saja yang memandangnya. Seorang tetamu datang lalu dia membuang air
besar di atas sofa di ruang tamu yang indah. Dan tetamu yang lain pula membuang
air besar di atas dapur tempat anda memasak. Manakala yang lain membuang air
besar di atas tilam di dalam bilik tidur anda. Adakah anda akan merelakan
mereka dengan alasan itu adalah hak asasi mereka dan anda tidak boleh menyekat
kebebasan mereka? Malah anda mesti menghormati jitarasa mereka membuang air
besar di atas sofa di raung tamu, di atas dapur dan di atas tilam di dalam
bilik tidur, padahal anda telah menyediakan tandas yang bersih dan selesa?
Tidak ada manusia berakal yang menjawab “Ya”, kita mesti membiarkan tetamu itu
berbuat demikian. Kita mesti menghormati jitarasanya.
Demikianlah perbandingannya hidup
kita di dunia ini. Kalau kita percaya ada Tuhan yang menciptakan dunia dan
segala isinya termasuk diri kita, maka kita wajib percaya Dialah yang berhak
menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh sebagaimana tuan rumah
berhak menentukan peraturan di dalam rumahnya. Kalau dibiarkan setiap orang
memilih ikut hawa nafsu mereka, bukan saja diri mereka yang rosak binasa, malah
langit, bumi dan segala isinya akan musnah.
Fikirkan kenapa Allah ciptakan
manusia ada lelaki dan ada perempuan? Supaya mereka berkahwin dan melahirkan
zuriat yang bersih suci sebagai pengganti untuk mempastikan wujudnya
kesinambungan manusia dari satu generasi ke generasi seterusnya. Hal ini tidak
mungkin terjadi kalau manusia berkahwin sesama jantina. Maka apa akan berlaku
kepada generasi akan datang kalau semua manusia diberi kebebasan untuk memilih
apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka? Mereka hanya sekadar mahu mengikuti
apa yang dapat memuaskan nafsu semata-mata yang bersifat sementara. Mereka
tidak memikirkan baik buruk, untung rugi pada masa akan datang sama ada untuk
diri mereka sendiri, apa lagi untuk umat dan alam sejagat.
Yakinlah bahawa Allah Yang
Bijaksana tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Semuanya mempunyai tujuan dan
hikmahnya walaupun kadang-kadang kita tidak memahaminya. Sesungguhnya jalan
terbaik adalah taat dan patuh kepada semua titah perintahNya sebagaimana
ungkapan Nabi s.a.w. apabila baginda menyeru manusia kepada Islam, baginda
berkata: “Aslim, taslam” yang bermaksud: “Masuklah Islam, serah diri kepada
Allah nescaya engkau selamat!”
No comments:
Post a Comment