Wednesday, November 18, 2015

Tazkirah yang membuatkan hatiku terkedu


Berkata Ibn al-Jauzi (510 – 597 hijriah) di dalam kitabnya Soidul-Khotir:

"Siksaan atau hukuman yang paling dahsyat ialah orang yang dihukum itu tidak merasai ianya satu hukuman. Dan lebih teruk daripada itu, dia rasa gembira dengan hukuman yang ditimpakan ke atasnya. Contohnya dia rasa gembira mendapat harta yang haram dan gembira dapat melakukan perbuatan dosa dan maksiat. Maka sesiapa yang begini keadaannya, dia tidak akan berjaya dengan ketaatan yang dilakukannya.

Sesungguhnya aku perhatikan hal ehwal kebanyakan yang bergelar ulamak, orang-orang yang berlagak zuhud, aku dapati mereka berada dalam keadaan dihukum sedangkan mereka tidak menyedarinya. Dan majoriti mereka yang ditimpa masalah sedemikian adalah di kalangan mereka yang mencari kedudukan.

Senarionya:
- yang alim, marah bila dibantah atau ditegur bila dia salah
- pemberi nasihat berpura-pura dengan nasihatnya
- yang berlagak zuhud munafiq dan menunjuk-nunjuk

Maka hukuman pertama ke atas mereka ialah berpaling dari mengingati Allah kerana sibuk memikirkan makhluk Allah. Dan sesiapa yang tidak menyedari hukuman ke atasnya, dirampas daripadanya kemanisan munajat dan kelazatan ibadat.

Kecuali orang-orang yang benar-benar beriman dari kalangan lelaki dan perempuan yang Allah pelihara bumi ini dengan kewujudan mereka. Batin mereka sama dengan zahir, bahkan yang batin lebih menyerlah. Rahsia mereka sama dengan yang nyata, bahkan yang rahsia (yang tersembunyi) lebih indah. Manusia tenggelam dalam kelalaian, mereka bertungkus lumus merentasi padang pasir menuju redha ar-Rahman. Mereka dikasihi oleh setiap inci muka bumi dan dikagumi oleh para malaikat penghuni langit.

Kami memohon agar Allah 'Azza wa Jalla memberi taufiq untuk mengikuti mereka dan menjadikan kami pengikut-pengikut mereka." Aamiin.

No comments: