Nukilan ISHAB
Semua umat yang ingin bangkit, perlukan
TIGA perkara:
-
mengenali musuhnya agar ia
dapat berjaga-jaga daripada tipu helahnya
-
mengenali mereka yang
menyayanginya agar ia dapat menjaga hubungan dan setia dengannya
-
mempunyai manhaj yang kemas,
jelas dan mantap untuk bangkit supaya dia dapat berjalan lurus di atas
landasannya tanpa menyimpang dan menyeleweng darinya.
Umat yang tidak mengenali musuhnya akan
terperangkap di dalam tipu dayanya dan
akan berkata dengan penuh penyesalan selepas hilang segala peluang "aku
telah dimakan pada hari lembu putih itu dimakan".*
Umat yang tidak mengenali orang-orang yang
menyayanginya, tidak mampu memanfaatkan kekuatan yang ada pada tangannya,
lantas akan menyesal pada ketika penyesalan tidak berguna lagi
Umat yang tidak menggariskan manhaj untuk
bangkit akan terumbang ambing dalam perjalanannya. Dia tidak maju walau
setapakpun. Sebaliknya mungkin akan terkebelakang beberapa tapak.
Dan umat yang dicintai ini sedang berjalan
menuju kebangkitan dengan menapak perlahan-lahan, jelas kelihatan pada setiap
aspek kehidupannya tanda-tanda kesuburan dan kesegarannya.
Namun, dari sudut lain engkau akan melihat
sesuatu yang menakutkan tentang masa depan kebangkitan ini, iaitu
Kejahilannya tentang musuh-musuhnya,
ketundukannya kepada mereka dan kelekaannya dari ancaman mereka,
Kejahilannya tentang orang-orang yang
menyayanginya, menjauhkan diri daripada mereka, tidak meletakkan kepercayaan
kepada mereka, tidak ikhlas dan setia terhadap mereka,
Tidak bersungguh-sungguh dalam menggariskan
manhaj yang ia berjalan di atasnya, dan tidak jelas objektif yang ingin
dicapainya.
Aku teringat bahawa pada suatu ketika sebuah
universiti di Amerika mengadakan satu perayaan. Antara pemidatonya ialah Prof
Jeffri yang memburukkan Islam dan mencerca Nabi s.a.w. di dalam pengajarannya
dan tulisan-tulisannya. Maka ramai di kalangan pembesar Mesir menerima jemputan
universiti itu ke upacara tersebut termasuk muslim yang soleh, warak dan
bersemangat dalam memperjuangkan Islam.
Masih ramai di kalangan masyarakat yang
menganggap Abu al-'Ato al-Jalindahri, Abdul Jalil Saad dan lain-lain tokoh
Qadyani dan Bahae sebagai pendakwah Islam.
Salah sebuah akhbar harian ada menyebut
bahawa seorang anggota pertubuhan Islam yang aktif juga menjadi anggota
pertubuhan pemuda Kristian beberapa ketika yang agak lama. Dan contoh-contoh
seperti itu sangat banyak di dalam masyarakat kita
Punca berlaku perkara yang sedemikian
adalah kerana:
Sama ada kita tidak mengenali musuh-musuh
kita, atau kita lemah sehingga tidak mampu untuk mengendalikan perasaan kita,
pendirian dan perlakuan kita.
Ramai dari kalangan reformis, saya tidak
suka mendedahkan nama-nama mereka, dipandang serung oleh masyarakat. Padahal
mereka itu, aku bersumpah dengan Nama Allah menggunakan perbelanjaan diri
sendiri dan perbelanjaan anak-anak mereka untuk berkhidmat kepada umat.
Kadang-kadang dia tidur dalam keadaan mengikat perut kerana lapar, namun dia
bangun pagi dengan perasaan bahagia dan puas hati kerana telah dapat berkhidmat
kepada umatnya. Ada di kalangan mereka yang selalu menangis memikirkan nasib
umat, berjaga sepanjang malam mencari jalan penyelesaian di kala manusia tidur
nyenyak. Namun di mata manusia mereka dianggap sebagai penipu dan mementingkan
diri sendiri.
Perkara seperti ini berlaku kerana beberapa
faktor. Antaranya: mudah tertipu dengan pandangan luaran, mudah terpedaya dan
menyerah kepada keadaan. Setiap orang yang pada zahirnya kelihatan selari
dengan kecenderungan kita dan keinginan kita dianggap sebagai 'orang kita'. Dia
bermuka-muka dan berpura-pura, pada hal di sebalik kepura-puraan itu terperap penyakit
yang amat berbisa. Dan setiap orang yang zahirnya tidak selari dengan nafsu
kita, dianggap musuh yang dibenci dan dijauhi meskipun hakikatnya dia
menyayangi kita dan sangat ikhlas terhadap kita.
Seperkara lagi yang mencadi punca ialah
sebatinya sikap suka mengambil hati
walaupun dalam perkara yang bukan hak kita. Sehinggakan ada di kalangan kita
yang sangat malu dan segan untuk berkata kepada orang yang bersalah itu:
"awak salah". Atau yang berasa segan untuk menunjukkan sikap
permusuhan apabila berdepan dengan musuh dengan. Bahkan selalu mengambil sikap ingkar dengan
hati yang merupakan selemah-lemah iman.
Akhlak mukmin bukan begitu. Mereka dituntut
supaya menyuruh makruf dan mencegah mungkar, menegakkan neraca keadilan,
menarik golongan batil kepada kebenaran dengan bersungguh-sungguh.
Kemudian apabila kamu berdepan dengan para
pemikir di kalangan umat ini dan pemacu kebangkitannya, kamu bertanya kepada
mereka pendapat mereka tentang landasan untuk sampai kepada matalamat yang ingin
mereka capai, kamu akan dapati percanggahan yang sangat pelik. Bahkan kalau
kamu tanya soalan yang sama kepada beberapa orang nescaya kamu akan kebingungan
kerana jauhnya jarak perbezaan dan percanggahan fikiran antara satu sama lain.
Percanggahan pada objektif, dan perbezaan
dari segi wasilah akan melemahkan umat, mensia-siakan potensinya dan memecahkan
kekuatannya. Bahkan ia membawa kepada pertembungan antara satu sama lain dan
tidak akan membawa kepada sebarang pencapaian selama-lamanya.
Oleh itu kewajipan kita yang pertama ialah menggariskan
manhaj dengan tepat, rapi dan teliti. Kemudian kita nilai manusia dengan neraca
yang betul. Setiap orang yang menolong kita, maka dia adalah orang yang
menyayangi kita yang mesti kita sayangi dan hormati. Dan setiap orang cuba
menghalang atau menjauhkan maka dia adalah musuh yang mesti dilayan sebagai
musuh. Bukankah iman itu neracanya cinta dan benci?
(Akhbar mingguan Ikhwan Muslimin, bil 30,
tahun pertama, 15 Zulqaedah 1352H bersamaan 1 Mac 1943M)
No comments:
Post a Comment