Ramai yang berpendapat bahaw pemimpin yang
ada sekarang kurang prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Lantaran
itu mereka perlu diganti.
Soalnya apakah ciri-ciri yang perlu ada
pada seorang pemimpin yang benar-benar boleh diharapkan dapat membela nasib
rakyat semua peringkat?
Untuk menjawabnya, mari kita perhatikan
ciri-ciri pemimpin yang dinyatakan di dalam al-Quran:
Firman Allah bermaksud: "Dan Nabi
mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut
menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa
memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu
daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka
berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan
telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan
tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan
kepada sesiapa yang
dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi
meliputi ilmuNya." (Al-Baqarah:247)
Di dalam ayat ini, Bani Israel menolak
perlantikan Talut sebagai raja mereka kerana dia bukan dari keturunan raja dan
bukan dari kalangan orang yang berharta. Namun Allah menyebut dua ciri utama
yang ada pada Talut yang melayakkan dia dipilih menjadi raja, iaitu keluasan
ilmu dan kekuatan tubuh badan. Keturunan dan harta bukanlah perkara yang utama
untuk melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin yang baik dan berwibawa.
Ciri seterusnya, firman Allah bermaksud:
"Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi
(Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi
mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf:55)
Apabila Nabi Yusuf alaihissalam ditawarkan
jawatan dalam kerajaan Mesir, beliau menawarkan diri untuk mengurus
perbendaharaan hasil bumi Mesir dengan alasan beliau mempunyai kepakaran dalam
bidang itu, iaitu hafeedz dan 'aleem. Hafeedz bermakna sangat menjaga dan
'aleem bermakna sangat mengetahui. Jadi orang yang hendak dipilih menjadi ketua
yang diamanahkan mentadbir negara dan menjaga kepentingan rakyat jelata mesti
memiliki dua ciri ini; yang sangat mengetahui cara mentadbir (berilmu la
maksudnya) dan sangat menjaga, atau dengan kata lain: amanah, tidak khianat,
tidak mengaut khazanah negara atau yang didermakan dari luar negara untuk
kegunaan atau kepentingan peribadi semata-mata.
Ada ilmu tanpa amanah, harta disalah guna
Ada amanah tanpa ilmu, harta diguna dengan
cara yang salah.
Berikutnya pula kita perhatikan firman
Allah Ta'ala yang bermaksud: "Salah seorang di antara perempuan yang
berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala
kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah
orang yang kuat, lagi amanah." (Al-Qasas:26)
Ayat di atas merupakan petikan daripada
kisah Nabi Musa alaihis-salam yang bertemu dengan dua orang gadis yang terpaksa
menjalankan kerja mengembala kambing disebabkan ayah mereka yang tua. Lalu
seorang daripada gadis itu mencadangkan supaya Musa diambil bekerja dengan
mereka. Perhatikan kebijaksanaan gadis itu menilai ciri yang mesti ada pada
calon yang hendak diambil bekerja sebagai pengembala kambing! Dia mestilah
seorang yang kuat lagi amanah.
Untuk menjaga kambing di sebuah ladang
milik satu keluarga sahaja mesti kuat lagi amanah, maka apa lagi kalau yang
hendak dijaga itu sebuah negara yang di dalamnya manusia, kambing dan segala
khazanah yang melata di atas bumi dan yang terpendam di dalamnya? Tidakkah
lebih-lebih lagi memerlukan kekuatan yang amat kental, bukan sahaja kekuatan
jasmani, malah kekuatan dalam semua aspek di samping sifat amanah yang tidak bolah
diketepikan sama sekali.
Kuat tanpa amanah, senanglah nak kaup semua
benda!
Amanah tapi tak kuat, bagaimana nak
pertahankan harta yang dijaga?
Di dalam ayat berikut, Allah berfirman
maksudnya: "Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang
membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap
sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat
keterangan Kami.” (As-Sajdah:24)
Dua ciri yang ditonjolkan di dalam ayat di
atas: sabar dan yakin kepada ayat-ayat Allah.
Menurut ahli tafsir, maksud sabar bukan
sekadar sabar dalam menghadapi kesukaran memimpin, sebaliknya yang lebih
penting adalah sabar ketika berhadapan dengan godaan dunia seperti senangnya
mengaut harta melalui projek-projek pembangunan, sogokan-sogokan dan lain-lain.
Manakala yakin kepada ayat-ayat Allah dapat
mengawal diri daripada sebarang bentuk kekeliruan atau tergelincir dari jalan
yang lurus.
Ibn Taimiah mengungkapkan dengan bahasanya
yang ringkas, tepat dan padat: "Dengan sabar pemimpin dapat mengawal diri
dari syahwat (keinginan kepada dunia),
dengan yakin pemimpin dapat mengawal diri
dari syubuhat".
Ciri yang berikut ini adalah berdasarkan
ayat-ayat yang memuji sikap serta keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. sebagai
seorang pemimpin yang paling unggul, yang wajib dicontohi oleh semua pemimpin.
Firman Allah Ta'ala bermaksud:
"Maka dengan sebab rahmat (yang
melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap
lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah
engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu)
dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam
urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah
berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi
orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Aali ’Imran:159)
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu
seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang
menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu,
yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan
perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
(At-Taubah:128)
Perhatikan sifat-sifat terpuji yang
menghiasi peribadi baginda s.a.w: pengasih, sangat mengambil berat, berlemah
lembut dan pemaaf. Baginda sentiasa memberi perhatian terhadap kesusahan yang
dialami oleh masyarakat dan sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah ummah
dengan cara yang paling bijaksana.
Mungkin ada yang bertanya, adakah pemimpin
yang memiliki semua ciri-ciri yang disebutkan itu?
Sesungguhnya ia tidak lahir dalam sehari
semalam. Tidak terjadi secara tiba-tiba. Tidak muncul dengan tongkat mukjizat
Nabi Musa. Ia mesti diusahakan. Mesti dibentuk dengan proses tarbiah yang
mantap dan berkesan. Sesungguhnya kenyataan hari ini adalah jelmaan mimpi
semalam. Ayuh kita sama-sama mengorak langkah menyediakan generasi yang bakal
memimpin umat ini pada hari esok mengikut model kepimpinan nubuwwah berteraskan
konsep khilafah.
No comments:
Post a Comment