Sedang hangat berita mengenai seseorang yang dipecat
dari jawatan timbalan presiden sebuah parti politik yang kini berkuasa di tanah
air kita yang tercinta.
Kepada kedua-dua pihak yang memecat dan dipecat,
marilah kita tadabbur firman Allah Ta'ala di dalam kitab suciNya yang
bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang
mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada
sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan
dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan
waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke
dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari
benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu
yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau
kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.” (Aali ‘Imran:26-27)
Ayat di atas menerangkan bahawa dalam hidup ini kita
mengalami perubahan dan pertukaran dari segi:
1. Kuasa. Kadang-kadang kita diberi kuasa, kadang-kadang kuasa ditarik
daripada genggaman kita.
2. Mulia dan hina. Ada ketika kita dipandang mulia, ada ketikanya kita
dihina.
3. Hidup dan mati. Hari ini kita hidup, namun pada bila-bila masa saja
hidup ini bertukar kepada mati.
4. Rezeki. Ada masa rezeki melimpah ruah. Namun ada ketikanya segala pintu
bagaikan enggan terbuka walau seketika cuma.
Kalau kita insaf adanya pertukaran serta perubahan di
dalam hidup ini, dan pertukaran serta perubahan itu bukan ditentukan oleh kita
atau sesiapa saja di muka bumi ini, tentunya kita tidak akan berlagak sombong
dan bongkak ketika berkuasa, disanjung sebagai orang mulia, bernafas lega
menghirup udara dalam timbunan harta berjuta-juta.
Dan begitulah juga sebaliknya, kita tidak mungkin
keciwa dan berputus asa andai dipecat, dihina dan dirampas segala yang ada pada
kita kerana sebagaimana Allah menukarkan malam menjadi siang dan siang menjadi
malam, begitulah pertukaran itu pasti berlaku dalam hidup kita, baik sebagai
individu mahupun sebagai suatu bangsa. Lebih-lebih lagi mereka yang sedang
berjuang untuk mengislah diri menuju negara rahmah, negara indah penuh
maghfirah.
No comments:
Post a Comment