Wednesday, February 17, 2016

TAUHID 3 – DI MANAKAH SALAHNYA?


Akhir-akhir ini sering kita dengar bahawa aqidah tauhid 3 punca keganasan, menyeleweng daripada ahli sunnah wal-jamaah, sehinggakan setengah majlis agama negeri mengharamkan buku yang membicarakan tentang tauhid 3.

Tauhid 3 terdiri dari tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma' wa sifat.

Rububiah berasal daripada kalimah rabb. Perkataan rabb dari segi bahasa bermaksud pemilik, tuan, pentadbir, yang membaiki atau yang memberikan kebaikan dan yang disembah. Ibn Jarir berkata: al-Rabb adalah satu daripada nama Allah yang bermakna sayyid (tuan), musleh (yang menjaga atau menjamin kebaikan urusan makhluk) dan malik (raja atau pemilik).
Ada pendapat yang mengatakan Rabb bermakna murabbi daripada perkataan tarbiah.
Maka tauhid rububiah bermaksud yakin dan percaya bahawa Allah adalah satu-satunya rabb, iaitu raja, tuan yang memiliki seluruh alam, yang mentadbir dan mengatur urusannya, yang menjaga kepentingan dan kebaikan makhlukNya dengan memberi rezeki serta segala yang diperlukan mereka, yang mendidik dan memberi hidayah kepada mereka. Inilah maksud yang terkandung di dalam firmanNya "alhamdulillah rabbil-alamin".

Uluhiah berasal daripada kalimah ilah. Ilah dari segi bahasa bermakna ma’bud, iaitu  yang disembah, yang diibadati atau yang dihambakan diri kepadanya. Ibadah atau sembah mengandungi makna taat, cinta serta takut. Maka tauhid uluhiah  membawa maksud mengesakan Allah Ta’ala dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya dalam semua aspek kehidupan, lahir dan batin dengan mentaati segala perintah serta laranganNya yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dengan penuh rasa cinta, takut serta mengharap redhaNya semata-mata. Inilah maksud yang terkandung di dalam kalimah syahadah la ilaha illa Allah.

Asma’ dan sifat bererti nama dan sifat. Tauhid asma’ dan sifat bermakna yakin dan percaya Allah mempunyai nama-nama tertentu. Setiap nama menunjukkan sifatNya yang maha tinggi, maha sempurna, maha suci dan maha agong, yang tidak serupa dan tidak sama dengan sesiapa dan apa saja sebagaimana ditegaskan di dalam firmanNya yang bermaksud “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.” (Al-Ikhlas:4).

Di dalam syahadah la ilaha illa Allah mengandungi semua jenis tauhid di atas kerana orang yang mengaku tiada tuhan yang layak dan berhak disembah kecuali Allah (tauhid uluhiah) pastinya tidak akan mengakui sedemikian kecuali kerana dia yakin dan percaya bahawa Allah adalah satu-satunya tuhan yang mencipta, memberi segala ni’mat, mengatur dan menjaga segala urusan makhluk termasuk dirinya (tauhid rububiah), dan tuhan yang mencipta dan mentadbir urusan makhluk pastinya memiliki sifat-sifat kebesaran yang tiada tanding, tiada serupa dan tiada tara dengan apa saja selain Nya (tauhid asma’ wa sifat).


Kalau saya berpegang seperti di atas, bahagian manakah yang bercanggah dengan aqidah ahli sunnah waljamaah? Bahagian manakah yang mengandungi unsur keganasan dan boleh mencetuskan keganasan?

1 comment:

atexin said...

Saya tak nampak apa2 yang salah