Thursday, June 30, 2016

Lailatus-Salam – Malam Kesejahteraan


"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”(5) – surah al-Qadar

Demikianlah kitab kita berbicara kepada manusia dengan kebenaran. Mendendangkan salam, menjulang salam dan memacakkan salam di atas muka bumi. Turunnya diiringi perarakan para malaikat, ia dibalut dan dialas dengan salam.
Ucapan sesama kita ketika berjumpa dan pada hari kita bertemu dengan Tuhan kita adalah salam. Di akhir solat dan munajat kita juga salam.
Allah Tuhan kita adalah al-Malik, al-Quddus, as-Salam yang menyediakan untuk hamba-hambaNya yang soleh syurga Darus-Salam.
Subjeknya (al-Quran) adalah salam. "Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka dan katakanlah: Selamat tinggal (Salam)! Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!” (Az-Zukhruf:89)

Dan ketika mana kita mengangkat salam sebagai slogan, kita tidak hanya menjadikannya sebagai teori semata-mata, atau sekadar mengambil maknanya yang zahir sahaja. Sebaliknya kita mengangkat salam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk hamba-hambaNya di bawah naungan Islam.
Salam yang Allah kehendaki tegak di atas dua tonggak:
Pertama: tegak di atas sistem sosial yang lengkap dan sempurna yang terkandung di dalam al-Quran yang diturunkanNya pada Malam as-Salam. Al-Quran datang mengisytiharkan ukhuwwah alamiyyah (persaudaraan sejagat), mengangkat darjat kemanusiaan dan menyerlahkan hakikat ketuhanan.
Di atas keadilan sosial yang kukuh di antara pemerintah dengan rakyat, antara yang lemah dengan yang kuat, antara yang faqir dengan yang kaya, antara lelaki dengan wanita. Islam menebarkan makna takaful yang sebenar di kalangan anggota masyarakat dalam semua aspek, menerapkan erti kasih mengasihi, kebahagiaan, ketenangan dan kesejahteraan.
Sesiapa yang membaca al-Quran dan memerhati dengan mendalam akan ajarannya, syari'atnya dan hukum-hakamnya, dia akan mengetahui kebenarannya, akan memahami fokus perbincangan kitab yang mulia ini. Ia tidak meninggalkan satu kebaikanpun melainkan disuruh manusia melakukannya dan tidak meninggalkan satu kejahatanpun yang menyakitkan mereka kecuali disuruh manusia menjauhinya. "... dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayat petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.” (An-Nahl:89)

Kedua: tegak di atas bahu umat yang beriman dengan system ini serta negara yang didirikan di atas system tersebut, yang benar-benar memahaminya, mempertahankannya, menyeru ke arahnya, menunjukkan kepada seluruh umat manusia akan kebaikannya, keindahannya serta kerahmatannya, dan berjihad di jalannya dengan segala keupayaan yang dimilikinya tanpa takut kepada celaan orang yang mencela. “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Maidah:67) “…mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela…” (Al-Maidah:54)

Demikianlah bergabung dua unsur, teori dan perjuangan secara amali. Maka terpeliharalah keamanan, tegak dengan teguhnya salam di persada bumi.

Dan kini wahai umat Islam, malam as-Salam muncul kembali menatang kenangan itu sebagaimana ia telah muncul lebih daripada 1370 (sekarang lebih daripada 1430) kali. Maka adakah kamu berasa cukup mengingati kenangan itu dengan hanya merenung ke langit berhibur melihat cakrawala dan bintang-bintang yang bergemerlapan, menunggu munculnya  keindahan mimpi dan khazanah angan-angan? Atau kenangan itu meniupkan ke dalam diri kamu keindahan, kerinduan, kesedihan dan semangat yang membara, lantas kamu membaharui janji dengan Allah, meneguhkan azam untuk kembali mengkaji system yang sempurna ini sehingga kamu benar-benar memahaminya, kamu bulatkan tekad di hati kamu untuk berjuang sehingga system ini tegak kembali di bumi dan seluruh alam bergema dengan dakwah ke arah penegakannya?!

Wahai Umat Islam…
Malam-malam Ramadhan yang sangat berharga ini sebentar saja lagi akan mengucapkan selamat tinggal. Ia telah bersiap-siap untuk berangkat pergi. Tidak berbaki lagi kecuali sedikit saja. Dan di hadapan kamu adalah malam yang diberkati yang lebih baik daripada 1000 bulan. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Solat lima waktu, jumaat ke jumaat, ramadhan ke ramadhan adalah menghapuskan dosa antaranya sekiranya dijauhi dosa-dosa besar.” (Muslim)
“Sesiapa yang qiam pada lailatul-qadar dengan iman dan ihtisab, diampunkan dosanya yang lalu.” (Al-Bukhari)
Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah:185,186)

Sesungguhnya di dalam ayat atas Dia telah menggesa hamba-hambaNya supaya merebut peluang sepenuhnya di bulan ini, mempersiapkan bekalan secukupnya, dengan bersyukur kepada Allah di atas ni’matNya, berterusan dalam mentaatiNya, memohon anugerahNya, tenggelam dalam munajat kepadaNya sehingga mereka dapat meraih kurnaiaanNya yang besar serta ganjaran pahala yang tidak ternilai yang disediakan untuk hamba-hambaNya yang taat kepadaNya.

Tidak ada seorangpun yang mengetahui di manakah dia pada Ramadhan akan datang? Dan di manakah Ramadhan akan datang pada dirinya?
Maka ambillah hari ini untuk hari esokmu. “…dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Maidah:8)


- Imam Hasan al-Banna rahimahullah

Monday, June 27, 2016

Menerima musibah dari perspektif TAUHID


Hidup ini merupakan pentas ujian. Setiap mukmin tidak akan terlepas dari diuji dengan berbagai-bagai ujian.
Dari satu segi, kita diuji kerana Allah sayangkan kita dan mahu mengampunkan dosa-dosa kita atau mahu mengangkat darjat kita di sisiNya. Di dalam sepotong hadis sahih, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang diambil daripadanya orang yang disayanginya dari kalangan ahli dunia, kemudian dia sabar dan mengharap pahala dari Allah digantikannya dengan syurga." Riwayat al-Bukhari.

Satu daripada bentuk ujian yang agak berat ialah dicemuh dan disakiti oleh manusia yang benci dan memusuhi kita. Penulis buku best seller la tahzan memberikan tips bagaimana menghadapi ujian seperti itu dari perspektif tauhid.

Pertama: Kemaafan. Hadapi gelagat mereka sama ada perkataan atau perbuatan yang menyakitkan dengan lapang dada, mengharap kebaikan untuknya serta berbuat baik kepadanya. Dengan kata lain, tahan diri dari marah, jangan sakiti dia, kemudian maafkan dan seterusnya melonjak ke martabat paling tinggi iaitu berbuat baik kepadanya.

Kedua: Qadha' qadar. Yakin bahawa kesakitan yang kita alami hasil tindakannya sebenarnya memang telah ditentukan akan menimpa kita. Musuh kita itu hanyalah alat atau perantaraan sahaja.  Maka terimalah ketentuan itu dengan redha

Ketiga: Kaffarah. Yakin bahawa ujian yang menimpa merupakan kaffarah daripada dosa-dosa kita, penghapus kesalahan dan kegelinciran kita serta mengangkat darjat kita di sisiNya

Keempat: Menginsafi kelemahan dan kecuaian diri. Sedari bahawa sesuatu musibah yang menimpa pastinya ada kaitan dengan kelalaian, kelemahan serta kecuaian diri sendiri. Maka ia memberi peluang untuk muhasabah dan membetulkan kesilapan.

Kelima: Puji dan syukur. Apabila kita disakiti dan dizalimi kita patut bersyukur kerana Allah jadikan kita orang yang dizalimi, bukan orang yang zalim. Para salaful-soleh sering berdoa, "ya Allah, jadikan aku orang yang dizalimi, dan jangan jadikan aku orang yang zalim!"

Keenam: Rahmah dan kasihan belasa. Apabila seseorang berterusan menyakiti kita, sepatutnya kita berasa kasihan kepadanya kerana dengan kelakuannya menyakitkan manusia lain itu sebenarnya dia menzalimi dirinya sendiri. Dia akan menerima pembalasan dari Allah apa yang dilakukannya ke atas orang lain. Alangkah kasihannya dia, alangkah malang nasibnya di kemudian hari. Oleh itu maafkanlah dia dan selamatkanlah dia dari kezaliman.


(Drpd buku "La Tahzan" halaman 223-225)

Wednesday, June 01, 2016

BAHAYANYA RAMADHAN!


Ya! Sangat bahaya. Kita sering diingatkan tentang kelebihan Ramadhan. Bulan yang penuh rahmah dan maghfirah. Bulan yang dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. Bulan di mana sekelian hamba berlumba-lumba mempertingkatkan ibadat dan menjauhi maksiat.

Namun terdapat golongan yang tidak mendapat apa-apa manfaat. Dosa mereka terus meningkat, jarak ke neraka bertambah dekat, rahmat Allah semakin jauh tak terhambat.
Itulah mereka yang tidak peka dengan kehadiran Ramadhan. Tidak membuat persediaan, tidak berusaha, tidak mengharap apa-apa kebaikan serta keampunan. Berterusan dalam kealpaan, tenggelam dalam kelalaian, leka dengan kemaksiatan.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. menaiki mimbar, lalu berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!". Maka seseorang bertanya, "Ya Rasulullah, sesungguhnya anda menaiki mimbar, lalu anda berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!"? Baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibril a.s. datang menemuiku. Dia berkata, sesiapa yang sempat memasuki Ramadhan, namun tidak diampunkan dosanya, lalu dia masuk neraka, maka Allah menjauhkan dia dariNya." Jibril menyuruhku berkata Aamiin. Maka akupun berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!" (Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 997)


Moga-moga kita dijauhkan Allah dari termasuk di dalam golongan seperti ini. Aamiin!!!