Monday, June 27, 2016

Menerima musibah dari perspektif TAUHID


Hidup ini merupakan pentas ujian. Setiap mukmin tidak akan terlepas dari diuji dengan berbagai-bagai ujian.
Dari satu segi, kita diuji kerana Allah sayangkan kita dan mahu mengampunkan dosa-dosa kita atau mahu mengangkat darjat kita di sisiNya. Di dalam sepotong hadis sahih, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang diambil daripadanya orang yang disayanginya dari kalangan ahli dunia, kemudian dia sabar dan mengharap pahala dari Allah digantikannya dengan syurga." Riwayat al-Bukhari.

Satu daripada bentuk ujian yang agak berat ialah dicemuh dan disakiti oleh manusia yang benci dan memusuhi kita. Penulis buku best seller la tahzan memberikan tips bagaimana menghadapi ujian seperti itu dari perspektif tauhid.

Pertama: Kemaafan. Hadapi gelagat mereka sama ada perkataan atau perbuatan yang menyakitkan dengan lapang dada, mengharap kebaikan untuknya serta berbuat baik kepadanya. Dengan kata lain, tahan diri dari marah, jangan sakiti dia, kemudian maafkan dan seterusnya melonjak ke martabat paling tinggi iaitu berbuat baik kepadanya.

Kedua: Qadha' qadar. Yakin bahawa kesakitan yang kita alami hasil tindakannya sebenarnya memang telah ditentukan akan menimpa kita. Musuh kita itu hanyalah alat atau perantaraan sahaja.  Maka terimalah ketentuan itu dengan redha

Ketiga: Kaffarah. Yakin bahawa ujian yang menimpa merupakan kaffarah daripada dosa-dosa kita, penghapus kesalahan dan kegelinciran kita serta mengangkat darjat kita di sisiNya

Keempat: Menginsafi kelemahan dan kecuaian diri. Sedari bahawa sesuatu musibah yang menimpa pastinya ada kaitan dengan kelalaian, kelemahan serta kecuaian diri sendiri. Maka ia memberi peluang untuk muhasabah dan membetulkan kesilapan.

Kelima: Puji dan syukur. Apabila kita disakiti dan dizalimi kita patut bersyukur kerana Allah jadikan kita orang yang dizalimi, bukan orang yang zalim. Para salaful-soleh sering berdoa, "ya Allah, jadikan aku orang yang dizalimi, dan jangan jadikan aku orang yang zalim!"

Keenam: Rahmah dan kasihan belasa. Apabila seseorang berterusan menyakiti kita, sepatutnya kita berasa kasihan kepadanya kerana dengan kelakuannya menyakitkan manusia lain itu sebenarnya dia menzalimi dirinya sendiri. Dia akan menerima pembalasan dari Allah apa yang dilakukannya ke atas orang lain. Alangkah kasihannya dia, alangkah malang nasibnya di kemudian hari. Oleh itu maafkanlah dia dan selamatkanlah dia dari kezaliman.


(Drpd buku "La Tahzan" halaman 223-225)

No comments: