Monday, October 31, 2016

BERAMAL DENGAN AMALAN YANG PALING AFDHAL


At-Tobrani meriwayatkan daripada hadis Umar r.a. secara marfu': "Amalan yang paling afdhal ialah menggembirakan orang mukmin; kamu beri pakaian yang menutup auratnya, atau makanan yang mengenyangkannya dari kelaparan, atau kamu tunaikan hajatnya."

Status hadis: sanad dhaif, maksud sahih kerana terdapat banyak hadis-hadis lain yang membawa maksud yang sama. Maka statusnya adalah hasan dengan sokongan-sokongan lain. (Jami' al-Ulum wal-Hikam, Ibn Rajab)

Kata kunci di dalam hadis di atas, amalan yang paling afdhal ialah menggembirakan orang yang beriman. Contoh-contohnya adalah memberi pakaian, makanan dan menunaikan hajatnya. Hakikatnya ruang untuk beramal dengan amalan yang paling afdhal itu sangat luas. Mukmin bukan sekadar memerlukan pakaian atau makanan. Mukmin perlukan layanan yang baik, kata-kata yang memberangsangkan, teman seperjuangan seiring sejalan, sahabat setia ketika susah dan senang dan lain-lain yang tidak terhitungkan.


Pengajarannya, siapapun kita, di manapun kita berada, peluang sentiasa terbuka untuk meraih pahala beramal dengan amalan yang paling afdhal. Fikirkan apa yang membuat orang lain gembira. Pastinya tidak sukar. Dengan melerek sebaris senyuman di bibir di hadapan seseorang mungkin dapat meleraikan gumpalan duka yang sedang membelit jiwanya ... dan siapa tahu Allah catatkan senyuman itu sebagai satu amal yang paling afdhal untuk anda pada hari itu!?

Tuesday, October 25, 2016

WBG dan Melancong ke Masjid al-Aqsa

 
Beberapa kali berpeluang mendengar pengalaman Dr Fauziah di dalam misi WBG yang amat mencabar, pahit getir dilambung ombak yang kadang-kadang ganas, dipukul ribut yang kadang-kadang kencang, ditahan dan dihalang oleh tentera zionis yang berhati binatang; saya teringat kepada sebahagian kita yang begitu selesa dan dengan bangganya menganjurkan program pelancongan setiap bulan ke Masjid al-Aqsa yang juga berada di bawah cengkaman zionis durjana. Mereka yang menyekat WBG, mereka itulah juga yang membenarkan orang yang hendak melancong masuk dengan selesa.
 
Kalau difikirkan, itulah sebenarnya bukti yang cukup jelas bahawa tanah air kita Palestin tercinta, Masjid kita yang mulia kini berada di bawah penguasaan musuh yang kejam dan rakus itu. Nak ziarah masjid kepunyaan kita sendiri mesti dengan kebenaran mereka. Tidakkah ini secara tidak langsung menunjukkan kita memperakui penguasaan mereka? Mengapa mereka membenarkan kita pelancong ke Masjid al-Aqsa? Adakah kerana mereka terlalu baik dan menghormati hak kita? Kalau ya, kenapa rakyat tempatan, warga Palestin yang bermestautin di tanah tumpah darah sendiri dihalang, disekat, ditangkap, dipenjara dan dibunuh sesuka hati mereka kerana bangkit berjuang untuk mempertahankan masjid al-Aqsa dan membebaskannya dari cengkaman mereka?
 
Sesungguhnya keizinan mereka kepada sebahagian umat Islam masuk melancong ke Masjid al-Aqsa hanyalah suatu helah untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka sebenarnya 'baik'. Mereka tidak menghalang umat Islam bersolat di masjid ke tiga mulia di sisi umat Islam itu. Oleh itu, kenapa mereka mesti diperangi dan dinyahkan dari bumi yang diberkati itu? Mereka tidak ada masalah untuk membenarkan sesiapa untuk solat di Masjid al-Aqsa kecuali orang yang berjihad untuk membebaskannya!
 
Lantaran itu, WBG yang terdiri dari hanya 13 orang wanita, majoritinya berpangkat nenek tidak boleh dibiarkan mendarat di pantai Gaza dengan selamat. Mereka mesti disekat. Mesti dihalang kerana mereka membawa satu misi yang besar, misi yang menggugat penguasaan zionis ke atas bumi Palestin dan rakyatnya yang sah, yang tidak henti-henti berjuang dan berusaha untuk membebaskan tanah air mereka, mengembalikan kedaulatan dan kesucian Masjid al-Aqsa dari kezaliman dan kedurjaan zionis yang hina.
 
Pergilah anda ribuan kali sekalipun untuk melancong. Mereka tidak ada halangan untuk keluarkan surat kebenaran masuk. Namun anda jangan dilihat ada niat untuk jihad menentang zionis yang menjajah bumi barakah itu. Niat untuk memerdekakan Palestin adalah satu jenayah yang amat digeruni dan dibenci oleh zionis.
 
Inilah sebahagian daripada alasan sesetengah ulamak yang tidak bersetuju dengan aktiviti pelancongan ke Masjid al-Aqsa pasa masa kini. Sheik Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata, pergilah kamu ke sana sebagai muharrir (pembebas) bukan sebagai saeh (pelancong).

Monday, October 10, 2016

Hairan Saya!!


Apabila timbul inisiatif WBG, yang mana seorang daripadanya adalah muslimah dari Malaysia, Dr Fauziah binti Mohd Hasan, tiba-tiba ramai yang bersuara menyatakan hukum tidak syar'ei, tidak patut, tidak ikut sunnah membiarkan wanita belayar tanpa mahram, mengangkat wanita di barisan hadapan dan bermacam-macam lagi.

Di manakah suara menegur kaum lelaki yang diam membongkam membiarkan Palestin lebih 60 tahun dijajah, masjid al-Aqsa diancam bahaya, penduduk muslim dihalau, warga tua, wanita, pemuda, kanak-kanak ditangkap, dibunuh, dipenjara tanpa belas kasihan?

Apakah hukumnya mereka yang tidak langsung bergerak dari tempat duduk, tidak bangun dari tidur yang lena sedangkan Allah memanggil mereka: "Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”. "‪[An-Nisaa’:75]

Apakah hukum mereka, khususnya lelaki yang tidak endah kepada agama dan umat Islam yang ditindas di mana-mana, walhal Nabi s.a.w. mengancam dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang mati, sedangkan dia tidak pernah berperang (di jalan Allah) dan tidak pernah terlintas di dalam dirinya untuk berperang, dia mati di atas satu cabang daripda nifaq (munafiq)” Riwayat Muslim

Pada pendapat saya yang dhaif ini, daripada kita berbalah tentang wajar atau tidak wanita musafir tanpa mahram, wanita ke depan di medah jihad membebaskan Palestin tercinta, pada hal ia merupakan masalah khilafiah, lebih baik kita focus perbincangan kepada apa lagi yang patut kita buat agar Palestin segera bebas dan kita sama-sama dapat solat di Masjid Aqsa dengan aman dan selesa. Seluruh warganya yang diusir lebih 60 tahun dapat kembali ke tanah air mereka dengan selamat. Penduduk Gaza yang dikurung di dalam penjara terbesar di bumi sendiri terlepas bebas ke sana ke mari mencari keperluan hidup di bumi Allah yang luas ini. Orang tua, kanak-kanak, wanita, para pemuda yang ditahan zionis di dalam penjara sejak sekian lama dibebaskan dengan segera. Orang-orang sakit, yang cedera kerana dibom dan ditembak penjahat zionis mendapat rawatan yang sebaik-baiknya.

Mari kita bincang dan ambil langkah yang segera. Jangan kata itu masalah orang Arab!!! Mereka yang dok berbalah sesama sendiri. Biar mereka selesaikan masalah mereka. Sesungguhnya Palestin bukan masalah Arab. Palestin adalah masalah kita. Pusat kepada segala masalah agama kita apabila kita memisahkan dua masjid yang Allah kaitkan di dalam satu ayat di dalam kitab suciNya, Allah gabungkan di dalam satu peristiwa besar di dalam sejarah perjuangan kekasihNya, Muhammad s.a.w. “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Israa' 17:1)



Friday, October 07, 2016

WBG –PATUTKAH MUSLIMAH TURUT SERTA???


WOMEN BOAT TO GAZA (WBG) telah berjaya menarik perhatian seluruh dunia ke arah memahami isu Palestin serta kekejaman Zionis yang menakluk dan menduduki secara zalim dan tidak sah di bumi Palestin yang diberkati.

WBG dianggotai oleh 13 aktivis wanita bersemangat waja dari pelbagai negara di dunia termasuk seorang muslimah wakil dari Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan yang amat dikasihi.

Namun di sana terdengar juga desas-desus suara sumbang mempersoalkan kewajaran inisiatif WBG sama ada dari sudut kemanusiaan maupun dari sudut hukum syara'.

Masih ada yang menganggap bahawa Palestin adalah masalah orang arab. Biar mereka selesaikan. Mengapa kita menyibuk? Di tempat kitapun masih ramai orang susah yang perlu dibantu. Luahan seperti ini tidak lahir kecuali daripada mereka yang buta sejarah serta jahil tentang agama.
Adakah mereka lupa bahawa Palestin adalah tanah haram ketiga selepas Mekah dan Madinah? Bumi anbiaa' yang diberkati, tempat letaknya masjid al-aqsa yang merupakan qiblat pertama kita, destinasi isra' dan permulaan mi'raj Rasulullah s.a.w.
Justeru, Palestin bukan isu arab. Membebaskan Palestin adalah tuntutan aqidah. Kewajipan seluruh umat Islam tak kira di mana mereka berada.

Ada yang berpandangan penyertaan muslimah dalam misi WBG tidak syar'ei kerana melanggar hukum larangan musafir tanpa mahram serta bercanggah dengan sunnah Nabi s.a.w. di mana jihad hanya dituntut ke atas kaum lelaki, bukan wanita.

Saya akan cuba ulas pandangan ini dari beberapa sudut.

Pertama dari sudut sunnah. Nabi s.a.w. tidak pernah menghalang wanita turut serta ke medan jihad. Baginda s.a.w. sendiri membawa bersama isteri -isteri baginda ke medan jihad secara bergilir dengan melakukan undian di antara mereka. Peranan sahabiat di medan perang seperti Ummu Sulaim, Nusaibah dan lain-lain sangat jelas sebagaimana termaktub di dalam kitab-kitab sirah.
Kisah Ummu Haram binti Malhan menjadi petunjuk jelas pandangan Rasulullah s.a.w. tentang penyertaan wanita di medan perang.
Daripada Anas bin Malik daripada Ummu Haram dia berkata, Rasulullah s.a.w. berada di rumahku, lalu baginda tertidur. Setelah terjaga, baginda bersabda: “Ditampakkan kepadaku sekelompok manusia dari ummatku, mereka berlayar di laut hijau ini seperti para raja di atas singgasana.” Ummu Haram lalu berkata, Aku berkata, “Wahai Rasulullah, do'akanlah agar aku menjadi sebahagian daripada mereka.” Beliau pun bersabda:
“Sesungguhnya kamu termasuk dalam kalangan mereka.” Kemudian Beliau tertidur kembali dan bangun dengan tertawa, maka aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yg menyebabkan tuan tertawa?” 
Beliau menjawab: “Ditampakkan kepadaku sekelompok manusia dari ummatku, mereka berlayar di laut hijau ini seperti raja-raja di atas singgasana.” Ummu Haram berkata, Kemudian aku berkata, “Wahai Rasulullah, do'akanlah agar aku menjadi sebahagian daripada mereka.” Beliau pun bersabda:
Kamu adalah termasuk yang pertama-tama….” [HR. Ahmad No.25790].
Mafhumnya, sekiranya jihad tidak dituntut dan tidak digalakkan ke atas wanita, pastinya Rasulullah s.a.w. akan membantah permintaan Ummu Haram r.a. sebanyak dua kali agar mendoakannya menjadi orang yang menyertai angkatan perang itu dan menerangkan bahawa pelayaran itu hanya khusus untuk kaum lelaki sahaja serta menjelaskan bahawa dia hanya boleh pergi kalau ada suami atau mahram bersama. Hakikatnya, Rasulullah s.a.w. bukan sahaja tidak membantah, sebaliknya mendoakan agar Ummu Haram termasuk orang yang pertama. Dan do'a Nabi s.a.w. terlaksana apabila Ummu Haram benar-benar pergi sehingga syahid dalam perjalanan itu.

Kedua, apakah tidak ada kaum lelaki yang patut pergi sehingga membiarkan kaum wanita pergi merempuh bahaya yang telah dijangka? Semenjak zionis mengenakan sekatan ke atas Gaza berbagai-bagai percubaan dilakukan untuk memecahkan kepungan yang merupakan penjara terbesar di dunia. Direkodkan bahawa enam kali telah berjaya dan dua belas kali ditahan.
Peristiwa Mavi Marmara yang turut disertai oleh 12 orang lelaki rakyat Malaysia pada tahun 2010 pastinya masih segar dalam ingatan kita. Dan ini merupakan percubaan yang julung-julung kalinya dianggotai oleh semua wanita mewakili 10 buah negara dianjurkan oleh Freedom Flotilla Coalition.

Ketiga, kalau dilihat dari sudut moral dan maslahah dakwah, ketika Dr Fauziah Mohd Hasan (DFH) ditawarkan menyertai WBG yang kebanyakan aktivisnya adalah non muslim, manakah yang lebih wajar? Menerima atau menolak atas alasan agama, padahal yang hendak ditolong itu umat Islam? Saya teringat kata-kata Rasulullah s.a.w. yang menyebut bahawa sekiranya baginda diajak untuk menanda-tangani perjanjian seperti perjanjian al-fudhul, baginda akan menyertainya. Ertinya, baginda tidak akan menolak sebarang usaha menegakkan keadilan dan membela golongan yang tertindas walaupun usaha itu datang dari bukan Islam. Apalagi yang hendak dibela adalah saudara kita, bumi kita, Palestin.

Keempat, larangan musafir tanpa suami atau mahram. Terdapat beberapa hadis yang berkaitan dengannya. Antaranya: ”Janganlah seseorang wanita itu musafir kecuali bersamanya mahram”. Lalu seorang lelaki berkata: ”Ya Rasulullah! Saya hendak keluar (berjihad) bersama angkatan tentera sekian dan sekian, sedangkan isteri saya hendak menunaikan haji?” Baginda menjawab: ”Keluarlah bersama dengannya (isterimu)”. Muttafaq ’Alaih dari Ibn ’Abbas.
Nas di atas serta lain-lain yang seserti dengannya menunjukkan larangan ke atas wanita musafir tanpa suami atau mahram.
Namun ulamak tidak sekata dalam memahami Hadis-hadis tersebut. Sebahagian mereka mengambil maknanya yang zahir. Manakala sebahagian lain melihat kepada sebab dan hikmah larangan itu.
Mereka yang mengambil maknanya yang zahir seperti yang disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah berpendapat wajib ada suami atau mahram. Al- Hanafiyyah juga berpendapat wajib ada suami atau mahram kecuali jika jarak tempat tinggal wanita itu kurang dari tiga marhalah. (’Atiyyah Saqar, jzk 2, m.s.134)
Mereka yang melihat kepada sebab atau illah larangan, antaranya Imam asy-Syafi’e sebagaimana disebut oleh an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim, tidak mensyaratkan suami atau mahram. Yang penting perjalanan itu selamat. Maka harus bagi wanita menunaikan haji sekiranya ditemani beberapa orang wanita yang thiqat kerana dalam hal ini boleh dikira selamat.
Begitu juga Imam Malik dan satu riwayat daripada Imam Ahmad, tidak mensyaratkan ada suami atau mahram untuk menunaikan haji fardhu.
Pandangan yang diutarakan di atas adalah berkaitan dengan haji wajib. Berkenaan haji sunat dan musafir lain yang tidak wajib, pandangan mereka juga berbeza.
An-Nawawi berkata: Adapun haji sunat, safar ziarah, tijarah (perniagaan) dan lain-lain yang tidak wajib, maka setengah mereka berkata harus keluar bersama kumpulan wanita yang thiqat seperti haji wajib. Jumhur berkata tidak harus kecuali bersama suami atau mahram dan inilah yang sahih.(Al-Majmuk, jzk 7, m.s.62)
Dalil jumhur adalah nas-nas yang telah dikemukakan di atas.
Para ilmuan masa kini seperti al-Ustaz Dr. Hasan Ahmad al-Kabir, Dekan Kulliyyah Bahasa Arab Universiti al-Azhar Zaqaziq, Syaikh Ali Jumah, Mufti al-Dayyar al-Misriyyah, Atiyyah Saqar cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus.
Dalil mereka yang mengatakan harus adalah:
1. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada ’Aadi bin Hatim bahawa Rasulullah s.a.w. menceritakan kepadanya mengenai perkembangan Islam pada masa akan datang dan tertegaknya panji-panji Islam di seluruh pelusuk bumi. Antara maksud ungkapan baginda dalam Hadis tersebut: ”... hampir-hampir seorang wanita dari al-Hirah di Iraq keluar menuju Baitillah tanpa suami bersama dengannya dan dia tidak takut melainkan Allah...” Hadis ini bukan sekadar suatu perkhabaran mengenai keluasan penyebaran Islam, sebaliknya ia menunjukkan keharusan wanita musafir tanpa suami. (Fatawa al-Mu’asarah, m.s.431)
2. Umar r.a. telah mengizinkan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. pergi menunaikan haji bersama Uthman bin Affan r.a. dan Abdul Rahman bin Auf r.a. sedangkan mereka berdua bukan mahram kepada kesemua isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Keizinan itu tidak pula dibantah oleh Uthman dan Abdul Rahman juga para sahabat yang lain. Ini boleh dikira sebagai ijmak di kalangan mereka.
3. Hikmah di sebalik pensyaratan wanita ditemani suami atau mahram ialah memastikan keselamatannya di dalam perjalanan dan memudahkannya melaksanakan segala urusan tanpa gangguan dan pergaulan yang tiada batasan. Kini semua masalah itu boleh diatasi dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, sama ada dari segi pengangkutan, penempatan serta keperluan-keperluan asas dan sampingan di sepanjang perjalanan serta masa melaksanakan ibadah.
4. Hadis-hadis yang melarang wanita musafir tanpa suami atau mahram ditakwilkan untuk zaman nubuwwah di mana kaum musyrikin menguasai Jazirah dan sentiasa mengintai peluang untuk melakukan sebarang tindakan yang mengancam keselamatan umat Islam. Dalam zaman sekarang, harus wanita musafir bersama taman yang amanah dan boleh dipercayai dengan izin suaminya sekiranya perjalanan itu aman serta keadaan negeri yang dituju itu aman. Keharusan ini tidak tertentu bagi haji sahaja, malah harus juga untuk tujuan belajar atau lain-lain tujuan yang tidak dilarang oleh Syara’. (Syaikh Ali Jum’ah, m.s.267)
Pandangan di atas juga bersesuaian dengan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Rabiul Awwal 1422 bersamaan 11 Jun 2001. Fatwa tersebut berbunyi: ”Diharuskan musafir bagi wanita untuk tujuan menunaikan haji sunat atau umrah sunat tanpa suami atau mahram dengan syarat-syarat yang ketat dan disiplin-disiplin tertentu”
Jawatankuasa telah menyenaraikan 17 syarat yang mesti dipatuhi.

Kesimpulan, Setelah diteliti pandangan para ulamak dahulu dan kini, didapati mereka mempunyai sudut pandangan yang berbeza sama ada wajib atau tidak wanita diiringi suami atau mahram atau boleh diganti dengan teman yang boleh dipercayai ketika musafir, sama ada musafir wajib atau bukan wajib. Perbezaan sudut pandangan ini berlaku hatta di kalangan ulamak mazhab yang sama. Malah ada di kalangan mereka seperti Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah dan lain-lain tidak mewajibkan diiringi teman langsung sekiranya perjalanan itu aman. Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, pengarangnya berkata, harus bagi perempuan mengerjakan haji atau umrah Islam bersama perempuan-perempuan thiqat. Bahkan mengikut qaul yang sahih, harus walaupun dengan seorang perempuan thiqah. Pada satu pandangan yang lain, harus ia mengerjakan haji atau umrah fardhu walaupun seorang diri sahaja sekiranya aman dirinya daripada fitnah. (Mughni al-Muhtaj, j.2, m.s.465)
Imam asy-Syafie sendiri tidak berpegang kepada zahir nas seperti yang diriwayatkan oleh an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim (jld 9, m.s.104): tidak disyaratkan mahram, bahkan disyaratkan keamanan dirinya.
Lantaran itu kita dapati beberapa orang dari kalangan ulamak zaman kini mertarjihkan wajib haji ke atas wanita dan harus bagi mereka musafir jika keselamatan dan kemudahan terjamin dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan cara ditemani suami, mahram, kawan yang amanah, pengendalian pihak berwajib atau lain-lain. Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. telah menunaikan haji dengan keizinan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. Umar telah mengutus Uthman bin Affan r.a. dan Abdul Rahman Auf sebagai pengiring mereka. Haji yang ditunaikan oleh Ummahat al-Mukminin r.anhunna itu adalah haji sunat kerana mereka telahpun menunaikan haji wajib bersama Rasulullah s.a.w. (’Atiyyah Saqar, j.2, m.s.134-135)

Kelima, kewajipan jihad fi sabilillah. Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, dinyatakan, “Jihad di zaman Rasulullah s.a.w. adalah fardhu kifayah. Ada juga yang berkata fardhu ain. Selepas zamannya, orang kafir berada dalam dua keadaan. Jika mereka berada di dalam negara mereka, tidak menyerang atau mengancam, maka jihad adalah fardhu kifayah. Dalam keadaan ini, tidak wajib jihad ke atas kanak-kanak, orang gila, wanita, orang sakit, orang cacat, kudung, lumpuh, tidak mempunyai keupayaan untuk berperang, dan yang berhutang kecuali dengan izin tuan hutang….
Keadaan kedua, mereka memasuki (menjajahi) negeri kita, maka wajib di atas semua warga menolak dengan apa cara yang boleh. Jika seseorang mampu mempersiapkan untuk perang, wajib ke atasnya    sedaya mungkin, termasuklah golongan faqir, anak tanpa izin ibu bapa, orang berhutang tanpa izin tuan hutang, hamba tanpa izin tuan dan isteri tanpa izin suami…
Dinyatakan juga bahawa jika golongan merdeka mampu melawan musuh, maka golongan hamba wajib mendapat keizinan tuan. Jika tidak, maka setiap orang yang diserang wajib mempertahankan diri walaupun dia tahu dia akan dibunuh. Orang yang tinggal kurang daripada jarak qasar solat daripada negeri yang diserang wajib membantu sama seperti orang yang tinggal di dalam negeri itu. Orang yang tinggal melebihi jarak qasar, wajib bantu sekadar mencukupi. Jika tidak mencukupi, wajib lawan seperti penduduknya dan yang berhampiran dengannya.
Jika musuh menawan seorang muslim, maka yang asah (paling sahih) wajib bangkit untuk membebaskannya….” (Mughni al-Muhtaj, jz 4, m.s. 208-220)
Palestin, bukankah tanah air kita? Orang kafir dah masuk berapa lama? Berapa ramai telah ditawan, malah dibunuh denga kejam? Tidakkah menjadi kewajipan ke atas kita semua membebaskannya dengan apa yang terdaya?

Keenam, dari segi bahaya sebenarnya satu-satunya ancaman yang mungkin ditempoh (selain bencana alam yang tak boleh dielak) adalah ancaman zionis sahaja. Hal ini sama sahaja sama ada yang pergi itu lelaki atau perempuan. Kalau bahaya itulah yang perkirakan dan dijadikan penghalang, maka sampai bilakah kita akan biarkan zionis terus bermaharajalela?

Allah jua Yang Maha Mengetahui. Moga-moga tulisan ini tidak tergelincir dari landasan Syara’.