Pada 11 hingga 13 November 2016 saya diberi
kesempatan menghadiri satu latihan kepimpinan yang dianjurkan oleh sebuah
syarikat yang gigih berjuang mengeluarkan produk halalan toyyiban untuk
kegunaan muslim khususnya dan umat manusia amnya di Indonesia.
Latihan yang berlangsung selama tiga hari
dua malam itu sangat luar biasa, mencabar dan amat berkesan.
Hari pertama para peserta seramai 105 (10
orang dari Malaysia dan selebihnya adalah dari Indonesia) diarahkan melaporkan
diri dan berkumpul di ibu pejabat syarikat (KanPus atau Kantor Pusat) pada jam
7.30 pagi.
Selepas diberi sedikit taklimat dan ucapan
perasmian, peserta dibawa ke lokasi program dengan menaiki trak askar
(tronton), duduk bersusun-susun dalam keadaan padat bercampur orang dengan
barang-barang keperluan. Perjalanan mengambil masa hampir tiga jam.
Daripada mula sampai, acara terus menerus
di dalam dewan. Berhenti sekejap untuk solat dan makan tengahari, kemudian
bersambung lagi. Ketika berhenti untuk solat maghrib dan makan malam, peserta
diarahkan supaya menukar pakaian untuk acara padang. Masa yang diberi hanya
sempat untuk tukar pakaian, tapi tak sempat mandi. Tambahan air bermasalah,
sekap keluar, sekejap kering.
Masuk ke dewan ada pengisian yang berlainan
daripada pengisian pada siang tadi. Pengisian sebelah malam berupa kuliah agama
tentang kepentingan membangun ekonomi umat dari perspektif agama. Mata mula
diserang ngantuk dan terasa agak bosan kerana dalam hati saya terfikir bahawa
kebanyakan poin-poinnya saya sudah tahu dan biasa dengar. Saya kerap melihat
jam di tangan. Sudah lebih 10 malam, ceramah masih belum nampak gaya untuk
berhenti. Saya menjangkakan, berdasarkan apa yang pernah dilalui semasa
menghadiri apa-apa program, ini merupakan acara terakhir untuk hari pertama.
Namun, jangkaan saya meleset. Ceramah berakhir sekitar jam 23.30.
Pengacara mengumumkan bahawa selepas ini
akan berlangsung acara padang! Subhanallah! Kami hanya diarahkan hanya membawa
lampu suluh dan sebatang pen. Selepas penyampaian motivasi yang penuh semangat,
kami diarah keluar berbaris di padang. Kemudian kami diberikan sebuah sampul
surat dan sehelai kertas bercetak. Komander mengarahkan supaya jangan dibaca
dulu apa yang tertulis di kertas itu. Beliau mengarahkan agar menulis nama ibu
dan bapa sendiri di luar sampul dengan jelas beserta alamat yang lengkap. Saya
tanya, kalau ibu bapa dah mati? Soalan itu disambut ketawa para peserta. Saya
terlupa mereka membahasakan panggilan ibu dan bapa kepada kita. Jadi maksud ibu
bapa itu adalah diri kita sendiri lah (ketawa). Selepas itu peserta diminta
menulis beberapa perkara di atas kertas yang disediakan dan menjawab
soalan-soalan. Kertas dilipat, dimasukkan ke dalam sampul, digam, kemudian
serahkan kepada komander.
Acara padang pertama ialah berjalan di atas
api. Sungguh tidak disangka bahawa ia benar-benar dilakukan. Semua peserta
disuruh berjalan di atas api yang sedang menyala sejauh lebih kurang 6 kaki.
Alhamdulillah dengan izin Allah tidak ada seorang pesertapun yang melecur
kakinya. Semuanya selamat dan dapat meneruskan acara seterusnya dengan
semangat.
Selepas semua peserta melalui ujian keberanian
berjalan di atas api, acara dilanjutkan dengan berjalan keliling tapak
perkhemahan secara berkumpulan seramai 10 orang satu kumpulan. Peserta
diwajibkan berhenti pada enam stesyen yang telah ditetapkan. Pada setiap
perhentian peserta akan ditanya dengan soalan-soalan mengenai wawasan diri,
bagaimana menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang dan sebagainya. Setengah
soalan dijawab secara perseorangan, ada soalan yang dijawab secara berkumpulan.
Setelah semua enam perhentian dilalui, fajarpun menjelma menandakan masuk waktu
subuh. Acara berhenti seketika untuk solat subuh, namun peserta diarahkan agar
tidak menukar pakaian walaupun sebagiannya sudah basah lenjun.
Selepas solat subuh, masuk ke dewan untuk
dengar kuliah subuh. Selepas kuliah, ke padang lagi melakukan senaman ala
senamrobik. Selepas senaman duduk dalam kumpulan untuk tasmi' al-Quran (peserta
telah diminta menghafal ayat 10 hingga akhir surah as-Sof sebelum datang ke
perkhemahan). Selepas itu bersarapan. Selesai sarapan, sambung acara padang.
Ada enam acara lagi yang mesti dilalui.
Setiap satu mempunyai objektif yang telah ditetapkan, iaitu membangun
sifat-sifat yang mesti ada pada pemimpin yang ingin menggapai kejayaan: patuh,
yakin, fokus, berani konsisten, berkorban dan komitmen. Acara pagi ini terdiri
dari berjalan dengan menutup mata sambil mengikuti arahan ketua, terjun di
dalam kolam disambut oleh ahli kumpulan, memanah, memasukkan air ke dalam cawan
yang ada bola sehingga bola timbul di permukaan kemudian tiup bola tersebut
supaya masuk ke dalam cawan kosong di sebelahnya, mengisi air ke dalam balang
yang berlubang, mengangkat cawan yang berisi air dengan tali dan membuat
bangunan manusia.
Selesai semua acara padang, berhenti
seketika untuk solat dan makan tengahari. Peserta dibenarkan untuk menukar
pakaian dan bersiap-siap bawa semua barang-barang ke luar dewan. Penginapan
mesti dikosongkan. Kami pulang ke penginapan untuk tukar pakaian, tapi tak
dapat mandi kerana air terlalu sedikit. Ada yang terpaksa basuh kencing dengan
air botol, hu hu.
Selepas solat dan makan, masuk ke dewan
untuk menerima arahan seterusnya. Acara seterusnya adalah apa yang disebut
sebagai latihan di lapangan selama 22 jam. Peserta dibahagikan kepada beberapa
kumpulan. Setiap kumpulan terdiri dari 9 atau 10 orang barjalan memasuki pekan
dan perkampungan di luar dari tapak perkhemahan. Tiada seorangpun dibenarkan
membawa wang walaupun satu sen. Yang boleh dibawa hanya produk untuk dijual.
Peserta mesti mencari ikhtiar sendiri, apa yang hendak dimakan dan di mana hendak
bermalam pada malam itu. Ketua kumpulan mesti melaporkan kepada urusetia di
mana lokasi dan apa yang terjadi kepada ahli kumpulannya pada pukul 17, 20, 24
dan 05 pagi esok. Semua peserta mesti pulang ke kem pukul 10 pagi esok dan
melaporkan apa yang dialami. Jalan yang terpaksa dilalui adalah berbukit-bukit
(agak tinggi jugala). Bolehlah dikatakan berjalan kaki naik bukit turun bukit
mencari prospek untuk menjual produk yang dibawa. Nak naik kenderaan, tidak ada
wang untuk bayar tambang. Sungguh menginsafkan. Bagaimana keadaan orang yang
tidak ada duit dan tidak ada sebarang produk untuk dijual. Nak makan apa
agaknya? Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan, lucupun ada, sedihpun ada.
Kami temui seorang wanita menjinjit sesikat pisang, mungkin baru pulang dari
pasar atau pulang dari tempat kerja. Tetiba ahli kumpulan kami ternampak sebiji
pisang terjatuh. Lalu beliau meminta izin dari wanita itu untuk mengambil
pisang yang jatuh itu. Beliau mengizinkan dan kami bahagikan sebiji pisang
kepada empat orang ahli kumpulan (yang lain telah jauh ke depan).
Perjalanan diteruskan. Produk belum
terjual. Menjelang maghrib hujan turun agak lebat. Seorang daripada ahli
kumpulan, kakinya terseliuh dan agak sukar untuk terukan misi. Kami singgah di
pekarangan sebuah hotel. Hendak menyewa tidak ada duit. Kebetulan pula memang
tidak ada bilik yang kosong. Kami ke suraunya, harap-harap boleh tumpang
bermalam. Malangnya surau itu tidak ada bilik atau tabir. Kemudahan tandaspun
tidak ada. Hanya tempat berwuduk sahaja. Dan tertulis pula notis tidak
dibenarkan tidur di dalam surau (musholla). Kembali semula ke pekarangan. Di
pinggir hotel terdapat sebuah warung kopi yang juga menjual barang-barang
runcit. Terserempak di situ dengan
beberapa orang anggota kumpulan (kelompok) lain. Mereka telah berjaya menjual
produk dengan jumlah yang agak lumayan. Pemilik warung memberitahu kakaknya
mempunyai rumah tumpangan yang agak besar dengan sewa yang berpatutan.
Alhamdulillah, kami sepakat bersetuju menyewa rumah tumpangan yang mempunyai
dua bilik tidur dan ruang tamu yang agak besar dan selesa untuk kami seramai 11
orang, gabungan kelompok (kumpulan) 5 dan 10.
Esok paginya selepas solat subuh, saya
diminta memberikan kultum (kuliah 7 minit). Antara poin yang saya sentuh ialah,
saya kagum dengan semangat, cita-cita serta wawasan para mentor dan leaders.
Mereka begitu ikhlas, gigih dan penuh semangat memperjuangkan apa yang menjadi
fardhu kifayah ke atas umat Islam dan mempunyai wawasan untuk menjadi seorang
muzakki (pengeluar zakat) yang paling banyak jumlahnya. Kalimah itu (menjadi
muzakki terbesar) membuatkan saya tersentak dan membuka minda saya. Saya dapat
melihat bidang perniagaan dari perspektif yang berbeza daripada apa yang saya fikir
sebelum ini.
Kemudian, aktiviti diteruskan. Kami mesti
pulang ke kem tepat jam 10.00 pagi. Jika
terawal atau terlewat akan didenda. Yang membuat saya teruja adalah cara mereka
menyambut kepulangan kami, para mentor dan leaders berbaris dengan memakai
pakaian seragam yang kemas. Nampak profesional dan terasa kami dihargai.
Sesi terakhir adalah pengumuman peserta
terbaik, kumpulan terbaik dan tercorot. Sebelum berlepas ke lapangan, penganjur
telah memaklumkan bahawa pemenang akan mendapat hadiah dan kelompok yang paling
rendah markahnya akan dihukum. Hukumannya adalah tidak berhak untuk pulang
dengan menaiki kenderaan yang disediakan oleh penganjur. Sebaliknya mereka
mesti mencari kenderaan sendiri untuk pulang ke HQ di Jakarta yang jaraknya
lebih daripada 100 km.
Setelah pengumuman dibuat, penganjur
bertanya kepada para peserta, setuju atau tidak kumpulan yang paling corot itu
tidak dibenarkan menaiki kenderaan yang disediakan untuk pulang ke Jakarta?
Peserta menjawab tidak setuju, sebaliknya berilah mereka peluang untuk pulang
bersama yang lain. Penganjur menjawab, tidak boleh kerana itu melanggar
peraturan yang telah ditetapkan. Mereka
meminta cadangan lain daripada peserta. Semua peserta sepakat untuk memberi
sumbangan bagi meringankan beban mereka. Pada masa itu juga tabung dibuka. Masing-masing
memasukkan wang sumbangan.
Sumbangan terkumpul melebihi 1 juta rupiah.
Pengacara menjemput ketua kumpulan untuk menerima sumbangan. Ketua kumpulan
menerima sumbangan dan menyampaikan ucapan ringkas. Di dalam ucapannya, beliau
berterima kasih kepada semua rakan-rakan peserta. Namun beliau telah berbincang
dengan semua ahli kumpulan, sumbangan ini akan diberikan kepada pihak yang
lebih memerlukan, iaitu saudara-saudara kita di Palestin. Ucapan itu disambut
tepukan serta takbir yang bergemuruh dari peserta. Pengacara lantas mengambil
peluang membuka tabung untuk Palestin sebagai tambahan kepada sumbangan
kumpulan yang kecundang tadi. Dan peserta bangkit berasak-asak memasukkan
sumbangan di dalam tabung (kotak kertas) yang disediakan. Sumbangan terkumpul
menghampiri 10 juta rupian dan sebentuk cincin emas. Kemudian cincin itu
dilelong dan terjual dengan bidaan tertinggi sebanyak 1 juta 5000 rupiah.
Itulah sekelumit pengalaman yang mampu saya
catat, namun yang tersirat pastinya berlipat ganda yang akan dikenang
insyaaAllah sepanjang hayat. Antara perkara yang saya belajar daripada program
tiga hari dua malam yang padat itu ialah:
1.
Membangunkan ekonomi umat
merupakan fardhu kifayah yang masih kurang diberi tumpuan oleh umat Islam
termasuk pertubuhan-pertubuhan Islam.
2.
Mengusahakan barangan kegunaan
yang halalan tayyiban adalah satu usaha murni yang mesti disokong
3.
Muslimin mesti berpadu tenaga dalam
usaha menembusi dan seterusnya menguasai pasaran di dalam kalangan umat Islam
sendiri khususnya dan manusia umumnya. Sampai bila kita harus bergantung kepada
produk yang dikeluarkan oleh pihak lain, terutamanya produk kegunaan harian
kita seperti sabun, ubat gigi dan lain-lain
4.
Muslim sepatutnya bercita-cita
untuk jadi kaya supaya dapat membanyakkan sumbangan untuk jidah fi sabilillah.
Bukankah Allah sentiasa menyeru orang-orang yang beriman agar berjihad dengan
harta dan jiwa? Kalau tidak ada harta, mana mungkin kita dapat menyahut seruan
itu? Menurut sepotong hadis sahih
riwayat Muslim, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.
Tangan yang di atas membawa maksud tangan yang memberi. Orang yang memberi
tentulah yang ada sesuatu untuk diberi.
5.
Tidak ada
batas usia untuk memulakan sesuatu. Nabi s.a.w. pernah berpesan, sekiranya qiamat telah terlalu hampir,
sedangkan ketika itu tangan kamu memegang benih pokok, andainya kamu sempat
tanam sebelum qiamat tiba di tempat kamu, tanamlah. Dan bagimu pahala. (riwayat
Ahmad) Perhatikan! Rasulullah s.a.w. sebut sekiranya qiamat telah terlalu hampir.
Baginda tidak kata sekiranya kamu hampir mati. Bezanya kalau kita mati ada anak
cucu atau orang lain akan nikmati hasil tanaman kita. Kalau qiamat, siapa lagi
yang hidup untuk nikmati hasilnya? Lagipun qiamat telah terlalu hampir.
Pastinya pokok yang ditanam itu tidak sempat mengeluarkan apa-apa hasil. Namun
Nabi s.a.w. hanya mahu kita terus berusaha dan tidak cepat mengalah dan
berserah kepada keadaan.
6.
Tujuh ciri
yang mesti dimiliki untuk Berjaya di dalam bisnes: PATUH, YAKIN, FOKUS, BERANI,
KONSISTEN, BERKORBAN, KOMITMEN.
Ok. Perkongsian yang panjang berjela. Ada sesiapa berminat untuk join?
Sila PM saya ye.
Apapun terima kasih kerana sudi membaca coretan ini. Maafkan saya
sekiranya anda rasa masa anda telah terbuang dengan sia-sia kerananya……