Sunday, November 06, 2016

Mudahnya nak kahwin!!!


Kisah yang akan saya kongsikan ini mungkin agak pelik jika dilihat dengan kacamata masyarakat sekarang. Tetapi apabila hakikat Islam itu difahami dan dihayati dengan tulus tanpa terikat dengan fahaman-fahaman dan adat istiadat yang tiada kaitan dengannya, maka ia menjadi begitu mudah dan indah.

Kisah ini diceritakan oleh Kathir bin Abi Wada'ah yang telah dipilih oleh seorang tabi'ein yang terkenal, Sa'eid bin al-Musayyab sebagai menantunya.

Sa'eid bin al-Musayyab adalah salah seorang tokoh tabi'ein yang terkemuka dalam bidang hadis dan fiqh. Dia merupakan seorang daripada tujuh orang fuqahak yang ulung pada zamannya. Dikenali sebagai seorang yang sangat berilmu, warak, dan zuhud.
Dilahirkan di Madinah pada tahun 15 hijriah, iaitu semasa pemerintahan Umar bin al-Khattab r.a.
Membesar  di Madinah al-Munawwarah memberikannya cukup peluang dan ruang untuk menimba ilmu dari para sahabat r.a. Ditakdirkan pula menjadi menantu kepada sahabat yang mulia, Abu Hurairah r.a.

Kathir menceritakan:

"Aku sering mengunjungi majlis ilmu yang dikendalikan oleh Sa'eid. Boleh dikatakan aku tidak pernah terlepas dari menghadirkan diri. Sehingga berlaku satu musibah di dalam hidupku menyebabkan aku tidak dapat hadir beberapa hari. Bila aku datang kembali, beliau bertanya:
-       Kamu ke mana?
-       Isteriku meninggal dunia. Maka saya sibuk menguruskannya, tuan.
-       Kenapa kamu tidak memberitahuku supaya aku dapat menziarahinya?
Kathir menyambung, Kemudian apabila aku hendak beredar meninggalkan majlisnya, dia bertanya:
-       Adakah kamu telah menemui wanita lain sebagai ganti?
-       Semoga Allah limpahkan rahmatNya ke atasmu, guruku. Siapakah yang sudi mengahwiniku? Saya tidak memiliki harta selain daripada dua atau tigs dirham!
-       Aku!
-       Tuan akan lakukan?
-       Ya!
Kemudian Sa'eid terus memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Allah, Muhammad s.a.w. (maksudnya membaca khutbah nikah), lantas menikahkan aku dengan puterinya dengan maskahwin sebanyak dua dirham.

Aku bangun dari majlis itu dalam keadaan tidak tahu apa harus dibuat kerana terlalu gembira. Aku beredar menuju ke rumah sambil berfikir dari manakah aku hendak ambil duit, atau dari siapakah aku hendak berhutang sebagai persiapan membawa pulang puteri Sa'eid? Aku berhenti solat maghrib. Kemudian aku pulang ke rumah. Hari itu aku berpuasa. Ketika aku sedang menyiapkan makan malamku yang berupa roti dengan minyak sahaja, terdengar pintu rumahku diketuk. Aku bertanya, siapakah anda? Terdengar suara dari luar menjawab, "Sa'eid!"
Aku cuba mengingati semua insan yang bernama Sa'eid, kecuali Sa'eid bin al-Musayyab kerana dia tidak pernah dilihat selama 40 tahun berjalan ke mana-mana selain berulang alik dari rumahnya ke masjid.

Aku bangkit dan membuka pintu. Ternyata yang datang adalah Sa'eid bin al-Musyyab. Aku menyangka bahawa dia telah menarik balik keputusannya menikahkan aku dengan puterinya. Aku berkata kepadanya:
-       Wahai Abu Muhammad, tuan tidak perlu bersusah payah datang ke rumahku. Hantarkan saja utusan, saya akan pergi menemui tuan.
-       Tidak! Kamu yang sepatutnya didatangi. Kamu tinggal bersendirian tanpa isteri. Jadi aku tidak suka kamu tidur malam ini seorang diri. Ini isterimu, aku hantarkannya kepadamu.
Kathir menyambung, tiba-tiba aku ternampak puterinya berdiri di belakang ayahnya. Sa'eid memegang tangan puterinya dan menariknya ke pintu rumahku. Wanita itu hampir terjatuh kerana malu. Dan aku menahannya.

Kemudian aku ke dapur, menyorokkan hidanganku supaya isteriku tidak melihatnya. Aku naik ke atas sutuh (bahagian atas rumah yang terdedah)   dan memanggil jiran-jiranku. Mereka menjenguk dari rumah masing-masing bertanyakan apa yang telah berlaku? Aku memberitahu mereka bahawa hari ini Sa'eid telah menikahkan aku dengan puterinya dan dia telah menghantar puterinya ke rumahku tanpa aku sedari dan sekarang dia berada di dalam rumahku. Jiran-jiranku datang bertemu dengan isteriku.  Berita itu turut sampai ke pengetahuan ibuku. Beliau segera datang dan berkata kepadaku, "Wajahku haram mengadap wajahmu sekiranya engkau sentuh dia sebelum aku persiapkan dia dan hiaskan dia!"
Ibuku membawa dia pulang ke rumahnya untuk menghias dan mempersiapkannya sebagai isteri. Selepas tiga hari ibu menghantarnya kepadaku. Selepas aku bersamanya, aku dapati dia adalah seorang wanita yang paling cantik, paling banyak menghafaz al-Quran, paling banyak ilmu tentang sunnah Nabi s.a.w. dan paling memahami hak suami dalam perkahwinan.

Aku memerap di rumah hampir sebulan tidak mengunjungi majlis Sa'eid dan Sa'eid tidak datang ke rumahku. Setelah hampir sebulan menyepi, aku ke majlis Sa'eid. Selepas memberi dan menjawab salam, kami tidak bercakap sehinggalah Sa'eid menghabiskan kuliahnya dan semua muridnya yang hadir telah beredar meninggalkan majlis. Setelah kami tinggal berdua, beliau bertanya:
-       Apa kahbar orang itu?
-       Baik wahai Abu Muhammad. Dia memiliki apa yang digemari oleh kawan sejati dan dibenci oleh musuh.
Selepas itu, aku pulang ke rumah. Sa'eid menghantarkan kepadaku wang sebanyak 20,000 dirham untuk perbelanjaan hidup kami....

Cerita Kathir berakhir di situ.
Abdullah bin Sulaiman berkata, puteri Sa'eid pernah dipinang oleh Abdul Malik bin Marwan untuk puteranya al-Walid ketika al-Walid dilantik menjadi putera mahkota. Namun Sa'aeid menolak dan memilih salah seorang muridnya. (Tobaqat Ibn Sa'ad)




No comments: