Sunday, November 06, 2016

Risiko Berkata Benar


Tidak dinafikan, berkata benar itu memang ada risikonya yang terpaksa ditanggung. Lantaran itu ramai di kalangan kita selalu berkira-kira dan teragak-agak untuk menyatakan perkara yang benar walaupun kita amat yakin akan kebenarannya. Antara sebabnya ialah perasaan takut; takut kena marah, takut orang tak boleh terima, takut kena buang kerja, diturunkan pangkat, hilang pengaruh, ditangkap, dan bermacam-macam lagi.
Islam tidak mengajar umatnya menjadi orang yang pengecut. Sebab itu kita diwajibkan beriman kepada qadha' dan qadar. Ajal dan rezeki telah tertulis di sisi Allah 'Azza wa Jalla. Kedua-duanya tidak akan berubah dengan sebab kita bercakap benar atau sebaliknya. Maka, apa yang hendak dirisaukan?
Rasulullah s.a.w. mengingatkan tentang hal ini menerusi hadis-hadis yang disampaikan oleh Abu Sa'eid al-Khudriy r.a. bermaksud:
"Ingatlah! Janganlah sekali-kali kamu dihalang oleh rasa gerun dan takut kepada manusia untuk mengatakan perkara yang benar jika kamu melihat atau menyaksikannya. Sesungguhnya mengatakan yang benar atau menyebut sesuatu yang besar implikasinya itu tidak akan memendekkan ajal kamu dan tidak akan menjauhkan rezeki kamu." Dan sabdanya bermaksud:

"Janganlah kamu menghina dirimu sendiri, apabila melihat sesuatu yang melibatkan agama Allah yang patut kamu sebut tetapi kamu tidak menyebutnya. Pada hari qiamat nanti kamu akan ditanya, "apa yang menghalang kamu berkata atau menyebut tentang perkara itu dan itu?" Ketika itu kamu akan menjawab, "takut kepada manusia!" Maka Allah akan berkata, "Akulah yang paling berhak untuk ditakuti!" Riwayat Ahmad (Mukhtasor Tafsir Ibn Katsir).

No comments: