Thursday, September 07, 2017

TIDAK MUNGKIN AKU MENGHITUNG NI’MATMU YA ALLAH!!!



Engkau ciptakan aku daripada tidak ada kepada ada
menjadi insan yang sempurna
akal yang sejahtera tidak gila
mata yang boleh melihat dan membezakan warna-warna
telinga yang boleh mendengar dan mengecam suara-suara
jantung yang berdenyut tiap ketika
paru-paru yang menyedut udara
dua biji buah pinggang yang membersihkan darah dari racun yang berbahaya
tangan yang boleh menghulur dan menggenggam apa saja
kaki yang boleh berjalan dan melangkah ke mana jua
mulut, gigi, lidah untukku mengunyah dan berbicara
semua pancaindera termasuk menghidu dan merasa
organ-organ memproses makanan, menghadam, menyerap dan membuang
sel-sel, kelenjar-kelenjar, hormon-hormon yang berfingsi tanpa aku sedari
urat-urat saraf yang besar, kecil dan halus menjalar ke seluruh anggota tubuh
dan... dan... dan...
Dan di luar pula:
matahari yang memancarkan cahaya
bulan bintang yang menyinari malam gelita
bumi yang terhampar luas saujana
langit biru yang luas entah di mana penghujungnya
udara yang segar, cuaca yang nyaman, angin yang menyejukkan
air yang mengalir membawa kehidupan
pokok-pokok yang menghijau
tumbuh-tumbuhan yang beraneka, menegak dan menjalar
haiwan-haiwan jinak dan liar
galian dan logam di daratan dan di lautan
dan... dan... dan...

Ya Allah...
Engkau jua yang memilih siapa ayah dan ibuku
Bukan Firaun, Namrud, Abu Jahal, atau Abu Lahab
Engkau yang mentakdirkan zaman kelahiranku
Bukan menjadi umat Nabi Lut, Nabi Nuh, atau Nabi Hud
Yang Engkau musnahkan kerana keingkaran

Lantaran itu,
Meski sebanyak manapun aku bersyukur
Tidak mungkin dapat mengimbangi segala ni’matMu
Malah syukur itu sendiri adalah ni’mat yang perlu disyukuri.

Aku laksana seorang miskin yang tidak punya upaya
Diberi hutang oleh si kaya setiap hari RM1,000,000
Dan aku hanya mampu membayar RM1 setiap hari
Maka sepanjang hayatku tidak mungkin aku dapat melunaskannya

Justeru, ampunilah aku, rahmatilah aku

Oh Tuhanku Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani

No comments: