Tuesday, April 24, 2018

BEKERJASAMA DENGAN NON MUSLIM – ANTARA HALAL DAN HARAM


Antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh sebahagian umat Islam hari dan menjadi kerisauan mereka ialah hukum bekerjasama dengan orang kafir, atau orang-orang Islam yang pada pandangan mereka tidak atau kurang islamik mengikut piawaian mereka, khususnya di dalam pilihanraya.

Setengah pihak menganggapnya sebagai persoalan aqidah yang boleh membatalkan keimanan dan keislaman seseorang apabila memilih untuk bekerjasama dengan orang yang tidak sampai ke standard piawaian mereka. 

Apabila kita cuba mengemukakan pendapat yang berbeza, dituduhnya pula kita ini hendak mengelirukan Islam serta umatnya.

Hakikatnya persoalan meminta pertolongan orang kafir dan bekerjasama dengan mereka di dalam peperangan melawan musuh yang jelas kafirnya adalah sesuatu yang khilaf di kalangan fuqahak. 
Ingat poin ini: Meminta tolong dalam peperangan menentang kafir yang jelas permusuhannya dengan Islam! Ia pastinya tidak sama dengan bekerjasama di dalam pilihanraya.

Saya cuba kemukakan pandangan fuqahak tentang meminta tolong dengan kafir atau isti’anah bil-kuffar dalam peperangan menentang orang kafir.

Ibn Qudamah di dalam kitabnya “Al-Mughni” berkata: “Tidak harus isti’anah (meminta tolong) dengan orang musyrik”. Demikian juga pendapat beberapa orang ulamak yang lain. Ahmad bin Hanbal mengatakannya harus. Dan ini merupakan pendapat mazhab asy-Syafie. Dalilnya ialah yang disampaikan oleh az-Zuhri bahawa Rasulullah s.a.w. meminta pertolongan daripada beberapa orang Yahudi dalam peperangannya dan memberikan mereka bahagian daripada ghanimah. Juga kisah Sofwan bin Umayyah yang ikut Nabi s.a.w. dalam peperangan Khaibar. Sofwan ketika itu masih musyrik. Dan Rasulullah s.a.w. telah memberikannya habuan daripada ghanimah.
Namun mereka berkata keharusan meminta tolong orang musyrik dalam peperangan menentang golongan kuffar adalah dengan syarat mereka mempunyai sikap dan pandangan yang baik terhadap muslimin. Jika tidak diyakini pendirian mereka, maka tidak harus. 

Dalil ulamak yang mengatakan tidak harus isti’anah dengan orang kafir ialah beberapa hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w menolak bantuan yang ditawarkan oleh musyrik. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a.

Beliau berkata: Rasulullah s.a.w. berangkat ke Badar. Sehingga apabila baginda tiba di Hurah al-Wabarah, baginda didatangi seorang musyrik yang terkenal dengan sifat pintar dan berani. Orang-orang Islam bergembira dengan kehadirannya. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku datang untuk mengikutimu berperang bersamamu”. Rasulullah s.a.w. bertanya: “Adakah engkau beriman dengan Allah dan RasulNya?” Dia menjawab: “Tidak!” Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: “Pulanglah. Aku tidak akan meminta tolong dengan musyrik”. 
Aisyah r.a. menambah: Kemudian Rasulullah s.a.w. meneruskan perjalanan sehingga baginda tiba di Baidaa, sekali lagi lelaki itu menemuinya. Maka Rasulullah s.a.w. bertanya: “Adakah engkau beriman dengan Allah dan RasuluNya?” Dia menjawab: “Ya!” Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: “Ayuh!” Muttafaq ‘alaih.

Itu berkaitan dengan pemimpin Islam hendak berperang menentang musuh dari kalangan orang kafir.

Bagaimana pula jika pemimpin itu orang jahat dan fasiq? Jika dia mengajak atau mengerah rakyatnya untuk menentang musuh, adakah rakyatnya wajib taat? 

Persoalan ini ada jawapannya di dalam kitab (Kasysyaful-Qina’) : “Dan (rakyat) hendaklah ikut berperang dengan semua pemimpin sama ada pemimpin itu baik atau jahat yang memelihara kepentingan muslimin. Ini kerana terdapat hadis marfu’ yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bermaksud: “Jihad itu wajib ke atas kamu bersama dengan semua amir (pemimpin) sama ada dia baik (birr) atau jahat (fajir)” Riwayat Abu Daud. 
Selain itu terdapat hadis sahih yang menyatakan: “Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat (fajir)”. 
Dan dalil aqlinya, sekiranya rakyat tidak ikut serta berperang bersama dengan pemimpin yang fajir akan mengakibatkan puak kuffar menang dan muslim kalah. Pemimpin yang fajir dan fasiq kerana menipu, minum arak dan sebagainya itu merupakan dosa yang ditanggungnya sendiri, tidak menjalar kepada orang. Oleh itu, tidak ada sebab yang menghalang rakyat untuk berperang bersama dengannya demi menjaga kedaulatan negara.”

Perbincangan di atas adalah berkaitan dengan situasi Negara yang dipimpin sepenuhnya oleh orang Islam. Terdapat dua situasi yang disebutkan di atas, iaitu situasi pertama pemimpin yang baik membawa bersamanya tentera yang tidak beriman. 
Dan situasi yang kedua pemimpin yang jahat mengajak mukmin yang baik berjuang bersama dengannya.

Situasi pertama, ulamak khilaf antara harus dan tidak harus.
Situasi kedua, tiada khilaf.

Berbalik kepada situasi sekarang. 
Negara ini adalah sebuah Negara demokrasi berparleman. 
Rakyatnya terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. 
Setiap rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama tanpa mengira bangsa dan agama. 
Pemimpin dipilih berdasarkan undi di dalam pilihanraya. 
Undi muslim atau non muslim, baik atau jahat dikira sama; satu orang satu undi.
Saat ini seluruh rakyat diberi peluang untuk memilih pemimpin yang akan mentadbir Negara untuk tempoh tidak lebih daripada lima tahun. 
Ertinya sekarang belum ada pemimpin. 
Semua kita sedang berusaha untuk melantik pemimpin. 
Kita sekarang bukan sedang berjuang untuk menentang kuffar. 
Dan bukan dipimpin oleh mukmin untuk menentang kafir.

Jadi, bolehkah kita meminta tolong dan bekerjasama dengan orang kafir dan orang jahat untuk memilih pemimpin?  Bolehkah kita qiaskan keadaan kita sekarang dengan suasana yang disebut di atas?

Harus diingat bahawa dalam konteks pilihanraya, meminta tolong dan bekerjasama dengan non muslim dan fajir, termasuk mengundi calon dari kalangan mereka dan mendapatkan undi mereka.

Kalau  kita katakan tidak boleh, apakah ianya bermakna tidak boleh kita mendapatkan undi mereka? Adakah kita mampu untuk mempastikan calon-calon kita yang muslim ini tidak diundi oleh orang jahat dan orang bukan Islam? Calon-calon mulim kita yang baik ini mesti diundi hanya oleh orang Islam yang baik sahaja?

Kalau kita katakan tidak boleh bekerjasama itu bermaksud mereka tidak boleh jadi calon dan muslim tidak boleh undi calon mereka tetapi mereka boleh undi calon muslim, itu bererti kita telah menafikan hak mereka sebagai warganegara. Sedangkan Negara membenarkan mereka menubuhkan parti politik serta menyertai pilihanraya.

Kita semua warganegara yang sedang menghadapi pilihanraya untuk memilih bakal pemimpin. Kalau kita mempunyai barisan calon yang paling baik, paling bersih, paling amanah, paling berwibawa, kalau hendak diharapkan muslim yang soleh sahaja mengundi kita, bolehkah kita menang? Cukupkah bilangan muslim yang soleh di setiap kawasan parleman dan dun yang kita bertanding? Kalau kita mengharapkan undi daripada orang kafir atau muslim yang fajir, maka tidakkah itu dikira berkerjasama dengan mereka? Sahkah kemenangan yang dicapai hasil daripada undi orang kafir dan fajir?
(Perhatian: Ini adalah persoalan berdasarkan reality dan tidak bertujuan untuk menafikan kemungkinan berlaku perkara luar biasa di mana para malaikat turun mengundi)

Atau kita boleh kata, dalam hendak memenangkan calon muslim yang berwibawa ada strategi, ada keharusan bertaawun, bekerjasama, bertahaluf dan seumpamanya?

Itulah beberapa lontaran persoalan yang perlu difikirkan dan dijawab dengan hujjah dalam keadaan tenang dan waras. 

Allahu A’lam.

No comments: