10 malam terakhir adalah malam-malam
yang sangat kritikel, malam yang diharapkan satu daripadanya adalah
Lailatul-Qadar yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan.
Maka untuk meraih kebaikan maksimum
rancanglah ia dengan sebaik-baiknya. Kata orang, jika kita tidak merancang
bererti kita merancang untuk gagal.
Antara amalan baik yang boleh dirancang
untuk diisi pada malam-malam 10 terakhir ini:
1.
Qiam dengan
menunaikan solat sunat. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang qiam pada lailatul-qadar dengan iman dan
ihtisab, diampunkan dosanya yang lalu.” (Al-Bukhari)
Qiam merupakan aktiviti yang paling utama kerana
dengan qiam itulah dijanjikan pengampunan dosa yang lalu.
2.
Iktikaf.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w.
beriktikaf 10 malam terakhir Ramadhan. Dan pada tahun terakhir sebelum baginda
wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.
3.
Mengajak
ahli keluarga bersama-sama menghidupkan 10 malam terakhir. Ini kerana Nabi
s.a.w. memberikan sepenuh tumpuan untuk beribadah pada 10 malam terakhir.
Baginda menghidupkan seluruh malamnya dengan ibadah, membangunakan ahli
keluarganya dan mengemaskan ikatan kain sarungnya. Ini digambarkan oleh
Sayyidatuna Aisyah r.a. dengan katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w.
bersungguh-sungguh di dalam ibadah pada 10 malam terakhir lebih daripada apa
yang dilakukan pada malam-malam yang lain.” (Muslim)
Beliau juga berkata: “Apabila masuk 10
malam terakhir, baginda mengemaskan ikatan kain sarungnya dan menghidupkan seluruh
malamnya serta membangunkan ahli keluarganya.” (Muttafaq ‘alaih)
4.
Tilawah
al-Quran. Setiap orang daripada kita mempunyai kemampuan yang berbeza di dalam
bacaannya. Jadi rancanglah mengikut kemampuan sendiri. Di samping itu kita
boleh juga menambah beberapa surah yang mempunyai kelebihan tertentu
sebagaimana yang disebutkan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Idza
zulzilat menyamai ½ al-Quran, qul hua Allah menyamai 1/3
al-Quran dan qul ya ayyuhal kafirun menyamai ¼ al-Quran.” (Riwayat At-Tirmizi
daripada Ibn Abbas r.a.) Berdasarkan hadis ini, sesiapa yang membaca surah
al-zalzalah dua kali, al-kafirun 4 kali dan al-Ikhlas 3 kali menyamai tiga kali
khatam al-Quran.
5.
Berdakwah.
Dakwah bererti mengajak kepada Islam, beriman kepada Allah dan melaksanakan
suruhan serta menjauhi laranganNya. Usaha yang sangat besar ganjarannya dan berterusan
sampai ke hari qiamat. Maka senarikan beberapa potong ayat / hadis / tazkirah
yang baik dan sebagainya. Setiap malam hantarkan satu ayat kepada kawan-kawan
di dalam group WhataApp dan sebagainya. Satu malam daripada 10 itu berbetulan
Lailatul-Qadar, maka kita dapat ganjaran seperti berdakwah lebih daripada 1000
bulan.
6.
Bersedekah.
Pastikan setiap malam diperuntukan sedekah walaupun sedikit. Senaraikan 10
individu atau organisasi yang layak menerima sedekah serta no akaun banknya
supaya senang untuk kita masukkan secara online setiap malam satu orang / satu
pertubuhan.
7.
Taja iftar.
Sekurang-kurangnya taja satu orang satu malam. Ingat! Lailatul-Qadar bermula
dengan masuknya waktu maghrib.
8.
Menghubungkan
silatul rahim. Setiap malam, cuba hubungi ibu bapa, saudara mara khususnya yang
telah lama tidak ditemui
9.
Beristighfar,
berzikir, berselawat ke atas nabi.
10.
Membaca
buku untuk menambah ilmu atau mendengar ceramah / tazkirah dan lain-lain. Ilmu mengangkat
darjat seseorang di sisi Allah s.w.t. (Al-Mujadalah:11)
11.
Membanyakkan
doa. Doa yang diajar oleh Nabi s.a.w. kepada Aisyah r.a.
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ini hanyalah suatu cadangan daripada
seorang hamba yang mengharap belas ihsan Tuhannya agar termasuk dalam kalangan
hamba-hambaNya yang mendapat anugerah Lailatul-Qadar.
Ingat! Setiap apa yang kita rancang dan
kita lakukan setiap malam pada 10 malam terakhir, satu daripadanya insyaaAllah
akan berbetulan dengan malam istimewa itu. Maka untuk amalan kita pada malam
itu: solat, tilawah, istighfar, doa, sedekah, dakwah dan lain-lain ganjarannya
seperti beramal selama 1000 bulan! Aduhai alangkah ruginya kalau ia terlepas. Lantaran
itu Nabi s.a.w. mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya bulan ini (Ramadhan) telah
datang kepada kamu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada
1000 bulan. Sesiapa yang diharamkan dari mendapat kebaikan malam itu, maka
sesungguhnya dia telah diharamkan dari mendapat kebaikan seluruhnya. Dan tidak
ada orang yang diharamkan dari kebaikannya kecuali orang yang benar-benar
diharamkan kebaikan untuknya.” Riwayat Ibn Majah
No comments:
Post a Comment