Monday, April 09, 2018

PRU DI DALAM SEJARAH


Dalam kehangatan suasana menjelang PRU14 yang bakal berlangsung, pelbagai ragam manusia, khususnya umat Islam dapat dilihat. Ada yang enggan bercakap langsung tentangnya, malah mendengar orang lain bercakap pun tidak mahu seolah-olah ia benda haram dan najis sehingga ada yang bertindak keluar dari group WhatsApp sekiranya didapati ada di kalangan ahli group yang menyentuh tentang isu berkaitan PRU.

 Allahu Rabbi! Kenapa begitu sekali? 
Berbincanglah. Berilah pandangan dan dengarlah. Itu juga merupakan satu bentuk syura yang dianjurkan oleh Islam. Malah Allah menyifatkan syura adalah satu daripada ciri keistimewaan umat Nabi Muhammad s.a.w. Perhatikan maksud ayat yang berikut:

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;”

Allah Ta’ala menyebut antara ciri-ciri mukmin yang mendapat ganjaran baik di akhirat kelak adalah mereka yang menyahut seruanNya, mendirikan solat, bermesyuarat di dalam urusan mereka dan menginfaqkan rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka. Sebahagian ulamak berpendapat maksud menginfaqkan rezeki itu ialah mengeluarkan zakat. Kalau diterima pendapat itu, maka sifat suka bermesyuarat diletakkan di tengah-tengah antara dua rukun Islam, iaitu solat dan zakat.

Justeru, jika kita enggan berbincang dan bermesyuarat hilanglah satu daripada ciri-ciri keistimewaan orang beriman yang Allah sendiri puji.

Sesungguhnya PRU bukan perkara remeh temeh. Bukan perkara sampingan. Bukan urusan sebahagian orang tertentu sahaja. PRU adalah urusan kita semua, rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Oleh itu kita mesti peka.

Mari kita telusuri sirah para sahabat yang Allah telah redha kepada mereka, bagaimana mereka memberikan tumpuan yang begitu serius kepada urusan pemilihan pucuk pimpinan.

Apabila Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. dibunuh, beliau tidak melantik individu tertentu untuk menggantikannya. Sebaliknya beliau menyerahkan urusan perlantikan penggantinya kepada enam orang sahabat supaya bermesyuarat dan memilih salah seorang dari kalangan mereka. Mesyuarat itu hendaklah dihadiri sama oleh puteranya Abdullah bin Umar sebagai pemerhati dan pemberi pandangan, tetapi tidak dikira sebagai salah seorang calon. Enam orang itu terdiri dari: Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Abdul Rahman bin Auf radhiallahu ‘anhum ajma’ein.

Selepas bermesyuarat, Saad menyerahkan urusannya kepada Abdul Rahman, Zubair kepada Ali dan Talhah kepada Uthman. Ertinya tiga daripada enam dicalonkan dan diamanahkan membuat keputusan.
Maka Abdul Rahman berkata kepada Ali dan Uthman: “Siapakah di antara kamu berdua yang menarik diri, kita akan serahkan kepadanya untuk memilih yang terbaik daripada dua calon lagi.”

Uthman dan Ali diam, tidak menjawab apa-apa. Lalu Abdul Rahman berkata:
“Baiklah. Aku menarik diri. Dan aku akan berusaha membuat pilihan siapakah yang lebih utama di antara kamu berdua.”

Kedua-duanya menjawab: “Ya!”

Kemudian Abdul Rahman berbicara kepada kedua-dua sahabatnya itu dengan menyebut kelebihan yang ada pada mereka. Beliau meminta kedua-duanya berjanji sekiranya terpilih akan berlaku adil dan sekiranya tidak terpilih akan dengar dan taat kepada yang terpilih.

Kedua-duanya menjawab: “Ya!”

Selepas itu, merekapun bersurai. 

Kemudian Abdul Rahman memulakan tugasnya meminta pandangan orang ramai tentang kedua-dua calon, Uthman dan Ali. Beliau bermesyuarat dengan ketua-ketua kaum serta pembesar-pembesar mereka. Beliau bertanya setiap orang di dalam satu majlis yang dihadiri ramai orang, berjumpa dengan orang perseorangan, berbincang dalam kumpulan yang kecil dan sebagainya. Tidak ketinggalan, beliau juga bertanya para wanita, kanak-kanak di pusat-pusat pengajian mereka, juga para musafirin yang berkunjung ke Madinah. Usaha itu dilakukan dengan gigihnya selama tiga hati tiga malam. Sepanjang tinjauan yang dibuat, hampir semua orang yang ditanya berpendapat Uthman lebih afdhal daripada Ali kecuali terdapat riwayat mengatakan bahawa Ammar dan Miqdad berpendapat Ali lebih afdhal.

Pada subuh hari ke empat selepas kewafatan Umar r.a. Abdul Rahman pergi ke rumah anak saudaranya Miswar bin Makhzamah, menyuruhnya supaya menjemput Uthman dan Ali. Miswar bertanya, “siapakah yang patut ditemuinya terlebih dahulu?” Abdul Rahman menyerahkan kepadanya sendiri. Miswar pergi menemui Ali terlebih dahulu, kemudian Uthman. Kedua-duanya dibawa berjumpa Abdul Rahman.

Abdul Rahman membawa Uthman dan Ali ke masjid dan memanggil orang ramai supaya berkumpul.

Beliau menaiki mimbar dan berdiri lama sekali. Beliau berdoa dengan doa yang panjang dan perlahan tanpa didengari oleh sesiapa. Kemudian barulah beliau berbicara:

“Wahai manusia sekelian, aku telah meminta pandangan kamu secara rahsia dan secara terang-terangan tentang siapakah yang kamu harapkan. Maka aku tidak mendapati seorangpun dari kalangan kamu yang memilih calon yang lain daripada dua lelaki ini, sama ada Ali atau Uthman.”

Dia menoleh kepada Ali dan berkata: “Bangunlah wahai Ali!”

Ali bangun dan berdiri di bawah mimbar. Abdul Rahman memegang tangan Ali seraya berkata: “Adakah engkau bersedia untuk berbai’ah (membuat aku janji) berdasarkan kitab Allah dan Sunnah NabiNya s.a.w. serta apa yang telah dilakukan oleh Abu Bakar dan Umar?”

Ali menjawab: “Tidak ya Allah! Sebaliknya ia di luar batas keupayaanku dan kesanggupanku”

Abdul Rahman melepaskan tangan Ali dan berkata kepada Uthman:
“Ke mari wahai Uthman!”

Maka beliau memegang tangan Uthman seraya berkata:  “Adakah engkau bersedia untuk berbai’ah (membuat aku janji) berdasarkan kitab Allah dan Sunnah NabiNya s.a.w. serta apa yang telah dilakukan oleh Abu Bakar dan Umar?”

Uthman menjawab: “Ya, ya Allah!”

Lalu Abdul Rahman mendongakkan kepalanya ke bumbung masjid sedang tangannya masih menggenggam erat tangan Uthman sambil berkata: “Ya Allah, dengarkanlah dan saksikanlah! Ya Allah, sesungguhnya aku telah memindahkan tanggungjawab yang terpikul di atas tengkukku ini ke atas tengkuk Uthman!”

Maka orang ramai pun bersesak-sesak membai’ah Uthman sehingga beliau terperusuk ke bawah mimbar.

Dengan itu selesailah perlantikan Uthman berdasarkan pilihan dan persetujuan mereka semua. (Ringkasan daripada kitab “Al-Bidayah wa An-Nihayah” Ibn Kathir.

Benar, tidak sama di antara kita sekarang dengan mereka di waktu itu. 
Kita bukan hendak memilah atau melantik seorang khalifah.
Bagaimana mungkin PRU ini sama dengan melantik khalifah dengan ciri-ciri yang telah tersenarai di dalam kitab-kita fiqh? 

Kita berada di dalam sebuah Negara demokrasi. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama diiktiraf sebagai warganegara yang mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di dalam memilih dan dipilih.

Namun kita harus mengambil iktibar daripada sikap bertanggungjawab serta kesungguhan mereka di dalam melaksanakan amanah sedaya mampu mereka. Tidak ada di kalangan mereka yang berkata bahawa urusan ini tidak penting dan tidak mahu mencampurinya. 

Sesungguhnya kepimpinan adalah tonggak kekuatan sesebuah masyarakat dan Negara. 
Kita tidak wajar berkecuali daripada memberikan pandangan dan membuat pilihan. 

No comments: