“Sesungguhnya bilangan
bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah
ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di
antaranya EMPAT BULAN HARAM (BULAN YANG DIHORMATI. Ketetapan yang demikian itu
ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam
bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah
kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan
ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”
Bulan haram atau bulan yang dihormati yang
dimaksudkan di dalam ayat di atas telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. di dalam
hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya zaman itu
beredar sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu
tahun mengandungi 12 bulan. Daripadanya terdapat empat bulan haram. Tiga berturut-turut:
Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram. Serta Rajab Mudhar yang terletak di antara
Jumadi dan Syaaban.”
Sebahagian ulamak berpendapat pada bulan-bulan ini
pahala dan siksa digandakan berdasarkan firman Allah di atas, “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang
dihormati itu (dengan melanggar laranganNya);..”. ibn Kathir berkata, Allah
melarang hambaNya melakukan perkara yang dilarang di dalam bulan haram kerana
ia sangat ditekankan dan lebih diberatkan dosanya berbanding bulan-bulan
selainnya. Sama juga dengan maksiat yang dilakukan di tanah haram seperti yang
dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan
yang di larang dengan cara yang zalim, Kami
akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Hajj 22:25)
Qatadah berkata: “Sesungguhnya kezaliman yang
dilakukan pada bulan-bulan haram lebih besar kesalahan dan dosa daripada
kezaliman pada bulan-bulan selainnya sekalipun kezaliman itu dalam apa keadaan
pun adalah besar dosanya. Tetapi Allah boleh melipat-gandakan apa yang
dikehendakiNya.”
Al-Qurtubi berkata: “Janganlah kamu menzalimi dirimu
di dalam bulan haram dengan melakukan dosa-dosa kerana Allah s.w.t. apabila Dia
membesarkan sesuatu dari sesuatu aspek, jadilah sesuatu itu satu aspek
kehormatannya. Dan apabila Dia membesarkannya dari dua aspek atau dari beberapa
aspek, jadilah kehormatannya berganda-ganda. Maka digandakan azab ke atas
perbuatan jahat sebagaimana digandakan pahala bagi amal soleh. Justeru, sesiapa
yang taat kepada Allah di dalam bulan haram, di tanah haram tidak sama
pahalanya dengan pahala orang yang taat pada bulan halal dan di tanah halal. Dan
sesiapa yang taat kepadaNya di bulan halal, di tanah haram tidak sama pahalanya
dengan orang yang taat kepadaNya di bulan halal di tanah halal. Hal ini dapat
difahami daripada firmanNya yang bermaksud: “Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa
di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan
digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu
adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. Dan sesiapa di antara kamu semua tetap
taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan
beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya
limpah kurnia yang mulia.”
Sebab dinamakan bulan haram
Sebahagian ahli tafsir menyebutkan bahawa bulan-bulan
ini dinamakan bulan haram kerana bertambah kehormatannya dan kerana diharamkan
peperangan di dalamnya.
Hukum berperang pada bulan haram adalah seperti
berikut:
Pertama: berperang untuk mempertahankan umat Islam,
hukumnya adalah harus di sisi semua ulamak. Tiada perselisihan di kalangan
mereka.
Kedua: memulakan serangan, sebahagian ulamak
berpendapat harus sama ada serangan dimulakan pada bulan haram atau meneruskan
serangan yang telah dimulakan pada bulan sebelumnya. Namun sebahagian ulamak
berpendapat haram memulakan serangan pada bulan haram kecuali meneruskan peperangan
yang telah berlaku sebelumnya.
Hikmah bulan haram
Bulan-bulan haram telah dimuliakan sejak zaman Nabi Ibrahim
dan Nabi Ismail alaihimassalam. Ia terus dipegang oleh orang arab sehinggalah ke
zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pengarang kitab tafsir al-Munir berkata: “Pengharaman
berperang di bulan haram dicetuskan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Dan orang
arab terus berpegang dengannya. Kemudian pengharaman itu telah dinasakhkan.”
Adapun hikmat pengharaman berperang pada bulan-bulan
tersebut dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya: “Sesungguhnya empat
bulan-bulan haram: tiga berturut-turut dan satu berasingan untuk memudahkan
pelaksanaan ibadah haji dan umrah. Maka diharamkan sebulan sebelum haji, iaitu
Zul Qaedah. Pada bulan itu mereka berhenti dari berperang. Bulan Zul Hijjah
mereka tidak berperang kerana sibuk dengan ibadah haji. Dan sebulan selepas Zul
Hijjah, iaitu Muharram mereka berangkat pulang ke tempat masing-masing dalam
keadaan aman. Dan Rajab pula pada pertengahan tahun diharamkan untuk memberi
peluang kepada orang yang jauh datang menziarahi Baitillah dan menunaikan umrah
kemudian pulang ke negeri mereka dengan selamat.”
No comments:
Post a Comment