Syaikh Ahmad
ar-Raisuni
Di dalam
al-Quran terdapat dua surah yang mempunyai persamaan, kedudukannya berdekatan
sama ada dari segi tempat (susunan) ataupun masa kedua-duanya diturunkan. Surah-surah
tersebut ialah al-Muzzammil dan al-Muddaththir.
Persamaan antara
keduanya ialah dari segi lafaz dan makna juga nama yang digunakan sebagai
seruan pembuka surah, iaitu “ya ayyuhal muzzammil” dan “ya ayyuhal muddaththir”.
Dan selepas seruan, kedua-duanya dimulakan dengan perintah “qum!” iaitu “bangunlah!”.
Persamaan dari
segi masa diturunkan ialah kedua-duanya diturunkan secara berturur-turut atau
dalam masa yang berdekatan termasuk di dalam kelompok surah-surah yang terawal.
Manakalah dari segi tempat pula, ia diletakkan bersebelahan di dalam susunan
surah-surah di dalam Mushaf yang mulia sedangkan kebanyakan surah dan ayat
meskipun turun dalam masa yang berdekatan, susunannya di dalam Mushaf berjauhan.
Apa yang
ingin aku tekankan di sebalik persamaan kedua-dua surah ini ialah perintah
supaya qiam yang terdapat pada permulaan kedua-duanya:
“Ya ayyuhal
muzzammil, qumil-lail!” (Wahai orang yang berselimut, bangunlah pada waktu
malam!)
“Ya ayyuhal
muddaththir, qum fa andzir!” (Wahai orang yang berselimut, bangunlah lantas
berilah peringatan!)
Dua perintah
dengan lafaz yang sama (qum) tetapi menghala ke arah tujuan yang berbeza.
Perintah pertama,
perintah supaya bangun di waktu malam untuk solat dan beribadah mendekatkan
diri kepada Tuhan. Lalu ia menjadi satu syi’ar agama, satu amalan yang dipegang
dan dianuti untuk beribadah, bertaqarrub, untuk mendidik dan mentazkiah
sehingga istilah “qiamul-lail” menjadi nama khas yang difahami dan digunakan
tanpa keraguan dan kesamaran.
Adapun perintah
ke dua, “qum fa andzir!” tidak mendapat tempat yang sewajarnya sebagaimana
perintah pertama. Inilah focus tulisanku kali ini sebagai sebahagian daripada “awraq
at-tajdid”.
Perhatikan
surah al-muddaththir dan permulaannya dan bandingkan dengan saudara kandungnya,
surah al-muzzammil! Surah al-muddaththir berbicara tentang “qiamun-nahar”. Surah
al-muzzammil berbicara tentang “qiamul-lail”.
Qiamul-lail kandungannya ialah
solat, zikir, tilawah.
Qiamun-nahar kandungannya ialah
dakwah dengan segala tuntutannya, ranjau-ranjaunya serta cabaran-cabarannya.
Sesungguhnya surah al-muzzammil yang
memerintahkan qiamul-lail itu sendiri yang mengarahkan pandangan kita kepada
qiamun-nahar. Perhatikan selepas Allah berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya
sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap
betul bacaannya.” (Al-Muzzammil 73:6), terus diikuti dengan ayat yang bermaksud: “(Kami
galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya
engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;” (Al-Muzzammil 73:7)
Allamah Ibn ‘Asyur menerangkan
maksud kedua-dua ayat itu dengan katanya: “Bangunlah waktu malam kerana ia
lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya dan kerana
siang adalah masa yang penuh dengan kesibukan yang tidak memberi peluang
kepadamu untuk bersendirian dengan Tuhan. Dan kesibukan Nabi s.a.w. di waktu
siang ialah dengan berdakwah, menyebarkan al-Quran, mengajar agama, menghadapi
tentangan musyrikin, menyantuni mukminin yang lemah dan tertindas. Semua kesibukan
itu diungkapkan dengan “sabhan towila” (urusan-urusan yang panjang kira
bicaranya)” (At-Tahrir wa At-Tanwir, 462/92)
Sebagaimana Rasulullah s.a.w.
menyibukkan sebahagian malamnya dengan qiamul-lail untuk beribadah kepada Allah,
baginda menyibukkan seluruh siangnya dengan qiamun-nahar, berhadapan dengan para
penentang serta kelompok yang sentiasa merancang untuk mencelakakan baginda. Ini
digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya,
ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka
hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”. (Al-Jinn 72:19)
Dan meskipun qiamul-lail mempunyai
peranan serta kesan yang cukup besar di dalam mentarbiah dan mentazkiah jiwa,
namun hukumnya kekal sunat dan digalakkan. Masanya juga terhad di sekitar
sebahagian malam, tidak bertambah dan berkurang. Sebaliknya qiamun-nahar yang
kandungannya adalah dakwah, menyampaikan, berhadapan dengan tentangan musuh,
berbahas dan berdialog dengan mereka, tidak terkira kewajipan serta
kefardhuannya, ditambah lagi dengan yang sunat-sunat dan digalakkan. Lantaran itu
tuntutannya lebih ditekankan dan dipentingkan. Dan kerana itu juga masa pelaksanaannya
disebut “sabhan towila”
Sesungguhnya kita pada hari ini,
pada waktu akhir-akhir ini khususnya sangat perlu menghidupkan qiaun-nahar,
mengembalikan kedudukannya yang sebenar dan keberkesanannya. Sesungguhnya kita
berhajat kepada qiam untuk dakwah sebagaimana kita berhajat kepada qiam untuk
berdoa. Kita perlu melakukan amal-amal yang menjadi intipati kepada
qiamun-nahar:
“Bangunlah serta berilah peringatan
dan amaran (kepada umat manusia).
Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan
ingatlah kebesaranNya!
Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau
bersihkan.
Dan segala kejahatan, maka hendaklah
engkau jauhi.
Dan janganlah engkau memberi
(sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
Dan bagi (menjalankan perintah)
Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!” (Al-Muddaththir
74:2-7)
Sama seperti kita berhajat kepada amal-amal yang menjadi
intipati qiamul-lail : rukuk, sujud, tilawah, zikir, doa.
Dan sesungguhnya qiamun-nahar itulah yang lebih awla dan
lebih besar tuntutannya di sisi syara’ dan lebih diperlukan dari sudut reality
semasa.
http://raissouni.net/2019/05/25/قيام-الليل-وقيام-النهار/
No comments:
Post a Comment