Thursday, December 31, 2020

AKHIRNYA ENGKAU PERGI JUA

 

2020

Akhirnya engkau pergi jua

Dengan lelehan air mata duka

Maafkan aku tidak mampu mengelap air matamu

Kerana hatiku juga turut terluka

Sejarahmu diguris dan dicalar-calar

Dengan langkah durjana 

Manusia-manusia yang tidak beretika

 

Empat dasawarsa yang lalu

Namamu disebut-sebut

Kehadiranmu dinanti-nanti

Menggalas satu wawasan

Berisi kesejahteraan, kejayaan serta kemakmuran

 

Hari ini engkau dipapah pergi

Menanggung luka nan kian parah

Memikul beban sejarah penuh gundah

Dek segerombolan manusia

Berpakat berbuat jahat

Merampas kuasa yang terbina di atas mandat rakyat

Melalui pintu belakang dan tebuk atap

Atas dakwaan sebagai penyelamat

Hakikatnya rakyat terus merempat

Pangkat dan harta mereka yang rembat

Demokrasi bagaikan tiada tempat

Kebenaran, keadilan, setia kawan diinjak lumat

 

Pakaian dari hujung kepala sehingga ke tapak kaki

Dicelup dengan warna keagamaan dan kealiman

Tutur bicara yang disulam ayat Quran dan sabda junjungan

Semangat jihad yang kental tika menapak mencari kedudukan

Sekonyong-konyong sirna di balik awan nan hitam

Slogan-slogan nan indah entah di mana tertanam

 

Di luar sana

Zionis kian merajalela

Normalisasi dijaja dan dijulang oleh petualang

Saudi, UAE dan yang seangkatan

Kepekaan ummah makin terbenam

Derita Palestin tiada terbela

Masjid Al-Aqsa menangis hiba

Menanti kehadiran Salahuddin dan Umar kali ke dua

 

Wabak oh wabak

Covid-19 namamu tercetak 

Di serata dunia engkau merebak

Kerana engkau 

Norma kehidupan dirombak

Yang sakit, yang mati terus menjanak

 

2020

Akhirnya engkau pergi jua

Maafkan kerana aku tidak berupaya

Membekalkanmu dengan cenderamata yang berharga

Menikmati prinsip hidup berasaskan demokrasi

Yang mendukung keadilan, kesaksamaan dan persaudaraan

Pentadbiran yang telus dan berintegriti

Kemakmuran hidup di semua sektor

Kestabilan politik, sosial dan ekonomi

Kesihatan awam dan keharmornian persekitaran

Pendidikan anak-anak dan keluarga yang syumul dan holistik

Semuanya terpendam di dalam impian

Engkau pergi tidak mampu aku bekalkan

 

Selamat jalan... 

 

*UMD*

01012021/17051442

No comments: