Friday, June 04, 2021

BELAJAR DARIPADA SIRAH

Ibn Abbas RA telah meriwayatkan bahawa ‘Uyainah bin Hisn telah datang ke Madinah. Beliau menumpang di rumah anak saudaranya Hurr bin Qais.
Hurr bin Qais termasuk individu yang rapat dengan khalifah Umar bin Khattab RA. Seorang yang menghafaz al-Quran dan salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Umar yang terdiri daripada warga tua dan juga pemuda.
‘Uyainah berkata kepada Hurr, “Wahai anak saudaraku, engkau seorang yang ada kedudukan di sisi Amirul-Mukminin. Mohonlah izin untukku bertemu dengannya!”
Hurr memohon izin daripada Umar. Maka Umar mengizinkannya.
Manakala ‘Uyainah tiba pada waktu yang telah ditetapkan, dia terus berkata kepada Umar dengan kata-kata yang kesat:
“Wahai Ibn al-Khattab, demi Allah! Engkau tidak memberi kepada kami dengan saksama, dan engkau tidak menghukum antara kami dengan cara yang adil!”
Kata-kata itu membuatkan Umar marah sehingga beliau hampir bertindak ke atasnya.
Hurr segera mengingatkannya dengan berkata:
“Wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman kepada Nabi SAW: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil.” (Al-A'raaf 7:199)
Dan lelaki ini sebenarnya termasuk dalam kalangan orang jahil.”
Ibn Abbas RA berkata: “Demi Allah! Umar tidak melangkahinya ketika Hurr membacakan ayat itu kepadanya. Sesungguhnya dia (Umar) seorang yang sangat teguh berhenti dan berdiri di sisi Kitab Allah Ta’ala.” Riwayat al-Bukhari. (Riadhus-Solihin no 357)
Ulasan
1. Umar RA sangat mementingkan syura selaras dengan perintah Allah dan Rasulullah SAW
2. Ahli syura dipilih berdasarkan penguasaan ilmu dan kefahaman yang mendalam tentang al-Quran tanpa mengira usia tua atau muda
3. Antara ahli syura yang muda ialah Hurr dan Ibn Abbas RA
4. ‘Uyainah bin Hisn adalah ketua kaumnya yang disegani. Sejak Rasulullah SAW masih hidup, baginda SAW menjaga hubungan baik dan berusaha menjinakkan hati ‘Uyainah.
5. Kata-kata kesat dan biadab yang dilemparkan oleh ‘Uyainah di muka Umar saat pertama kali berjumpa amatlah tidak wajar dan merupakan satu pembohongan yang nyata kerana semua maklum, diperakui oleh muslim dan bukan muslim akan keadilan yang ditegakkan oleh Umar sepanjang pemerintahannya. Maka tidak hairanlah jika Umar begitu marah mendengar tuduhan yang tidak berasas itu.
6. Jika disampaikan dengan cara yang lebih lonak dan berhemah, mungkin Umar akan mendengar dan berbincang, sudut manakah yang dikatakan beliau tidak adil dan apakah buktinya?
7. Kehebatan peribadi, kekentalan hati insan yang bernama Umar bin al-Khattab RA terserlah. Di mana kita dapat menyaksikan beliau mampu memadamkan api kemarahan dengan sekelip mata apabila sahaja mendengar ayat Allah dibaca. Tiada suara membantah, bersungut, mengugut dan sebagainya walaupun yang membaca itu hanyalah seorang anak muda yang bertaraf anak atau cucu kepadanya.
8. Maka di manakah kita?
Siapakah sebenarnya ‘Uyainah bin Hisn? Ingin mengenalinya dengan lebih mendalam?
Tunggu tulisan akan datang in syaa Allah.

No comments: