Tuesday, June 29, 2021

HISABLAH DIRIMU SEBELUM KAMU DIHISAB

Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar bin al-Khattab RA pernah berkata:
“Sekiranya seekor unta, atau seekor kambing, atau seekor haiwan yang membawa barang di atas belakangnya mati di tebing Sungai Furat, aku takut Allah akan tanya aku tentangnya!”
Bayangkan kalau seekor binatang pun yang mati, Umar takut Allah akan tanya beliau sebagai khalifah kenapa tidak sediakan laluan yang selamat untuk binatang itu!
Kini kita sedang diuji dengan ribuan rakyat jelata yang mati, sama ada kerana terkena jangkitan covid-19, atau kerana tekanan hidup yang begitu mendesak atau lain-lain. Dan apabila ada kematian, pasti ada ahli keluarga yang ditinggalkan: ayah, ibu, anak-anak, isteri suami yang mungkin ada dalam kalangan mereka yang ditinggalkan itu sedang sakit, kurang upaya, tiada tempat bergantung dan lain-lain lagi.
Tidakkah para pemimpin yang telah merampas kuasa itu berasa takut Allah akan tanya mereka? Allah akan tanya:
- Mengapakah kamu rampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah?
- Mengapakah kamu menggunakan duit rakyat secara berlebihan dengan melantik Menteri dan timbalan Menteri terlalu ramai lebih daripada keperluan?
- Mengapakah kamu dengan sengaja menghalang wakil-wakil yang dipilih rakyat untuk menjalankan tanggungjawab mereka bersidang di parlimen?
- Mengapakah kamu tidak serius dalam menangani penularan wabak yang semakin mengganas ini?
- Adakah kamu mempunyai jawapan untuk semua soalan ini?
Jika kamu tidak kasihan kepada rakyat, kamu sepatutnya kasihan kepada diri kamu sendiri ketika berhadapan dengan Allah ‘Azza wa Jalla Yang Maha Agong di akhirat nanti…!!!
“Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.” (Al-Baqarah 2:48)

No comments: