Saturday, October 29, 2022

MEMFITNAH DAN MELABEL TIDAK PERLU DALIL

Pernah dengar tak Rasulullah SAW di tuduh sebagai orang gila, kena rasuk, tukang sihir, penyair dan sebagainya?

Hal ini adalah suatu yang benar. Telah disebut dengan jelas dalam beberapa ayat. Antaranya:

“Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang GILA".

(Al-Hijr 15:6) 

“(Mereka bukan sahaja menyifatkan Al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan berkata: "AL-QURAN ITU PERKARA KARUT YANG DIMIMPIKAN OLEH MUHAMMAD, bahkan PERKARA YANG DIADA-ADAKAN OLEHNYA, bahkan Muhammad sendiri seorang PENYAIR.” 

(Al-Anbiyaa' 21:5) 

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah CERITA CERITA DONGENG ORANG-ORANG DAHULU KALA".

(AL-ANFAAL 8:31) 

“Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaummu wahai Muhammad) - tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: "Dia adalah seorang AHLI SIHIR, atau seorang GILA".

(Adz-Dzaariyaat 51:52) 

Itu hanyalah sebahagian daripada ayat yang mendedahkan tuduhan berat yang dilemparkan oleh kaum Quraisy kepada Nabi Muhammad SAW.

Adakah mereka mempunyai bukti yang kukuh untuk menyokong tuduhan-tuduhan tersebut?

Pastinya tidak!

Mereka kata Muhammad gila? Adakah kelakuan serta percakapan baginda sama macam orang gila? Jauh sekali. Orang gila biasanya cakap merapu, berkelakuan tidak senonoh dan kadang-kadang mengganggu ketenteraman awam. Pernahkah Nabi Muhammad bertindak demikian? Pastinya tidak. Jauh sama sekali.

Mereka kata Muhammad tukang sihir. Siapa yang sudah terkena sihir baginda? Kalau mereka yang beriman itu terkena sihir, kenapa pula mereka yang menuduh itu tidak terkena. Jika betul Muhammad tukang sihir, pastinya mereka yang menuduhnya itu tidak terlepas dari terkena.

Mereka kata Muhammad penyair. Dalam kalangan mereka sendiri terdapat penyair-penyair yang hebat. Dan mereka pasti dapat membezakan antara karya-karya yang dihasilkan oleh penyair dengan ayat-ayat yang disampaikan oleh Muhammad. Sehandal manapun penyair-penyair yang ada tidak seorangpun mampu menghasilkan walau sebaris ayat yang sama nilainya dengan ayat yang dibawa oleh Muhammad dalam semua aspek.

Kesimpulannya apa saja tuduhan yang mereka cuba lemparkan atau gelaran yang mereka labelkan semuanya rekaan palsu yang tidak lagnsung bersandarkan pada hujjah atau dalil yang nyata.

Pengajarannya, jika kita ingin membawa sesuatu perubahan atau berusaha untuk membawa sesuatu kebaikan yang tidak selari dengan pegangan dan kebiasaan masyarakat, kita mesti bersedia menghadapi pelbagai cemuhan dan tohmahan. Dan mereka tidak perlu mengemukakan sebarang bukti. Cukup dengan sebut dan ulang, ulang dan ulang.

Sokong LGBT?

Berkawan dengan komunis?

Hancing?

Menukar perlembagaan?

Dan ……

Itulah sunnah penentang kebenaran


No comments: