Saturday, October 22, 2022

Mengenang Kembali Langkah 16 September 2008 (Satu Catatan Sejarah)

Oleh A Nazri Abdullah. 


Seandainya masa boleh diputar ke belakang dan Langkah 16 September tahun 2008 berjaya direalisasikan, barangkali Muhyiddin Yasin sudah menjadi  Perdana Menteri lebih dahulu daripada Najib Razak. 


Tentu sekali Najib Razak dan Rosmah Mansor tidak dihukum penjara. 

Zahid Hamidi pun tidak akan  berdepan kemungkinan masuk penjara.

Skandal  1MDB,  Littoral  Combat Ship ( LCS), dan Ultra Kinrara Sdn Bhd tidak akan menghantui negara.


Pastinya Mahathir Mohamad tidak akan muncul  semula  bermain silap mata menghancurkan mandat rakyat dan harapan negara.


Lebih penting daripada itu semua, negara tidak  dibebani hutang berlipat ganda, reformasi segera terlaksana , dan rakyat pasti hidup lebih selesa. 


Barangkali ramai yang masih ingat Langkah 16 September 2008 yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim selepas PRU 12  Mac 2008. Namun  tidak ramai yang mengetahui kenapa langkah itu dibuat dan siapa yang memulakannya. 


Penganalisa politik ketika itu menyalahkan Anwar dan melempar  pelbagai tuduhan dan cacian ke  atasnya. 


Namun tidak seorang pun penganalisa politik bertanya kenapa Anwar melaungkan Langkah 169  sedangkan beliau bukan MP dan tidak boleh jadi PM? 


Mari kita lihat kembali fakta sebenar supaya ahli sejarah tidak membuat tafsiran yang salah.


Keputusan PRU11 2004, iaitu PRU pertama selepas Abdullah Badawi menjadi PM, BN menang besar meraih 198 kerusi Parlimen. PKR Pas dan Dap kalah teruk. PKR menang satu kerusi saja iaitu Permatang Pauh. Lim Kit Siang jadi Ketua Pembangkang.


Pada 2 September 2004 Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan daripada tuduhan liwat selepas 6 tahun dipenjara. Anwar kemundian ke John Hopkin dan Oxford University sebagai professor pelawat. 

Ketika di Amerika, Setiausaha Agong PBB Kofi Annan menawar kepada Anwar untuk ambil alih tempat beliau kerana ketika itu giliran Asia. Anwar menolak walaupun beberapa pemimpin dunia berjanji menyokong pencalonan beliau.


Pada 18 October 2006 negara dan juga dunia dikejutkan oleh pembunuhan warga Mongolia Altantuya yang dikaitan dengan TPM Najib Razak.  Tragedi pembunuhan ngeri lagi misteri ini menjadi topik perbincangan panas sepanjang 2007 berlarutan hingga ke PRU 12.


PRU 12, 8 Mac 2008 BN hilang dua pertiga majoriti, memperolehi 140 kerusi, hilang 58 kerusi di Semenanjung. Kalau tidak kerana sumbangan 52 kerusi dari Sabah dan Sarawak, BN Semenanjun tinggal 88 kerusi sahaja, cuma enam kerusi lebih daripada Pakatan Rakyat yang menang 82 kerusi. 


Pun demikian beza peratusan undi antara BN ( 51%) dan PR (49%) cukup tipis. 


BN juga hilang lima  negeri 

iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Kelantan kekal dikuasai Pas. Perak kemundiannya dirampas oleh Umno secara tidak demokratik. 


Ini adalah kemenangan besar bagi PR walaupun kerjasama tiga parti itu baru berputik. 


Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum tidak boleh bertanding kerana belum genap tempoh pantang lima tahun. 


Kemenangan cemerlang PR menghantar gelombang ke seluruh negara bahawa obor reformasi yang dijulang oleh Parti Keadilan Rakyat ( PKR) bakal melahirkan naratif baru politik kebangsaan Malaysia. 


Kegagalan Abdullah Badawi mempertahankan majoriti dua pertiga menimbulkan kegelisahan anggota BN di Malaysia Timur. 


Mereka melihat kelemahan Abdullah Badawi dan terpalitnya Najib dalam kes Antantuya bakal menjadi beban kepada BN dimasa mendatang. 


Sebaliknya MP Sarawak dan Sabah melihat kemenangan PR pimpinan Anwar sebagai kebangkitan baru yang bakal mengubah lanskap politik di Semenanjung. 


Bukanlah satu rahsia bahawa MP Sarawak tidak selesa bersama UMNO sejak zaman Mahathir lagi. Mereka bersungut Mahathir lebih kerap ke Jepun daripada melawat Sarawak, marah kerana  menghalang UMNO bertapak di Sarawak. Kalau tidak kerana Empangan Bakun Mahathir mungkin tidak akan pijak bumi Sarawak. 


Sekitar seminggu selepas PRU 12 Anwar didatangi sekumpulan MP dari Sarawak menyerahkan surat akuan (SD) menarik sokongan kepada PM dan mahukan PR mengambil alih Puterajaya. 


Justeru Langkah 16 September bukanlah idea Anwar tetap langkah yang di atur oleh MP BN dari Malaysia Timur. 


Kenapa mereka memilih Anwar? 

Naratif membina sebuah negara bangsa Malaysia pelbagai kaum yang menjadi falsafah perjuangan Anwar  amat sesuai dengan perjuangan MP di Sarawak dan Sabah. Mereka sedar politik perkauman dan agama yang sempit tidak menjamin kestabilan politik Malaysia. 

Walaupun Anwar bukan MP tetapi mereka yakin PR adalah parti untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.


Menjelang akhir Mac, Anwar memiliki lebih daripada 30 SD, cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Beberapa MP UMNO turut mendaftar nama dan akan bersama selepas kerajaan baru terbentuk.


Anwar Hadi dan Kit Siang kemundiannya menulis kepada Abdullah mohon diadakan sidang khas Parlimen. Surat tidak di jawab.


Pada masa yang sama Anwar menghantar wakilnya menemui Muhyiddin Yassin menjemput beliau untuk berbincang di Singapura.


Perlu ditegaskan di sini, Anwar masih melihat Muhyiddin sebagai rakannya, kerana beliaulah satu satunya menteri yang berani ke rumah Anwar beberapa hari sebelum dia dipecat. 

Anwar juga sedar Abdullah mahu melantik Muhyiddin sebagai TPM tetapi kerana tekanan Mahathir, Najib yang dilantik. Atas perkiraan ini Anwar mahu menemui Muhyiddin untuk berbincang jawatan Perdana Menteri dan Kabinet. 


Malangnya Muhyiddin bukan saja menolak pertemuan dengan Anwar sebaliknya  mengutuk Anwar. Tujuan Anwar ialah untuk Muhyiddin menjadi PM dan hasrat ini akan di bincangkan di Singapura. Muhyiddin menolak tuah. 


Meragui lebih ramai yang akan mengikut langkah Anwar,  Abdullah Badawi melarikan MPnya ke Taiwan di bulan Ramadan kononnya atas lawatan sambil belajar. 


Bagi menjamin BN tidak tumbang,  Abdullah Badawi tidak ada pilihan melainkan melamar Pas. 

Pertemuan dengan Hadi Awang diatur dan umpan Umno cepat disambar. 


Sementara itu Saifudfin Nasution ditugaskan menemui Pandikar Amin Mulia berbincang cara terbaik kemuka usul undi tidak percaya. Tiga kali  Saifuddin temui Speaker secara sulit tapi pastinya diketahui oleh PM.


Menjelang pembukaan sidang pertama Parlimen penggal 12, Hadi minta untuk berjumpa Anwar . Mereka setuju bertemu di kediaman Nik Aziz di JKR 10. Anwar ditemani Saifudfin Nasution membawa bersama lebih daripada 30 SD. 


Pertemuan di JKR 10 menyaksikan perdebatan hebat di antara Nik Aziz dan Hadi. Nik Aziz tegas menyokong Anwar supaya teruskan walaupun Muhyiddin enggan menemuinya. Sebaliknya Hadi keras menentang atas alasan kononnya Anwar tidak boleh meminta bantuan orang bukan Islam untuk menjatuhkan pemimpin Islam.

Pertemuan yang berlangsung kira kira satu jam setengah itu berakhir apabila Anwar mengingatkan kedua mereka waktu solat Jumaat sudah hampir. 

Sebelum melangkah keluar Nik Aziz tetap minta Anwar teruskan kerana beliau yakin ramai MP UMNO akan menyokong kerajaan PR selepas kerajaan baru dibentuk. “Selepas bumbung Puterajaya kita ambil ramailah yang akan datang berteduh” kata Nik Aziz.


Anwar pulang dengan perasaan serba salah. Kalau diteruskan, Pas mungkin pecah kerana pertengkaran antara Nik Aziz dan Hadi begitu keras seolah olah berkerat rotan berpatah arang.


Anwar akhirnya membatalkan langkah 16 September kerana Hadi terbukti belot dengan PR. Kalau diteruskan juga Hadi perlu hanya beberapa MP saja untuk menjatuhkan kerajaan yang dibentuk. Jika ini berlaku kerajaan baru akan jatuh dan Pas berpecah. 


Kecuali Nik Aziz yang sudah meninggalkan kita dan Abdullah yang tidak sihat, yang lain -Hadi, Muhyiddin, Najib, Anwar dan Saifuddin masih hidup untuk mengesahkan cerita ini. 


Seandainya Muhyiddin dan Hadi menyokong langkah 16 September, Muhyiddin sudah jadi PM pada 16 September 2008, sekurang sekurangnya untuk tempoh lima tahun. Malangnya Muhyiddin berfikiran singkat dan beliau yang kuat menyokong Najib menjatuhkan Abdullah akhirnya dipecat oleh Najib. Itulah politik.


Sementara Pas pula sekiranya  Hadi menyokong Langkah 16 September, Pas tidak akan melahirkan Amanah dan parti itu kekal sebagai parti Melayu yang terkuat dalam PR mentabdir Puterajaya mungkin hingga kini.  


Lepas tempoh pantang lima tahun berakhir, pada 28 Ogos 2008 Anwar kembali menjadi Ahli Parlimen melalui PRK Permatang Pauh. 

Ini amat membimbangkan Najib dan juga Mahathir. 


Sebaik saja kembali ke Parlimen , Anwar sekali lagi berdepan dengan kes lewat. Najib yang berjaya memaksa Abdullah meletak jawatan dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 tidak senang sekiranya Anwar di Parlimen.

Plot fitnah kedua lebih hebat tetapi dipendekkan cerita pada 7 Mac 2014 Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dan dihukum enam tahun penjara. Kegagalan Langkah 169, memaksa Anwar sekali lagi melangkah ke penjara.


Tidak salah kalau ahli sejarah menulis bahawa Muhyiddin dan Hadi adalah sebahagian daripada punca kemelut politik, ekonomi dan penderitaan rakyat hari ini. 


Sekiranya kedua mereka berfikiran panjang, cekap membaca kelibat Najib dan Mahathir ketika itu serta yakin dengan prinsip perjuangan Anwar, Malaysia pastinya selamat daripada kemelut politik dan ekonomi yang berpanjangan. 


Retrospektif kisah ini amat menyayatkan hati terutama rakyat miskin kerana merekalah yang menerima kesan yang parah. 


Bagaimanapun  kegagalan Langkah 16 September tersemat pengajaran yang besar untuk rakyat bezakan siapakah pejuang rakyat yang teguh pada prinsipnya dan siapa pula yang belot kerana kuasa dan jawatan?


Kini Muhyiddin dan Hadi kembali berpakat dalam PN untuk jatuhkan UMNO/BN dan PH. Muhyiddin pernah menuduh Pas sebagai Parti Ajaran Sesat tetapi kepentingan kuasa dan harta kini kedua mereka memuji sama sendiri. 

Mungkin kedua mereka akan menjemput Mahathir bersama. Kita ucapkan kepada mereka bertiga selamat bermuafakat tetapi ingatlah ada kuasa keempat yang sedang memerhati mereka. 

Semoga Allah membuka hati pengundi memilih yang hak dan menolak yang batil demi Malaysia yang tercinta.

No comments: