Ada dua orang adik beradik tinggal berjiran.
Masing-masing mempunyai rumah dan kebun sendiri.
Rumah dan kebun mereka dipisahkan oleh sebatang anak sungai.
Mereka menyayangi antara satu sama lain, hidup rukun dan damai sekian lama sehinggalah pada satu ketika berlaku perselisihan pendapat antara keduanya angkara isteri-isteri mereka.
Perselisihan antara keduanya semakin hari semakin parah sehingga membawa kepada putusnya silatul-rahim dan tidak bertegur sapa.
Pada suatu hari si abang hendak musafir selama sebulan. Sebelum berangkat, dia memanggil seorang kontraktor dan menyuruhnya membina tembok yang tinggi yang memisahkan antara kebunnya dengan kebun adiknya. Dia sangat benci dan tidak mahu bertemu mata dengan adiknya.
Cukup sebulan, dia kembali dari permusafirannya. Dia membayangkan tembok yang dipesannya sudah siap.
Sesampai di rumah, alangkah terperanjatnya dia. Kontraktor tidak membina tembok. Sebaliknya dia membina jambatan merentasi anak sungai menghubungkan antara dua tebing.
Apabila menyedari abangnya telah kembali, si adik terus datang meniti jambatan yang dibina lantas memeluk abangnya seraya berkata: “Terima kasih abang. Alangkah besarnya jiwamu! Dalam keadaan kita bersengketa, engkau membina jambatan untuk merapatkan kembali hubungan kita!”
No comments:
Post a Comment