Friday, September 06, 2013

Bahayakah Syi'ah?


(Artikel ini terjemahan kepada tulisan Dr. Raghib as-Sarjani (30/4/2009) yang berjodol “Bahaya Syi’ah”. Jodolnya sengaja ditukar kepada bentuk soalan supaya kita sama-sama dapat memberikan jawapan kita sendiri apabila membaca artikel ini sampai tamat)

Ramai di kalangan umat Islam berpandangan bahawa untuk mengambil pendirian tertentu terhadap Syi'ah merupakan suatu perkara yang sukar, suatu perkara yang membingungkan. Kesukaran ini berpunca dari pelbagai sebab. Antaranya:

1.    Tiada maklumat. Bagi kebanyakan umat Islam, Syi'ah merupakan suatu entiti yang kabur, tidak diketahui apa hakikat sebenarnya, bagaimana ia muncul, tidak pernah dikaji masa lampaunya dan tidak dipeduli masa depannya. Dengan itu, terlalu ramai dari kalangan umat Islam yang percaya bahawa Syi'ah tidak lain hanya satu daripada mazhab-mazhab dalam Islam seperti Syafi'ei, Maliki dan seumpamanya. Mereka tidak mengetahui bahawa perselisihan antara sunnah dan syi'ah bukan pada perkara cabang sahaja, tetapi banyak perselisihan dalam perkara usul atau pokok juga.
2.    Kebanyakan muslimin tidak berpijak di alam realiti dan tidak melihat dari sudut amali. Mereka hanya menganyam mimpi-mimpi yang positif tanpa membuat sebarang kajian dan analisis. Maka kita dapati sebahagian mereka berkata, seolah-olah mereka bercakap dengan bahasa lojik, kenapa kita bercakaran? Mari kita duduk. Lupakan perselisihan kita. Orang sunnah letakkan tangannya di atas tangan orang syi'ah bersatu di atas jalan yang sama. Bukankah kita semua beriman kepada Allah, RasulNya dan Hari Akhirat?

Mereka lupa sebenarnya perkara ini amat complicated, jauh lebih sukar daripada apa yang mereka duga. Sebagai contoh, orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya serta Hari Akhirat, tetapi dia menghalalkan arak atau zina umpamanya, maka dia jadi kafir. Menghalalkan sesuatu perkara bermaksud dia menganggapnya halal, mengingkari keharaman yang telah dinyatakan di dalam al-Quran atau as-Sunnah. Apabila kita mengambil isu ini sebagai titik tolak kepada pandangan kita, maka kita akan nampak beberapa perkara yang sangat-sangat berbahaya di dalam cerita syi'ah yang memerlukan penelitian yang mendalam oleh para ulamak bagi menentukan pandangan agama terhadap bid'ah puak syi'ah yang tersasar jauh.

3.     Kemudian, antara perkara yang agak sulit juga ialah banyak pertelingkahan dan permasalahan di dalam kebanyakan negara-negara umat Islam, banyaknya musuh-musuh dari kalangan Yahudi, Tentera Salib, Komunis, Hindu dan lain-lain. Maka setengah mereka yang kononnya berpegang kepada lojik berpandangan kita tidak sepatutnya membuka gelanggang pertelingkahan yang baru.

Pandangan ini mungkin betul kalau sekiranya gelanggang itu tertutup dan kita cuba untuk membukanya. Tetapi kalau gelanggang itu memang telah sedia terbuka dan perlawanan telahpun bermula, serangan datang bertubi-tubi pagi dan petang. Maka dalam keadaan ini berdiam diri merupakan sesuatu yang amat memalukan. Tidak ada alasan yang munasabah, kebanyakan pihak mengulang-ulang persoalan adakah mereka lebih bahaya daripada Yahudi? Sesungguhnya soalan seperti itu sebenarnya bertujuan untuk mendiamkan mulut orang yang peka dengan kepentingan umat dan merencatkan usaha orang yang bekerja untuk memelihara dan melindungi kesejahteraannya. Saya ingin menjawab soalan mereka dengan berkata kepada mereka: apakah yang menghalang umat Islam berdepan dengan dua bahaya yang mengancam pada satu waktu yang sama? Adakah orang Islam sunnah yang sengaja  mencari hujjah untuk menyerang syi'ah, atau realitinya telah jelas dengan lebih daripada satu dalil bahawa serangan datang dari pihak mereka?

Sesungguhnya kita telah bentangkan sejarah syi'ah di dalam dua artikel terdahulu (asal-usul syi'ah) dan artikel (penguasaan syi'ah), kita dapati pencerobohan syi'ah secara terang-terangan ke atas umat Islam, dan saya tidak mengira realiti kita hari ini berlainan dari sejarah silam kita, bahkan saya menyaksikan bahawa sejarah memang berulang, dan anak-anak mewarisi dendam kesumat bapa dan datuk mereka. Kita tidak boleh mengharapkan kebaikan lahir daripada mereka yang mendakwa seluruh generasi sahabat itu rosak kecuali beberapa orang sahaja. Dakwaan itu jelas mendustakan kata-kata Rasul kita s.a.w. yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah kurunku." Ini adalah Hadis yang terdapat di dalam kitab al-Bukhari dan Muslim juga kitab-kitab sahih lain termasuk sunan dan musnad.

Sesungguhnya realiti syi'ah pada zaman kita sekarang, bukan zaman dahulu saja, amat sedih dan menyakitkan.

Mari kita ulangkaji beberapa perkara penting supaya pandangan kita lebih jelas. Dengan itu akan membantu kita untuk memahami pendirian yang paling ideal yang wajib kita ambil terhadap syi'ah. Dan pada ketika itu juga kita akan tahu adakah kita wajib bercakap atau diam lebih afdhal?

Pertama: Semua kita mengetahui pendirian syi'ah terhadap Sahabat Rasulullah s.a.w. bermula dari Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Faruq, Dzun-Nurain Uthman bin Affan radhiallahu 'anhum, sampailah kepada Ummahatul-Mukminin, terutamanya Ummul-Mukminin Aisyah r.anha, sehingga meliputi seluruh generasi yang hebat ini. Kitab-kitab rujukan mereka, bahkan aqidah dan rukun kepercayaan mereka mendakwa generasi sahabat adalah fasiq atau murtad. Kebanyakan mereka dihukum sesat serta dituduh menyembunyikan agama dan menyelewengkannya.

Di sini, adakah kita wajib memerhati dan mendiamkan diri untuk mengelak berlakunya fitnah?

Manakah fitnah yang lebih besar daripada menuduh generasi yang unik ini sebagai fasad dan dusta?

Mari rujuk bersamaku kata-kata yang cukup mendalam yang pernah diucapkan oleh sahabat besar, Jabir bin Abdullah r.a.: “Apabila akhir umat ini melaknat generasi awalnya, maka sesiapa yang ada ilmu di sisinya, maka zahirkanlah. Sekiranya dia menyembunyikannya, seolah-olah dia menyembunyikan apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.”

Adakah kamu faham betapa mendalamnya makna yang terkandung di dalam kata-kata itu?
Sesungguhnya mencerca generasi sahabat bukan sekadar mencerca satu kaum yang telah pergi bersama dengan apa yang telah mereka sumbangkan, tidak seperti apa yang disebut oleh setengah pihak bahawa cercaan itu tidak memudaratkan mereka kerana mereka telah berada di dalam syurga. Namun masalah ini sangat bahaya kerana mencerca para sahabat pada hakikatnya secara langsung mencerca dan meragui agama ini. Ini kerana kita tidak menerima agama kecuali daripada sahabat-sahabat ridhwanallahu alaihim. Apabila diragui akhlak mereka, niat mereka dan amalan mereka, maka agama mana yang kita akan ikut? Sesungguhnya jika kita terima dakwaan mereka, lenyaplah agama ini, lenyaplah hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan suruhan-suruhannya. Bahkan kita bertanya kepada syi’ah, al-Quran mana yang kamu baca? Bukankah al-Quran ini disampaikan oleh seluruh sahabat yang kamu cerca itu? Bukankah orang yang bertanggungjawab mengumpul al-Quran adalah Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang kamu dakwa membuat helah untuk meraih jawatan khalifah? Mengapa kamu tidak mengubah al-Quran sebagaimana kamu kata orang sunnah mengubahnya?

Sesungguhnya Rasul kita s.a.w. bersabda di dalam sepotong hadis bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku.” Maka sunnah khulafa’ ar-Rasyidin merupakan satu juzuk yang tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam. Apa yang dilaksanakan oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali sama ada hukum hakam dan pendirian-pendirian merupakan hujjah yang wajib dipegang oleh kaum muslimin sepanjang waktu dan tempat sehingga ke hari qiamat. Maka bagaimana mungkin kita menerima cercaan dan tuduhan jahat ke atas mereka?

Lantaran itu kita dapati ulamak kita yang mulia terus bangkit apabila melihat seseorang mencerca sahabat walaupun dengan satu perkataan. Contohnya Ahmad bin Hanbal berkata: “Apabila kamu melihat seseorang menyebut sesuatu yang tidak baik tentang sahabat Rasulullah s.a.w., maka raguilah keislamannya.” Al-Qadhi Abu Ya’li berkata: “Pendirian para fuqaha’ tentang mencela sahabat, sekiranya seseorang mencela dalam keadaan dia menganggap perbuatan itu halal, maka dia kafir. Kalau dia tidak menganggap perbuatan itu halal, maka dia fasiq.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata: “Apabila kamu melihat seseorang merendahkan sahabat Nabi s.a.w., ketahuilah bahawa dia adalah zindiq.” Ibn Taimiyyah berkata: “Sesiapa yang mendakwa bahawa para sahabat telah murtad selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. kecuali beberapa orang yang tidak sampai sepuluh orang, atau menuduh semua sahabat telah fasiq, maka tiada keraguan lagi tentang kekufurannya.”

Semua itu menunjukkan betapa beratnya orang yang melekehkan sahabat kerana sahabat merupakan orang yang menyampaikan agama ini kepada kita. Kalau diragui atau direndah-rendahkan salah seorang daripada mereka, maka sebenarnya kita meragui agama ini sendiri. Selain itu, generasi sahabat dipuji di dalam beberapa ayat al-Quran serta hadis-hadis Nabi s.a.w. di beberapa tempat yang tidak terhitungkan. Jadi mencerca sahabat bererti mendustakan Allah dan RasulNya.

Boleh jadi ada orang akan berkata, kami tidak pernah mendengar si fulan atau seorang ketua syi’ah sekarang mencerca sahabat? Saya ingin menarik perhatian mereka kepada tiga noktah:

Noktah Pertama: syi’ah ithna ‘asyariyyah dibina di atas asas bahawa sahabat berkonspirasi ke atas Ali dan ahli bait juga ke atas imam-imam yang menjadi pegangan syi’ah. Oleh itu tidak ada di sana syi’ah ithna ‘asyariyyah (Iran, Iraq dan Lubnan) kecuali beri’tiqad bahawa sahabat adalah fasad (rosak agamanya). Andainya mereka beri’tiqad sahabat tidak fasad, runtuhlah prinsip syi’ah dari asasnya. Oleh itu, sesuatu yang telah diketahui umum bahawa semua syi’ah, pemimpin serta pengikutnya tidak percaya serta tidak menghormati sahabat dan tidak mengambil agama daripada mereka dalam apa bentuk sekalipun.

Noktah Kedua: pemimpin syi’ah selalunya cuba lari dari menampakkan sikap mereka yang sangat membenci sahabat. Sekalipun kadang-kadang terpapar pada sesetengah perkataan atau pendirian mereka sebagaimana digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud: “…dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya…” (Muhammad:30). Sesungguhnya semua telah menyaksikan perdebatan antara Dr Yusuf al-Qaradhawi (semoga Allah memeliharanya) dengan Rafsanjani menerusi saluran al-Jazirah. Kita saksikan bagaimana Rafsanjani lari daripada percubaan yang diusahakan oleh Dr al-Qaradhawi untuk membuatkan dia menyebut baik tentang sahabat atau Ummahatul-Mukminin. Dan ketika mana ditanya Khammini, pemimpin thaurah Iran sekarang tentang hukum mencela sahabat, dia tidak berkata, salah atau haram. Sebaliknya dia menjawab dengan jawapan yang kabur. Dia berkata: “Sesungguhnya apa-apa perkataan yang membawa kepada perpecahan di antara golongan muslimin dari sudut syara’ adalah haram.” Maka keharaman mencela sahabat menurut pandangannya ialah kerana ia membawa perpecahan, bukan kerana perbuatan itu haram pada asalnya. Perkara ini telah disiarkan di dalam surat khabar al-Ahram Mesir pada 23 November 2006.

Noktah Ketiga: Menyedari aqidah taqiyyah yang merupakan 9/10 agama di sisi mereka seperti yang mereka katakan sendiri. Ini bermakna mereka memang biasa berkata perkara yang bercanggah dengan aqidah mereka sendiri dalam keadaan mereka tidak ada kuasa. Adapun ketika mereka telah berkuasa, maka mereka akan nyatakan pendirian mereka dengan jelas. Sesungguhnya kita telah ikuti sejarah syi’ah. Dan kita lihat bahawa ketika mereka menguasai negeri sunni seperti khilafah Abbasiyyah di Iraq, Mesir, Maghribi dan lain-lain, mereka menzahirkan secara nyata kutukan kepada sahabat dan mereka menjadikannya sebagai salah satu daripada perkara asas di sisi mereka.
Oleh itu, jelas kepada kita berdasarkan apa yang dibentangkan kepentingan bercakap untuk menjelaskan kebenaran mengenai sahabat yang mulia. Jika tidak, maka orang yang berdiam diri dari berkata benar adalah syaitan bisu. Dan akibat berdiam diri dalam hal ini, adalah hilangnya agama itu sendiri.

Kedua: bersambung… insyaaAllah

Thursday, September 05, 2013

Kenyataan Rasmi Ikhwan Muslimin sempena berlalunya dua bulan inqilab (rampasan kuasa) berdarah




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Wahai Bangsa Mesir yang mulia, wahai mereka yang telah mengajar dunia erti ketamadunan, yang telah membuatkan dunia kagum dengan thaurahmu yang aman dan hebat pada 25 Januari 2011, sesungguhnya kamu telah kembali semula mengajar dunia bahawa kemerdekaan itu lebih mahal harganya daripada kehidupan dan kemuliaan maruah manusia lebih tinggi daripada kemewahan. Sesungguhnya kamu telah keluar berdemo secara berterusan dengan dadamu yang tidak berperisai dan tanganmu yang tidak memegang senjata selama dua bulan lamanya supaya engkau bisa berkata kepada dunia : siapa di antara kalian yang mempunyai dua mata, lihatlah! Dan siapa di antara kalian yang mempunyai dua telinga, dengarlah! Sesungguhnya kami tidak sekali-kali akan tunduk kepada kekerasan dan keganasan. Sesungguhnya kami akan menyahkan inqilab ketenteraan dengan izin Allah walau semahal mana harganya.

Wahai Bangsa Mesir! Sesungguhnya kamu telah kemukakan ribuan syuhada', ribuan ahli yang cedera, ribuan yang ditangkap dan disumbat ke dalam penjara, namun semua itu tidak melemahkan keazamanmu kerana kamu beriman kepada Allah, yakin kepada kebenaran dan keadilan perjuangan kamu sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Aali ’Imran:139)

Sesungguhnya rampasan kuasa berdarah bertaruh dengan masa. Mereka menggambarkan bahawa thaurah kamu akan padam dengan berlalunya masa. Tetapi kamu akan hampakan harapan mereka dengan izin Allah. Kamu akan sabar, kamu akan teguh di atas pendirianmu sehingga kamu mencapai kemenangan sebagaimana dijanjikan oleh penghulu kita Rasulullah s.a.w. “Ketahuilah bahawa kemenangan beserta dengan kesabaran, kejayaan beserta dengan kesukaran, dan bersama kesusahan itu ada kemudahan.”

Wahai Bangsa Mesir yang mulia, sesungguhnya kekerasan yang melampau batas yang digunakan oleh puak-puak perampas kuasa sebenarnya menunjukkan kelemahan mereka. Semakin bertambah kekerasan mereka semakin jelas bukti kelemahan mereka kerana mereka tidak punya sandaran syar’iyyah, mereka merampas kuasa, mereka menentang rakyat. Dan dalil yang menunjukkan kelemahan ini terlalu banyak untuk dihitungkan. Mereka menyembunyikan presiden yang sah. Mereka takut untuk membebasakannya. Mereka menangkap ribuan para pemimpin dari pelbagai golongan anak watan termasuk wanita dan gadis-gadis remaja. Mereka takut kepada media yang bebas dengan menutup saluran-saluran TV yang menentang inqilab, mereka bisukan mulut-mulut, mereka isytiharkan undang-undang darurat dan mengenakan perintah berkurung. Mereka tutup semua medan tempat berhimpun dengan menggunakan kekuatan tentera dan polis. Mereka hentikan pergerakan kereta api. Mereka kembali mengheret rakyat biasa ke mahkamah tentera. Mereka lakukan penyembelihan besar-besaran yang memakan korban yang begitu ramai dengan meletakkan tentera dan polis sebagai pembantai rakyat buat kali pertama di dalam sejarah. Mereka menjadikan darah mengalir laksana sungai, mencantas nyawa-nyawa yang suci dan tidak berdosa, membakar apa saja termasuk masjid, kitab suci al-Quran dan hospital. Semua itu bertujuan untuk mengugut dan menakutkan rakyat. Namun, gelombang manusia terus mengalir di medan-medan dan di jalanraya-jalanraya, makin bertambah berkali-kali ganda. Bahkan ramai di kalangan mereka pada mulanya ditipu oleh puak perampas kuasa, apabila mengetahui hakikat sebenar, mereka bangkit sama-sama mendukung kebenaran.

Sesungguhnya permasalahannya jelas, tiada kekaburan lagi. Rakyat berpihak dan memilih kemerdekaan, kemuliaan dan ketuanannya. Sedangkan sekumpulan askar mahu memperhambakan rakyat dan memerintah mereka dengan besi dan api. Mereka menguasai pusat-pusat pemerintahan Negara untuk kepentingan peribadi mereka. Namun kesudahannya tetap menjadi milik rakyat kerana kehendak rakyat adalah daripada kehendak Allah yang berfirman maksudnya: “…dan (Ingatlah), sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaq:3)

Maka berhimpunlah wahai orang ramai di semua tempat dan bertebaranlah (perhimpunan itu) di serata pelusuk sehingga para perampas penumpah darah tidak menemui jalan di hadapan mereka kecuali cabut lari dan berangkat pergi.

Ikhwan Muslimun
Cairo : 28 Syawwal 1434 / 4 September 2013

Sumber:

Wednesday, August 28, 2013

Sajak : Syuhada' Rabi'ah al-'Adawiyyah


Oleh Penulis tak dikenali

Perlahankan langkahmu daripada bumi Rabi'ah
Dan tanggalkan sepatumu
Sesungguhnya engkau kini berada di bumi orang-orang yang sujud
Dan tanyalah darah yang mengalir itu
Adakah sang pembunuh mempunyai agama?
Tanyalah Shaikh-shaikh yang menjual dhamirnya
Kepada kuasa kezaliman dan orang-orang yang membuat kerosakan
Bagaimana mereka datang menyerang sedangkan roh-roh di sini bergantung dengan tauhid
Dan Muhammad utusan ke seluruh alam?
Tanyalah bulan Ramadhan dan puasanya
Dengarlah doa orang-orang yang berzikir
Tanyalah solat fardhu dan sunat
Tentang kekhusyukan orang-orang yang beribadat
Tanyalah imam di dalam tilawahnya
Dan tangisan orang-orang yang khusyu'
Angkat tapak kakimu dari memijak darah yang suci
Sungai yang dilimpahi darah ahli thaurah
Angkatlah tangamu kepada Allah memohon doa
Supaya engkau dapat mendampingin para mujahidin
Sesungguhnya menolong kebenaran itu fardhu
Ke atas setiap orang yang mampu
Tanyalah mereka yang terpedaya dengan kekuatannya
Di manakah Firaun dan orang-orang yang terdahulu
Mereka berada di bawah tanah, ketamakan merekapun telah menyepi
Dan di dalam neraka mereka bermukim
Andainya engkau mahu menangis, maka tangisilah pada zaman
Yang memegang tampuk pemerintahannya para pengkhianat
Seandainya jihad itu ada lambang ada kemegahan
Maka para syuhada' Rabi'ah itulah sebenar-benarnya 'ainul yaqin kemegahan

Monday, August 26, 2013

Perutusan al-Beltagy: Kami bangkit melawan inqilab demi kemuliaan rakyat Mesir



Al-Beltagy, anggota Majlis Tertinggi FJP menegaskan bahawa penyembelihan yang dilakukan oleh puak-puak inqilab ketika menyuraikan demonstran di "Rabi'ah" dan "Nahdhah" serta tindakan selanjutnya membakar mayat, membiarkan mereka yang luka tanpa rawatan, mengepong masjid-masjid lantas membakar serta menceroboh kesuciannya, tidak pernah berlaku seumpamanya di dalam sejarah.

Sesungguhnya jenayah yang dilakukan oleh inqibiyyun, iaitu membunuh serta membakar mereka yang ditangkap, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana puak yang melampau di dalam sejarah. Sesungguhnya inqilabiyyun benar-benar tenggelam di dalam kejahatan dan melakukan jenayah paling kejam sehingga ke tahap membunuh tentera mereka sendiri.

Sesungguhnya kesalahan kita hanyalah, kita segolongan rakyat yang berhimpun selama 48 hari untuk berkata dengan mulut, bukan dengan sesuatu yang lain, berkata : "TIDAK KEPADA INQILAB ASKARIY (rampasan kuasa tentera). Kami selama-lamanya tidak akan terima Mesir beralih kepada negara askar yang berdarah.

Sesungguhnya inqilabiyyun telah terbongkar keburukannya di peringkat dalaman dan antarabangsa. Lantaran itu mereka cuba untuk mengalihkan tajuk kepada isu yang boleh menarik perhatian dunia kepadanya. Mereka menipu negara-negara luar dan bangsa-bangsa tertentu dengan istilah memerangi keganasan.

Sesungguhnya pakatan demonstrasi aman yang berterusan selama 48 hari di kelilingi oleh komplek-komplek ketenteraan seperti bahagian kewangan angkatan bersenjata, ibu pejabat perisikan perang dan lain-lain bangunan milik askar. Selama tempoh itu kami tidak pernah membaling walaupun seketul anak batu ke arah bangunan-bangunan itu, tidak pernah mengunci pintu-pintu atau menyerang seorang tenterapun.

Al-Beltagy juga menafikan sekeras-kerasnya pembohongan kononnya pakatan mempunyai senjata. Kononnya para demonstran dan Ikhwan memiliki berbagai-bagai jenis senjata. Kalau betul, kenapa kami tidak mempertahankan anak-anak kami yang mereka bunuh? Kenapa kami tidak gunakan senjata itu, kalau betul ada  untuk mempertahankan Mursyid kami dan pemimpin Ikhwan lain yang mereka tangkap?

Beliau bertanya, keganasan apakah yang telah dilakukan oleh Ikhwan Muslimun atau ikhwan adalah pasukan bersenjata yang mereka jaja ke seluruh Mesir? Apa guna senjata, padahal orang yang terbunuh dalam kalangan kami beribu-ribu?

Beliau mengutuk tuduhan puak inqilab bahawa Ikhwan adalah pengganas untuk menjadikan alasan bahawa jenayah yang mereka lakukan diistilahkan sebagai memerangi keganasan. Kalau betul Ikhwan pengganas, adakah al-Beblawi hendak berunding dengan kumpulan pengganas seusai dia dilantik sebagai perdana menteri? Sejak bila as-Sisi mengetahui bahawa Jamaah Ikhwan ini pengganas?

As-Sisi adalah ketua perisikan perang. Selama ini dia tidak pernahpun memberitahu sesiapa bahawa Ikhwan adalah pengganas. Bagaimana dia boleh membenarkan kumpulan "pengganas" memasuki pilihanraya parleman, memenangi majoriti yang memimpin parleman?

Bagaimana as-Sisi boleh membenarkan dirinya ikut mencalonkan seorang anggota jamaah "pengganas" sebagai presiden republik, dan calon itu menang, dia berdiri di hadapannya sambil mengangkat sumpah sedangkan dia tahu bahawa jamaah ini "pengganas"?

Sesungguhnya tuduhan-tuduhan palsu itu sebenarnya bertujuan untuk menarik sokongan rakyat Mesir yang bawahan supaya menyokong mereka memerangi penentang inqilab.

Al-Beltagy  menyatakan dengan tegas bahawa Ikhwan tidak keluar dan tidak bangkit menentang inqilab dengan mengorbankan nyawa anak-anak mereka dan nyawa mereka sendiri, mereka tidak lakukan itu semua kerana mengharap apa-apa keuntungan. Sebaliknya apa yang Ikhwan mahu ialah rakyat mendapat hak mereka untuk hidup mulia, membina negara madani, demokrasi yang adil

Beliau berkata kepada rakyat Mesir: jangan biarkan hati kecil kamu berdiam diri terhadap kezaliman. Jangan takut kepada inqilabiyyin. Jangan jadi seperti syaitan bisu. Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa orang yang tidak menolong orang yang dizalimi, Allah akan timpakan ujian ke atasnya dengan yang lebih berat, namun tidak ada siapa yang akan menolongnya.


Sumber:
http://ikhwanonline.net/Article.aspx?ArtID=160929&SecID=250