Thursday, September 05, 2013

Kenyataan Rasmi Ikhwan Muslimin sempena berlalunya dua bulan inqilab (rampasan kuasa) berdarah




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Wahai Bangsa Mesir yang mulia, wahai mereka yang telah mengajar dunia erti ketamadunan, yang telah membuatkan dunia kagum dengan thaurahmu yang aman dan hebat pada 25 Januari 2011, sesungguhnya kamu telah kembali semula mengajar dunia bahawa kemerdekaan itu lebih mahal harganya daripada kehidupan dan kemuliaan maruah manusia lebih tinggi daripada kemewahan. Sesungguhnya kamu telah keluar berdemo secara berterusan dengan dadamu yang tidak berperisai dan tanganmu yang tidak memegang senjata selama dua bulan lamanya supaya engkau bisa berkata kepada dunia : siapa di antara kalian yang mempunyai dua mata, lihatlah! Dan siapa di antara kalian yang mempunyai dua telinga, dengarlah! Sesungguhnya kami tidak sekali-kali akan tunduk kepada kekerasan dan keganasan. Sesungguhnya kami akan menyahkan inqilab ketenteraan dengan izin Allah walau semahal mana harganya.

Wahai Bangsa Mesir! Sesungguhnya kamu telah kemukakan ribuan syuhada', ribuan ahli yang cedera, ribuan yang ditangkap dan disumbat ke dalam penjara, namun semua itu tidak melemahkan keazamanmu kerana kamu beriman kepada Allah, yakin kepada kebenaran dan keadilan perjuangan kamu sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Aali ’Imran:139)

Sesungguhnya rampasan kuasa berdarah bertaruh dengan masa. Mereka menggambarkan bahawa thaurah kamu akan padam dengan berlalunya masa. Tetapi kamu akan hampakan harapan mereka dengan izin Allah. Kamu akan sabar, kamu akan teguh di atas pendirianmu sehingga kamu mencapai kemenangan sebagaimana dijanjikan oleh penghulu kita Rasulullah s.a.w. “Ketahuilah bahawa kemenangan beserta dengan kesabaran, kejayaan beserta dengan kesukaran, dan bersama kesusahan itu ada kemudahan.”

Wahai Bangsa Mesir yang mulia, sesungguhnya kekerasan yang melampau batas yang digunakan oleh puak-puak perampas kuasa sebenarnya menunjukkan kelemahan mereka. Semakin bertambah kekerasan mereka semakin jelas bukti kelemahan mereka kerana mereka tidak punya sandaran syar’iyyah, mereka merampas kuasa, mereka menentang rakyat. Dan dalil yang menunjukkan kelemahan ini terlalu banyak untuk dihitungkan. Mereka menyembunyikan presiden yang sah. Mereka takut untuk membebasakannya. Mereka menangkap ribuan para pemimpin dari pelbagai golongan anak watan termasuk wanita dan gadis-gadis remaja. Mereka takut kepada media yang bebas dengan menutup saluran-saluran TV yang menentang inqilab, mereka bisukan mulut-mulut, mereka isytiharkan undang-undang darurat dan mengenakan perintah berkurung. Mereka tutup semua medan tempat berhimpun dengan menggunakan kekuatan tentera dan polis. Mereka hentikan pergerakan kereta api. Mereka kembali mengheret rakyat biasa ke mahkamah tentera. Mereka lakukan penyembelihan besar-besaran yang memakan korban yang begitu ramai dengan meletakkan tentera dan polis sebagai pembantai rakyat buat kali pertama di dalam sejarah. Mereka menjadikan darah mengalir laksana sungai, mencantas nyawa-nyawa yang suci dan tidak berdosa, membakar apa saja termasuk masjid, kitab suci al-Quran dan hospital. Semua itu bertujuan untuk mengugut dan menakutkan rakyat. Namun, gelombang manusia terus mengalir di medan-medan dan di jalanraya-jalanraya, makin bertambah berkali-kali ganda. Bahkan ramai di kalangan mereka pada mulanya ditipu oleh puak perampas kuasa, apabila mengetahui hakikat sebenar, mereka bangkit sama-sama mendukung kebenaran.

Sesungguhnya permasalahannya jelas, tiada kekaburan lagi. Rakyat berpihak dan memilih kemerdekaan, kemuliaan dan ketuanannya. Sedangkan sekumpulan askar mahu memperhambakan rakyat dan memerintah mereka dengan besi dan api. Mereka menguasai pusat-pusat pemerintahan Negara untuk kepentingan peribadi mereka. Namun kesudahannya tetap menjadi milik rakyat kerana kehendak rakyat adalah daripada kehendak Allah yang berfirman maksudnya: “…dan (Ingatlah), sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaq:3)

Maka berhimpunlah wahai orang ramai di semua tempat dan bertebaranlah (perhimpunan itu) di serata pelusuk sehingga para perampas penumpah darah tidak menemui jalan di hadapan mereka kecuali cabut lari dan berangkat pergi.

Ikhwan Muslimun
Cairo : 28 Syawwal 1434 / 4 September 2013

Sumber:

No comments: