Monday, August 26, 2013

Perutusan al-Beltagy: Kami bangkit melawan inqilab demi kemuliaan rakyat Mesir



Al-Beltagy, anggota Majlis Tertinggi FJP menegaskan bahawa penyembelihan yang dilakukan oleh puak-puak inqilab ketika menyuraikan demonstran di "Rabi'ah" dan "Nahdhah" serta tindakan selanjutnya membakar mayat, membiarkan mereka yang luka tanpa rawatan, mengepong masjid-masjid lantas membakar serta menceroboh kesuciannya, tidak pernah berlaku seumpamanya di dalam sejarah.

Sesungguhnya jenayah yang dilakukan oleh inqibiyyun, iaitu membunuh serta membakar mereka yang ditangkap, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana puak yang melampau di dalam sejarah. Sesungguhnya inqilabiyyun benar-benar tenggelam di dalam kejahatan dan melakukan jenayah paling kejam sehingga ke tahap membunuh tentera mereka sendiri.

Sesungguhnya kesalahan kita hanyalah, kita segolongan rakyat yang berhimpun selama 48 hari untuk berkata dengan mulut, bukan dengan sesuatu yang lain, berkata : "TIDAK KEPADA INQILAB ASKARIY (rampasan kuasa tentera). Kami selama-lamanya tidak akan terima Mesir beralih kepada negara askar yang berdarah.

Sesungguhnya inqilabiyyun telah terbongkar keburukannya di peringkat dalaman dan antarabangsa. Lantaran itu mereka cuba untuk mengalihkan tajuk kepada isu yang boleh menarik perhatian dunia kepadanya. Mereka menipu negara-negara luar dan bangsa-bangsa tertentu dengan istilah memerangi keganasan.

Sesungguhnya pakatan demonstrasi aman yang berterusan selama 48 hari di kelilingi oleh komplek-komplek ketenteraan seperti bahagian kewangan angkatan bersenjata, ibu pejabat perisikan perang dan lain-lain bangunan milik askar. Selama tempoh itu kami tidak pernah membaling walaupun seketul anak batu ke arah bangunan-bangunan itu, tidak pernah mengunci pintu-pintu atau menyerang seorang tenterapun.

Al-Beltagy juga menafikan sekeras-kerasnya pembohongan kononnya pakatan mempunyai senjata. Kononnya para demonstran dan Ikhwan memiliki berbagai-bagai jenis senjata. Kalau betul, kenapa kami tidak mempertahankan anak-anak kami yang mereka bunuh? Kenapa kami tidak gunakan senjata itu, kalau betul ada  untuk mempertahankan Mursyid kami dan pemimpin Ikhwan lain yang mereka tangkap?

Beliau bertanya, keganasan apakah yang telah dilakukan oleh Ikhwan Muslimun atau ikhwan adalah pasukan bersenjata yang mereka jaja ke seluruh Mesir? Apa guna senjata, padahal orang yang terbunuh dalam kalangan kami beribu-ribu?

Beliau mengutuk tuduhan puak inqilab bahawa Ikhwan adalah pengganas untuk menjadikan alasan bahawa jenayah yang mereka lakukan diistilahkan sebagai memerangi keganasan. Kalau betul Ikhwan pengganas, adakah al-Beblawi hendak berunding dengan kumpulan pengganas seusai dia dilantik sebagai perdana menteri? Sejak bila as-Sisi mengetahui bahawa Jamaah Ikhwan ini pengganas?

As-Sisi adalah ketua perisikan perang. Selama ini dia tidak pernahpun memberitahu sesiapa bahawa Ikhwan adalah pengganas. Bagaimana dia boleh membenarkan kumpulan "pengganas" memasuki pilihanraya parleman, memenangi majoriti yang memimpin parleman?

Bagaimana as-Sisi boleh membenarkan dirinya ikut mencalonkan seorang anggota jamaah "pengganas" sebagai presiden republik, dan calon itu menang, dia berdiri di hadapannya sambil mengangkat sumpah sedangkan dia tahu bahawa jamaah ini "pengganas"?

Sesungguhnya tuduhan-tuduhan palsu itu sebenarnya bertujuan untuk menarik sokongan rakyat Mesir yang bawahan supaya menyokong mereka memerangi penentang inqilab.

Al-Beltagy  menyatakan dengan tegas bahawa Ikhwan tidak keluar dan tidak bangkit menentang inqilab dengan mengorbankan nyawa anak-anak mereka dan nyawa mereka sendiri, mereka tidak lakukan itu semua kerana mengharap apa-apa keuntungan. Sebaliknya apa yang Ikhwan mahu ialah rakyat mendapat hak mereka untuk hidup mulia, membina negara madani, demokrasi yang adil

Beliau berkata kepada rakyat Mesir: jangan biarkan hati kecil kamu berdiam diri terhadap kezaliman. Jangan takut kepada inqilabiyyin. Jangan jadi seperti syaitan bisu. Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa orang yang tidak menolong orang yang dizalimi, Allah akan timpakan ujian ke atasnya dengan yang lebih berat, namun tidak ada siapa yang akan menolongnya.


Sumber:
http://ikhwanonline.net/Article.aspx?ArtID=160929&SecID=250 

No comments: