(Artikel ini terjemahan kepada tulisan Dr.
Raghib as-Sarjani (30/4/2009) yang berjodol “Bahaya Syi’ah”. Jodolnya sengaja
ditukar kepada bentuk soalan supaya kita sama-sama dapat memberikan jawapan
kita sendiri apabila membaca artikel ini sampai tamat)
Ramai di kalangan umat Islam berpandangan
bahawa untuk mengambil pendirian tertentu terhadap Syi'ah merupakan suatu
perkara yang sukar, suatu perkara yang membingungkan. Kesukaran ini berpunca
dari pelbagai sebab. Antaranya:
1. Tiada maklumat. Bagi kebanyakan umat Islam, Syi'ah
merupakan suatu entiti yang kabur, tidak diketahui apa hakikat sebenarnya,
bagaimana ia muncul, tidak pernah dikaji masa lampaunya dan tidak dipeduli masa
depannya. Dengan itu, terlalu ramai dari kalangan umat Islam yang percaya
bahawa Syi'ah tidak lain hanya satu daripada mazhab-mazhab dalam Islam seperti
Syafi'ei, Maliki dan seumpamanya. Mereka tidak mengetahui bahawa perselisihan
antara sunnah dan syi'ah bukan pada perkara cabang sahaja, tetapi banyak perselisihan
dalam perkara usul atau pokok juga.
2. Kebanyakan muslimin tidak berpijak di alam realiti dan
tidak melihat dari sudut amali. Mereka hanya menganyam mimpi-mimpi yang positif
tanpa membuat sebarang kajian dan analisis. Maka kita dapati sebahagian mereka
berkata, seolah-olah mereka bercakap dengan bahasa lojik, kenapa kita
bercakaran? Mari
kita duduk. Lupakan perselisihan kita. Orang sunnah letakkan tangannya di atas
tangan orang syi'ah bersatu di atas jalan yang sama. Bukankah kita semua
beriman kepada Allah, RasulNya dan Hari Akhirat?
Mereka lupa sebenarnya perkara ini amat
complicated, jauh lebih sukar daripada apa yang mereka duga. Sebagai contoh,
orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya serta Hari Akhirat, tetapi dia
menghalalkan arak atau zina umpamanya, maka dia jadi kafir. Menghalalkan
sesuatu perkara bermaksud dia menganggapnya halal, mengingkari keharaman yang
telah dinyatakan di dalam al-Quran atau as-Sunnah. Apabila kita mengambil isu
ini sebagai titik tolak kepada pandangan kita, maka kita akan nampak beberapa
perkara yang sangat-sangat berbahaya di dalam cerita syi'ah yang memerlukan
penelitian yang mendalam oleh para ulamak bagi menentukan pandangan agama
terhadap bid'ah puak syi'ah yang tersasar jauh.
3.
Kemudian, antara perkara
yang agak sulit juga ialah banyak pertelingkahan dan permasalahan di dalam
kebanyakan negara-negara umat Islam, banyaknya musuh-musuh dari kalangan
Yahudi, Tentera Salib, Komunis, Hindu dan lain-lain. Maka setengah mereka yang
kononnya berpegang kepada lojik berpandangan kita tidak sepatutnya membuka
gelanggang pertelingkahan yang baru.
Pandangan ini mungkin betul kalau sekiranya gelanggang
itu tertutup dan kita cuba untuk membukanya. Tetapi kalau gelanggang itu memang
telah sedia terbuka dan perlawanan telahpun bermula, serangan datang
bertubi-tubi pagi dan petang. Maka dalam keadaan ini berdiam diri merupakan
sesuatu yang amat memalukan. Tidak ada alasan yang
munasabah, kebanyakan pihak mengulang-ulang persoalan adakah mereka lebih
bahaya daripada Yahudi? Sesungguhnya soalan seperti itu sebenarnya bertujuan
untuk mendiamkan mulut orang yang peka dengan kepentingan umat dan merencatkan
usaha orang yang bekerja untuk memelihara dan melindungi kesejahteraannya. Saya
ingin menjawab soalan mereka dengan berkata kepada mereka: apakah yang
menghalang umat Islam berdepan dengan dua bahaya yang mengancam pada satu waktu
yang sama? Adakah orang Islam sunnah yang sengaja mencari hujjah untuk menyerang syi'ah, atau
realitinya telah jelas dengan lebih daripada satu dalil bahawa serangan datang
dari pihak mereka?
Sesungguhnya kita telah bentangkan sejarah
syi'ah di dalam dua artikel terdahulu (asal-usul syi'ah) dan artikel
(penguasaan syi'ah), kita dapati pencerobohan syi'ah secara terang-terangan ke
atas umat Islam, dan saya tidak mengira realiti kita hari ini berlainan dari
sejarah silam kita, bahkan saya menyaksikan bahawa sejarah memang berulang, dan
anak-anak mewarisi dendam kesumat bapa dan datuk mereka. Kita tidak boleh
mengharapkan kebaikan lahir daripada mereka yang mendakwa seluruh generasi
sahabat itu rosak kecuali beberapa orang sahaja. Dakwaan itu jelas mendustakan
kata-kata Rasul kita s.a.w. yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah
kurunku." Ini adalah Hadis yang terdapat di dalam kitab al-Bukhari dan
Muslim juga kitab-kitab sahih lain termasuk sunan dan musnad.
Sesungguhnya realiti syi'ah pada zaman kita sekarang, bukan
zaman dahulu saja, amat sedih dan menyakitkan.
Mari kita ulangkaji beberapa perkara penting
supaya pandangan kita lebih jelas. Dengan itu akan membantu kita untuk memahami
pendirian yang paling ideal yang wajib kita ambil terhadap syi'ah. Dan pada
ketika itu juga kita akan tahu adakah kita wajib bercakap atau diam lebih
afdhal?
Pertama: Semua kita mengetahui pendirian syi'ah
terhadap Sahabat Rasulullah s.a.w. bermula
dari Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Faruq, Dzun-Nurain Uthman bin Affan
radhiallahu 'anhum, sampailah kepada Ummahatul-Mukminin, terutamanya
Ummul-Mukminin Aisyah r.anha, sehingga meliputi seluruh generasi yang hebat
ini. Kitab-kitab rujukan mereka, bahkan aqidah dan rukun kepercayaan mereka
mendakwa generasi sahabat adalah fasiq atau murtad. Kebanyakan mereka dihukum
sesat serta dituduh menyembunyikan agama dan menyelewengkannya.
Di sini, adakah kita wajib memerhati dan
mendiamkan diri untuk mengelak berlakunya fitnah?
Manakah fitnah yang lebih besar daripada
menuduh generasi yang unik ini sebagai fasad dan dusta?
Mari rujuk bersamaku kata-kata yang cukup
mendalam yang pernah diucapkan oleh sahabat besar, Jabir bin Abdullah r.a.:
“Apabila akhir umat ini melaknat generasi awalnya, maka sesiapa yang ada ilmu
di sisinya, maka zahirkanlah. Sekiranya dia menyembunyikannya, seolah-olah dia
menyembunyikan apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.”
Adakah kamu faham betapa mendalamnya makna yang
terkandung di dalam kata-kata itu?
Sesungguhnya mencerca generasi sahabat bukan
sekadar mencerca satu kaum yang telah pergi bersama dengan apa yang telah
mereka sumbangkan, tidak seperti apa yang disebut oleh setengah pihak bahawa
cercaan itu tidak memudaratkan mereka kerana mereka telah berada di dalam
syurga. Namun masalah ini sangat bahaya kerana mencerca para sahabat pada
hakikatnya secara langsung mencerca dan meragui agama ini. Ini kerana kita
tidak menerima agama kecuali daripada sahabat-sahabat ridhwanallahu alaihim.
Apabila diragui akhlak mereka, niat mereka dan amalan mereka, maka agama mana
yang kita akan ikut? Sesungguhnya jika kita terima dakwaan mereka, lenyaplah
agama ini, lenyaplah hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan suruhan-suruhannya.
Bahkan kita bertanya kepada syi’ah, al-Quran mana yang kamu baca? Bukankah
al-Quran ini disampaikan oleh seluruh sahabat yang kamu cerca itu? Bukankah
orang yang bertanggungjawab mengumpul al-Quran adalah Abu Bakar as-Siddiq r.a.
yang kamu dakwa membuat helah untuk meraih jawatan khalifah? Mengapa kamu tidak
mengubah al-Quran sebagaimana kamu kata orang sunnah mengubahnya?
Sesungguhnya Rasul kita s.a.w. bersabda di
dalam sepotong hadis bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan
sunnah khulafa’ ar-rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku.” Maka sunnah
khulafa’ ar-Rasyidin merupakan satu juzuk yang tidak boleh dipisahkan daripada
agama Islam. Apa yang dilaksanakan oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali sama
ada hukum hakam dan pendirian-pendirian merupakan hujjah yang wajib dipegang
oleh kaum muslimin sepanjang waktu dan tempat sehingga ke hari qiamat. Maka
bagaimana mungkin kita menerima cercaan dan tuduhan jahat ke atas mereka?
Lantaran itu kita dapati ulamak kita yang mulia
terus bangkit apabila melihat seseorang mencerca sahabat walaupun dengan satu
perkataan. Contohnya Ahmad bin Hanbal berkata: “Apabila kamu melihat seseorang
menyebut sesuatu yang tidak baik tentang sahabat Rasulullah s.a.w., maka
raguilah keislamannya.” Al-Qadhi Abu Ya’li berkata: “Pendirian para fuqaha’
tentang mencela sahabat, sekiranya seseorang mencela dalam keadaan dia
menganggap perbuatan itu halal, maka dia kafir. Kalau dia tidak menganggap
perbuatan itu halal, maka dia fasiq.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata: “Apabila kamu
melihat seseorang merendahkan sahabat Nabi s.a.w., ketahuilah bahawa dia adalah
zindiq.” Ibn Taimiyyah berkata: “Sesiapa yang mendakwa bahawa para sahabat
telah murtad selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. kecuali beberapa orang yang
tidak sampai sepuluh orang, atau menuduh semua sahabat telah fasiq, maka tiada
keraguan lagi tentang kekufurannya.”
Semua itu menunjukkan betapa beratnya orang
yang melekehkan sahabat kerana sahabat merupakan orang yang menyampaikan agama
ini kepada kita. Kalau diragui atau direndah-rendahkan salah seorang daripada
mereka, maka sebenarnya kita meragui agama ini sendiri. Selain itu, generasi
sahabat dipuji di dalam beberapa ayat al-Quran serta hadis-hadis Nabi s.a.w. di
beberapa tempat yang tidak terhitungkan. Jadi mencerca sahabat bererti mendustakan
Allah dan RasulNya.
Boleh jadi ada orang akan berkata, kami tidak
pernah mendengar si fulan atau seorang ketua syi’ah sekarang mencerca sahabat?
Saya ingin menarik perhatian mereka kepada tiga noktah:
Noktah Pertama: syi’ah ithna ‘asyariyyah dibina
di atas asas bahawa sahabat berkonspirasi ke atas Ali dan ahli bait juga ke
atas imam-imam yang menjadi pegangan syi’ah. Oleh itu tidak ada di sana syi’ah
ithna ‘asyariyyah (Iran, Iraq dan Lubnan)
kecuali beri’tiqad bahawa sahabat adalah fasad (rosak agamanya). Andainya
mereka beri’tiqad sahabat tidak fasad, runtuhlah prinsip syi’ah dari asasnya.
Oleh itu, sesuatu yang telah diketahui umum bahawa semua syi’ah, pemimpin serta
pengikutnya tidak percaya serta tidak menghormati sahabat dan tidak mengambil
agama daripada mereka dalam apa bentuk sekalipun.
Noktah Kedua: pemimpin syi’ah selalunya cuba
lari dari menampakkan sikap mereka yang sangat membenci sahabat. Sekalipun
kadang-kadang terpapar pada sesetengah perkataan atau pendirian mereka
sebagaimana digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud: “…dan demi
sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya…”
(Muhammad:30). Sesungguhnya semua telah menyaksikan perdebatan antara Dr Yusuf
al-Qaradhawi (semoga Allah memeliharanya) dengan Rafsanjani menerusi saluran
al-Jazirah. Kita saksikan bagaimana Rafsanjani lari daripada percubaan yang
diusahakan oleh Dr al-Qaradhawi untuk membuatkan dia menyebut baik tentang
sahabat atau Ummahatul-Mukminin. Dan ketika mana ditanya Khammini, pemimpin
thaurah Iran sekarang tentang hukum mencela sahabat, dia tidak berkata, salah
atau haram. Sebaliknya dia menjawab dengan jawapan yang kabur. Dia berkata:
“Sesungguhnya apa-apa perkataan yang membawa kepada perpecahan di antara
golongan muslimin dari sudut syara’ adalah haram.” Maka keharaman mencela
sahabat menurut pandangannya ialah kerana ia membawa perpecahan, bukan kerana
perbuatan itu haram pada asalnya. Perkara ini telah disiarkan di dalam surat
khabar al-Ahram Mesir pada 23 November 2006.
Noktah Ketiga: Menyedari aqidah taqiyyah yang
merupakan 9/10 agama di sisi mereka seperti yang mereka katakan sendiri. Ini
bermakna mereka memang biasa berkata perkara yang bercanggah dengan aqidah
mereka sendiri dalam keadaan mereka tidak ada kuasa. Adapun ketika mereka telah
berkuasa, maka mereka akan nyatakan pendirian mereka dengan jelas. Sesungguhnya
kita telah ikuti sejarah syi’ah. Dan kita lihat bahawa ketika mereka menguasai
negeri sunni seperti khilafah Abbasiyyah di Iraq, Mesir, Maghribi dan
lain-lain, mereka menzahirkan secara nyata kutukan kepada sahabat dan mereka
menjadikannya sebagai salah satu daripada perkara asas di sisi mereka.
Oleh itu, jelas kepada kita berdasarkan apa
yang dibentangkan kepentingan bercakap untuk menjelaskan kebenaran mengenai
sahabat yang mulia. Jika tidak, maka orang yang berdiam diri dari berkata benar
adalah syaitan bisu. Dan akibat berdiam diri dalam hal ini, adalah hilangnya
agama itu sendiri.
Kedua: bersambung… insyaaAllah
No comments:
Post a Comment