Sunday, August 12, 2018

Duhai insan, ketahuilah batas kebebasanmu!


Engkau selalu berbicara tentang kebebasan
Berjuang menuntut kebebasan.

Sememangnya kebebasan adalah hakmu
Anugerah buatmu
Daripada Penciptamu
Sejak dahulu
Bersama kelahiranmu
Itulah yang perlu engkau tahu
Kerana kebebasan adalah suatu kebenaran
Kemuliaan buat insan

Sesungguhnya Umar al-Faruq mengajar kita
Dengan ungkapannya yang masyhur dan penuh makna:
“Bilakah engkau memperhambakan manusia,
Sedangkan mereka dilahirkan ibu mereka sebagai insan yang merdeka?”

Duhai insan, sesungguhnya engkau adalah makhluk yang bebas
Namun kebebasanmu ada batas.

Engkau bebas melihat apa yang engkau mahu lihat
Tetapi engkau tidak bebas untuk menentukan bentuk matamu
Yang engkau gunakan untuk melihat.

Engkau bebas mendengar apa yang engkau mahu dengar
Tetapi engkau tidak bebas untuk melakar saiz telingamu
Yang engkau gunakan untuk mendengar.

Engkau bebas bercakap apa yang engkau mahu cakap
Tetapi engkau tidak bebas mengukir lidah dan bibir
Yang engkau gunakan untuk bercakap.

Engkau bebas memegang dan menggenggam apa yang engkau mahu pegang
Tetapi engkau tidak bebas untuk mencipta tangan
Yang engkau gunakan untuk memegang.

Engkau bebas melangkah dan berjalan ke mana tempat yang engkau mahu
Tetapi engkau tidak bebas untuk membentuk kakimu
Yang engkau gunakan untuk melangkah dan berjalan.

Engkau bebas melempias nafsumu dengan pasangan yang engkau mahu
Tetapi engkau tidak bebas menentukan jantinamu dan alat itu
Yang engkau gunakan untuk melempias nafsu.

Engkau bebas berfikir dan mengkaji apa yang engkau mahu fikir
Tetapi engkau tidak bebas mengatur sel-sel dan neuron-neuron di dalam kepalamu
Yang engkau gunakan untuk berfikir, mengkaji dan meneliti.

Duhai insan
Pergilah engkau
Nikmatilah kebebasanmu
Namun engkau harus tahu
Lahirmu dan matimu
Tubuhmu dan organ-organmu
Bukan milikmu
Bukan ciptaanmu.

Dirimu
Ada yang menciptakannya
Ada Tuan yang memerhati dan mengendalikannya
Ada Penjaga yang menentukan tarikh luputnya
Dan engkau akan dipanggil kembali kepadaNya
Tanpa engkau ketahui
Bilakah masa dan ketikanya.

Justeru, ketahuilah batas kebebasanmu!

Isnin
13 Ogos 2018

01 Dzul-Hijjah 1439

Monday, July 16, 2018

ANDA ADALAH APA YANG ANDA FIKIRKAN!


Kalau anda fikir boleh, anda pasti boleh!
Itulah ayat yang selalu kita dengar daripada para motivator.

Bagitu juga dengan perkataan dan tindakan yang kita lakukan. Ia seringkali menyerlahkan apa yang ada di dalam fikiran kita.

Termasuk juga pandangan dan penilaian kita terhadap seseorang. Selalunya akan dipengaruhi oleh persepsi yang telah sedia ada di dalam fikiran kita.

Sebagai contoh, pandangan Firaun terhadap Nabi Musa ‘alaihissalam sebagaimana diceritakan di dalam ayat berikut. Allah berfirman maksudnya:

“Nabi Musa berkata kepada mereka (ahli sihir): "Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan".
Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: "Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang".
Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud,
Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,
"Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun".
Firaun berkata: " Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya".

Kita lihat walaupun Nabi Musa menunjukkan mukjizat yang begitu jelas, namun Firaun tetap tidak percaya. Sebaliknya menuduh pula bahawa Nabi Musalah yang mengajar ilmu sihir kepada ahli-ahli sihir itu. Dia tetap tidak berganjak daripada anggapan awalnya bahawa Nabi Musa adalah ahli sihir yang handal.

Sebaliknya ahli-ahli sihir pula terus beriman kerana mereka yang mendalami ilmu sihir dapat membezakan antara sihir dengan mukjizat. Sehebat manapun ilmu sihir yang mereka pelajari dan kuasai tidak mungkin dapat menandingi apa yang dilakukan oleh Nabi Musa. Apa yang dilakukan oleh Nabi Musa bukan sihir. Tetapi mukjizat yang tidak mampu ditiru dan dipelajari. Ia datang dari Yang Maha Esa lagi Maha Kuasa.

Sekadar untuk renungan dan muhasabah diri….


Sunday, July 15, 2018

BULAN HARAM


Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya EMPAT BULAN HARAM (BULAN YANG DIHORMATI. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”

Bulan haram atau bulan yang dihormati yang dimaksudkan di dalam ayat di atas telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya zaman itu beredar sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi 12 bulan. Daripadanya terdapat empat bulan haram. Tiga berturut-turut: Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram. Serta Rajab Mudhar yang terletak di antara Jumadi dan Syaaban.”

Sebahagian ulamak berpendapat pada bulan-bulan ini pahala dan siksa digandakan berdasarkan firman Allah di atas, “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya);..”. ibn Kathir berkata, Allah melarang hambaNya melakukan perkara yang dilarang di dalam bulan haram kerana ia sangat ditekankan dan lebih diberatkan dosanya berbanding bulan-bulan selainnya. Sama juga dengan maksiat yang dilakukan di tanah haram seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Hajj 22:25

Qatadah berkata: “Sesungguhnya kezaliman yang dilakukan pada bulan-bulan haram lebih besar kesalahan dan dosa daripada kezaliman pada bulan-bulan selainnya sekalipun kezaliman itu dalam apa keadaan pun adalah besar dosanya. Tetapi Allah boleh melipat-gandakan apa yang dikehendakiNya.”

Al-Qurtubi berkata: “Janganlah kamu menzalimi dirimu di dalam bulan haram dengan melakukan dosa-dosa kerana Allah s.w.t. apabila Dia membesarkan sesuatu dari sesuatu aspek, jadilah sesuatu itu satu aspek kehormatannya. Dan apabila Dia membesarkannya dari dua aspek atau dari beberapa aspek, jadilah kehormatannya berganda-ganda. Maka digandakan azab ke atas perbuatan jahat sebagaimana digandakan pahala bagi amal soleh. Justeru, sesiapa yang taat kepada Allah di dalam bulan haram, di tanah haram tidak sama pahalanya dengan pahala orang yang taat pada bulan halal dan di tanah halal. Dan sesiapa yang taat kepadaNya di bulan halal, di tanah haram tidak sama pahalanya dengan orang yang taat kepadaNya di bulan halal di tanah halal. Hal ini dapat difahami daripada firmanNya yang bermaksud: “Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.”

Sebab dinamakan bulan haram

Sebahagian ahli tafsir menyebutkan bahawa bulan-bulan ini dinamakan bulan haram kerana bertambah kehormatannya dan kerana diharamkan peperangan di dalamnya.
Hukum berperang pada bulan haram adalah seperti berikut:

Pertama: berperang untuk mempertahankan umat Islam, hukumnya adalah harus di sisi semua ulamak. Tiada perselisihan di kalangan mereka.

Kedua: memulakan serangan, sebahagian ulamak berpendapat harus sama ada serangan dimulakan pada bulan haram atau meneruskan serangan yang telah dimulakan pada bulan sebelumnya. Namun sebahagian ulamak berpendapat haram memulakan serangan pada bulan haram kecuali meneruskan peperangan yang telah berlaku sebelumnya.

Hikmah bulan haram

Bulan-bulan haram telah dimuliakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihimassalam. Ia terus dipegang oleh orang arab sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pengarang kitab tafsir al-Munir berkata: “Pengharaman berperang di bulan haram dicetuskan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Dan orang arab terus berpegang dengannya. Kemudian pengharaman itu telah dinasakhkan.”


Adapun hikmat pengharaman berperang pada bulan-bulan tersebut dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya: “Sesungguhnya empat bulan-bulan haram: tiga berturut-turut dan satu berasingan untuk memudahkan pelaksanaan ibadah haji dan umrah. Maka diharamkan sebulan sebelum haji, iaitu Zul Qaedah. Pada bulan itu mereka berhenti dari berperang. Bulan Zul Hijjah mereka tidak berperang kerana sibuk dengan ibadah haji. Dan sebulan selepas Zul Hijjah, iaitu Muharram mereka berangkat pulang ke tempat masing-masing dalam keadaan aman. Dan Rajab pula pada pertengahan tahun diharamkan untuk memberi peluang kepada orang yang jauh datang menziarahi Baitillah dan menunaikan umrah kemudian pulang ke negeri mereka dengan selamat.”