Engkau selalu
berbicara tentang kebebasan
Berjuang menuntut
kebebasan.
Sememangnya
kebebasan adalah hakmu
Anugerah buatmu
Daripada Penciptamu
Sejak dahulu
Bersama kelahiranmu
Itulah yang
perlu engkau tahu
Kerana kebebasan
adalah suatu kebenaran
Kemuliaan buat
insan
Sesungguhnya
Umar al-Faruq mengajar kita
Dengan ungkapannya
yang masyhur dan penuh makna:
“Bilakah
engkau memperhambakan manusia,
Sedangkan mereka
dilahirkan ibu mereka sebagai insan yang merdeka?”
Duhai insan,
sesungguhnya engkau adalah makhluk yang bebas
Namun kebebasanmu
ada batas.
Engkau bebas
melihat apa yang engkau mahu lihat
Tetapi engkau
tidak bebas untuk menentukan bentuk matamu
Yang engkau
gunakan untuk melihat.
Engkau bebas
mendengar apa yang engkau mahu dengar
Tetapi engkau
tidak bebas untuk melakar saiz telingamu
Yang engkau
gunakan untuk mendengar.
Engkau bebas
bercakap apa yang engkau mahu cakap
Tetapi engkau
tidak bebas mengukir lidah dan bibir
Yang engkau
gunakan untuk bercakap.
Engkau bebas
memegang dan menggenggam apa yang engkau mahu pegang
Tetapi engkau
tidak bebas untuk mencipta tangan
Yang engkau
gunakan untuk memegang.
Engkau bebas
melangkah dan berjalan ke mana tempat yang engkau mahu
Tetapi engkau
tidak bebas untuk membentuk kakimu
Yang engkau
gunakan untuk melangkah dan berjalan.
Engkau bebas
melempias nafsumu dengan pasangan yang engkau mahu
Tetapi engkau
tidak bebas menentukan jantinamu dan alat itu
Yang engkau
gunakan untuk melempias nafsu.
Engkau bebas
berfikir dan mengkaji apa yang engkau mahu fikir
Tetapi engkau
tidak bebas mengatur sel-sel dan neuron-neuron di dalam kepalamu
Yang engkau
gunakan untuk berfikir, mengkaji dan meneliti.
Duhai insan
Pergilah engkau
Nikmatilah kebebasanmu
Namun engkau
harus tahu
Lahirmu dan
matimu
Tubuhmu dan
organ-organmu
Bukan milikmu
Bukan ciptaanmu.
Dirimu
Ada yang
menciptakannya
Ada Tuan
yang memerhati dan mengendalikannya
Ada Penjaga
yang menentukan tarikh luputnya
Dan engkau
akan dipanggil kembali kepadaNya
Tanpa engkau
ketahui
Bilakah masa
dan ketikanya.
Justeru, ketahuilah
batas kebebasanmu!
Isnin
13 Ogos
2018
01 Dzul-Hijjah
1439
No comments:
Post a Comment