Friday, June 08, 2018

PENGKRITIK TEGAR


“Orang-orang yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Ayat di atas membuatkan saya teringat pada sebahagian manusia yang suka mengkritik dan menyelak-menyelak kesalahan orang lain. Seboleh-bolehnya dicari dan dikorek sisi-sisi yang buruk walaupun dengan cara mentakwil dan membuat andaian. Rupa-rupanya ciri yang sedemikian terdapat pada satu golongan manusia yang dikenali sebagai munafiq.

Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir berkata:
“Ini merupakan sebahagian daripada ciri-ciri munafiq. Tidak ada seorangpun yang terlepas dari celaan dan cacian mereka dalam semua perkara. Kalau seseorang datang dengan membawa harta sedekah yang banyak, mereka berkata “itu ria’ atau mahu menunjuk-nunjuk.” Kalau orang lain pula datang dengan membawa sedekah yang sedikit, mereka berkata, “sesungguhnya Allah tidak berhajat kepada sedekah yang sedikit seperti ini!”.

Ibn Mas’ud r.a. menceritakan sebab turun ayat ini dengan berkata: “Apabila turun ayat yang menggalakkan sedekah, kami mengambil upah memikul di atas belakang-belakang kami harta-harta yang disedekahkan. Ada orang yang menyumbang dengan banyak sekali. Maka golongan itu (munafiq) berkata, “Ria’ dan menunjuk-nunjuk.”
Dan ada orang yang membawa satu gantang sahaja sebagai sedekah, mereka berkata pula, “Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sedekah ini.” Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini. (Al-Bukhari)

Sama-samalah kita bermuhasabah. Jangan dengan sebab kebencian kita kepada seseorang atau kepada sesuatu golongan maka kita tidak dapat melihat kecuali keburukannya sahaja. Allah mengingatkan kita supaya sentiasa berlaku adil tanpa dipengaruhi perasaan sama ada benci ataupun sayang.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Monday, June 04, 2018

USAH BERMUDAH-MUDAH MENGGUNAKAN ISTILAH


Ramai di kalangan kita bermudah-mudah menggunakan istilah, tidak teliti di dalam menggelarkan seseorang yang kita tidak suka pandangannya dengan gelaran yang kurang elok. Contohnya menggelarkan non muslim dengan gelaran “kafir harbi” kerana mengeluarkan kenyataan yang dilihat berlawanan dengan ajaran Islam.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk membela saudara kita yang belum Islam atau menyokong tindakan mereka menentang Islam. Sebaliknya untuk mengingatkan diri sendiri dan saudara-saudara seislam. Kita yakin bahawa Islam adalah agama yang benar, agama yang diredhai Allah, agama yang mengajar umatnya akhlak yang mulia, yang menganjurkan umatnya agar berdakwah bilhikmah, mau’idzoh hasanah dan ahsan jidal (lihat an-Nahl:125).

Setiap istilah membawa maksud tertentu. Sebagai contoh: gayung dan baldi. Kedua-duanya digunakan untuk mengisi air, namun kedua-duanya berbeza dari beberapa segi tertentu. Lantaran itu, menggunakan sesuatu istilah untuk sesuatu yang bukan pada maksudnya dibimbangi akan mendatangkan implikasi yang tidak diingini.

Apakah maksud istilah “kafir harbi”?

Menurut laman sesawang fatwa.islamweb.net, kafir harbi ialah kafir yang tidak mempunyai apa-apa perjanjian, jaminan keselamatan dan aqad zimmah dengan orang Islam. (Aqad zimmah ialah perjanjian antara orang kafir dengan kerajaan Islam. Dengan perjanjian itu kedua-dua pihak mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Orang kafir wajib membayar jizyah dan patuh kepada kerajaan. Kerajaan pula wajib melindungi dan menjamin hak-hak mereka. Mereka dipanggil kafir zimmi)

Perlu disebut bahawa hukum-hukum yang berkait dengan kafir harbi hanya terpakai dalam suasana perang ketika jihad menjadi tuntutan. Di dalam Mausu’ah Fiqhiyyah dinyatakan bahawa dalam keadaan berlakukanya peperangan bersenjata di antara muslim dan non muslim yang membawa kepada halal darah dan harta, perlu dilihat keadaan musuh sama ada mereka dengan kita mempunyai perjanjian damai atau tidak.

Sekiranya tidak terdapat perjanjian damai, maka darah dan harta mereka halal. Mereka harus dibunuh dan harta mereka menjadi ghanimah. Jika mereka tewas, maka negara mereka menjadi milik orang Islam. Namun begitu, hukum ini tidak terpakai kecuali ketika mana jihad diharuskan. Keharusan jihad (maksudnya jihad qital atau perang) adalah dengan dua syarat:
Pertama: musuh enggan menerima apa yang diserukan kepada mereka dan mereka tidak pernah mengikat apa-apa perjanjian dengan kita.
Kedua: Imam atau ketua negara berpendapat orang Islam mempunyai kekuatan untuk berperang. Pendapat ini berdasarkan kepada ijtihadnya sendiri atau ijtihad  orang yang pakar dan boleh dipercayai pandangannya. Sekiranya orang Islam tidak mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk berperang melawan musuh, maka tidak harus baginya berperang kerana itu bererti mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

Itulah. Sengaja saya petik huraian berkenaan maksud dan hukum-hukum berkaitan dengan istilah kafir harbi yang mana pada fahaman saya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Islam padahal mereka mempunyai perjanjian yang jelas dengan kerajaan, belum boleh digelarkan mereka kafir harbi.

Kenyataan-kenyataan yang kelihatannya bercanggah dengan Islam adalah sesuatu tidak dapat dielakkan kerana mereka belum Islam. Pada zaman Nabi s.a.w. pelbagai ungkapan liar keluar dari mulut mereka yang belum beriman dalam kalangan Yahudi dan munafiq di Madinah.  Contohnya apa yang dinyatakan di dalam ayat berikut:
“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: "Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar “ (A-li'Imraan 3:181)

Lihat! Kata-kata yang sungguh biadab. Mereka mencerca dan menafikan satu daripada Sifat Allah Yang Maha Sempurna. Namun, Nabi s.a.w. tidak pula melabelkan mereka dengan kafir harbi!

Memang menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan kesucian Islam dari dipermainkan. Menjadi hak kita untuk tidak bersetuju dengan pandangan dan pembawaan mereka.
Tetapi wajarkah kita menghadapi semua itu dengan mengutuk dan melabel?
Adakah cara itu akan membuatkan mereka insaf dan menerima Islam? Atau sebaliknya?

Fikir-fkirkanlah.


Selamat berusaha menjejaki Lailatul-Qadar.

Sunday, June 03, 2018

TADABBUR SURAH AL-KAHFI – PEMUDA YANG BERIMAN


Ibrah daripada kisah pemuda beriman yang tidur di dalam gua selama 300 tahun syamsiah pernah saya kupas sebelum ini. Boleh rujuk di link:

kali ini saya akan cuba memetik beberapa pengajaran dari sudut yang lain pula, iaitu meneliti ciri-ciri ashabul-kahfi menerusi ayat-ayat yang dikaitkan dengan mereka.

1.     Kisah ashabul-kahfi merupakan sebuah kisah benar meskipun tidak dinyatakan dengan jelas bila dan di mana peristiwa itu berlaku. Namun kita mesti yakin bahawa ia benar-benar berlaku. Ia bukan cerita dongeng dan bukan cerita rekaan (ayat 13)
2.     Ashabul-kahfi adalah sekumpulan orang muda. Orang muda sentiasa bertenaga, sentiasa mempunyai peranan dan kesan yang menyerlah di dalam lipatan sejarah. Di antara ciri-ciri fityah atau orang muda ashabul-kahfi ini adalah:
i.               Mereka bergerak bersama-sama di dalam satu kumpulan atau jamaah. Mereka tidak bertindak secara sendirian. Ini secara tidak langsung mengajar kita bahawa kerja dakwah perlu dilakukan secara jama’ei. Perlu cari teman seiring dan sejalan. Tidak wajar dilakukan secara bersendirian. Anggota jamaah mestilah diikat dengan tautan hati yang kuat dan mantap. (ayat 13 dan 14)
ii.              Tidak hanyut terikut-ikut dengan arus masyarakat dan pihak berkuasa. Pemuda mempunyai pemikiran dan pegangan sendiri yang jelas berlandaskan hujjah yang kemas. (ayat 13)
iii.             Berani mengutarakan pegangan dan pandangan tanpa rasa takut dan gentar kepada pihak yang menentang walaupun dari kalangan yang berkuasa.(ayat 14)
iv.             Tidak menggunakan kekerasan di dalam menyampaikan dakwah. Sebaliknya menggunakan pendekatan dalil dan hujjah. (ayat 15)
v.              Apabila tidak berupaya melawan tindakan golongan penentang yang diterajui oleh pihak istana, mereka mengasingkan diri ke dalam gua. Di samping untuk menjaga kesejahteraan iman, mungkin juga langkah itu bertujuan untuk memperteguhkan lagi iman yang sedia ada dan menyusun gerak kerja dakwah dengan lebih kemas dan teratur. Namun Allah Yang Maha Mengetahui mempunyai perancanganNya yang tersendiri yang penuh hikmah.(ayat 16).
vi.             Mereka tidak mengabaikan penyediaan bekalan, khususnya wang. Dan mereka juga berkira di dalam memilih makanan (azka to’aman). Semestinyalah yang dipilih itu halal, segar, bersih dan berkhasiat. (ayat 19)
vii.           Sentiasa waspada dan berjaga-jaga dalam setiap langkah agar tidak mudah terjerat di dalam perangkap musuh. (ayat 20)

Allahu A’lam.

Tadabbur di bulan yang penuh keberkatan, 9 Ramadhan 1439.