Friday, June 08, 2018

PENGKRITIK TEGAR


“Orang-orang yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Ayat di atas membuatkan saya teringat pada sebahagian manusia yang suka mengkritik dan menyelak-menyelak kesalahan orang lain. Seboleh-bolehnya dicari dan dikorek sisi-sisi yang buruk walaupun dengan cara mentakwil dan membuat andaian. Rupa-rupanya ciri yang sedemikian terdapat pada satu golongan manusia yang dikenali sebagai munafiq.

Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir berkata:
“Ini merupakan sebahagian daripada ciri-ciri munafiq. Tidak ada seorangpun yang terlepas dari celaan dan cacian mereka dalam semua perkara. Kalau seseorang datang dengan membawa harta sedekah yang banyak, mereka berkata “itu ria’ atau mahu menunjuk-nunjuk.” Kalau orang lain pula datang dengan membawa sedekah yang sedikit, mereka berkata, “sesungguhnya Allah tidak berhajat kepada sedekah yang sedikit seperti ini!”.

Ibn Mas’ud r.a. menceritakan sebab turun ayat ini dengan berkata: “Apabila turun ayat yang menggalakkan sedekah, kami mengambil upah memikul di atas belakang-belakang kami harta-harta yang disedekahkan. Ada orang yang menyumbang dengan banyak sekali. Maka golongan itu (munafiq) berkata, “Ria’ dan menunjuk-nunjuk.”
Dan ada orang yang membawa satu gantang sahaja sebagai sedekah, mereka berkata pula, “Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sedekah ini.” Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini. (Al-Bukhari)

Sama-samalah kita bermuhasabah. Jangan dengan sebab kebencian kita kepada seseorang atau kepada sesuatu golongan maka kita tidak dapat melihat kecuali keburukannya sahaja. Allah mengingatkan kita supaya sentiasa berlaku adil tanpa dipengaruhi perasaan sama ada benci ataupun sayang.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

No comments: