Ramai di
kalangan kita bermudah-mudah menggunakan istilah, tidak teliti di dalam
menggelarkan seseorang yang kita tidak suka pandangannya dengan gelaran yang
kurang elok. Contohnya menggelarkan non muslim dengan gelaran “kafir harbi”
kerana mengeluarkan kenyataan yang dilihat berlawanan dengan ajaran Islam.
Tulisan ini
bukan bertujuan untuk membela saudara kita yang belum Islam atau menyokong
tindakan mereka menentang Islam. Sebaliknya untuk mengingatkan diri sendiri dan
saudara-saudara seislam. Kita yakin bahawa Islam adalah agama yang benar, agama
yang diredhai Allah, agama yang mengajar umatnya akhlak yang mulia, yang
menganjurkan umatnya agar berdakwah bilhikmah, mau’idzoh hasanah dan ahsan
jidal (lihat an-Nahl:125).
Setiap istilah
membawa maksud tertentu. Sebagai contoh: gayung dan baldi. Kedua-duanya
digunakan untuk mengisi air, namun kedua-duanya berbeza dari beberapa segi
tertentu. Lantaran itu, menggunakan sesuatu istilah untuk sesuatu yang bukan
pada maksudnya dibimbangi akan mendatangkan implikasi yang tidak diingini.
Apakah maksud
istilah “kafir harbi”?
Menurut laman
sesawang fatwa.islamweb.net, kafir harbi ialah kafir yang tidak mempunyai apa-apa
perjanjian, jaminan keselamatan dan aqad zimmah dengan orang Islam. (Aqad
zimmah ialah perjanjian antara orang kafir dengan kerajaan Islam. Dengan perjanjian
itu kedua-dua pihak mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Orang
kafir wajib membayar jizyah dan patuh kepada kerajaan. Kerajaan pula wajib
melindungi dan menjamin hak-hak mereka. Mereka dipanggil kafir zimmi)
Perlu disebut
bahawa hukum-hukum yang berkait dengan kafir harbi hanya terpakai dalam suasana
perang ketika jihad menjadi tuntutan. Di dalam Mausu’ah Fiqhiyyah dinyatakan
bahawa dalam keadaan berlakukanya peperangan bersenjata di antara muslim dan
non muslim yang membawa kepada halal darah dan harta, perlu dilihat keadaan
musuh sama ada mereka dengan kita mempunyai perjanjian damai atau tidak.
Sekiranya tidak
terdapat perjanjian damai, maka darah dan harta mereka halal. Mereka harus
dibunuh dan harta mereka menjadi ghanimah. Jika mereka tewas, maka negara
mereka menjadi milik orang Islam. Namun begitu, hukum ini tidak terpakai
kecuali ketika mana jihad diharuskan. Keharusan jihad (maksudnya jihad qital
atau perang) adalah dengan dua syarat:
Pertama:
musuh enggan menerima apa yang diserukan kepada mereka dan mereka tidak pernah
mengikat apa-apa perjanjian dengan kita.
Kedua: Imam
atau ketua negara berpendapat orang Islam mempunyai kekuatan untuk berperang. Pendapat
ini berdasarkan kepada ijtihadnya sendiri atau ijtihad orang yang pakar dan boleh dipercayai
pandangannya. Sekiranya orang Islam tidak mempunyai kekuatan dan keupayaan
untuk berperang melawan musuh, maka tidak harus baginya berperang kerana itu
bererti mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.
Itulah. Sengaja
saya petik huraian berkenaan maksud dan hukum-hukum berkaitan dengan istilah
kafir harbi yang mana pada fahaman saya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah
dengan Islam padahal mereka mempunyai perjanjian yang jelas dengan kerajaan,
belum boleh digelarkan mereka kafir harbi.
Kenyataan-kenyataan
yang kelihatannya bercanggah dengan Islam adalah sesuatu tidak dapat dielakkan
kerana mereka belum Islam. Pada zaman Nabi s.a.w. pelbagai ungkapan liar keluar
dari mulut mereka yang belum beriman dalam kalangan Yahudi dan munafiq di
Madinah. Contohnya apa yang dinyatakan
di dalam ayat berikut:
“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan
orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang
kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka
membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan
katakan kepada mereka: "Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar “ (A-li'Imraan 3:181)
Lihat! Kata-kata yang sungguh biadab. Mereka mencerca
dan menafikan satu daripada Sifat Allah Yang Maha Sempurna. Namun, Nabi s.a.w.
tidak pula melabelkan mereka dengan kafir harbi!
Memang menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan
kesucian Islam dari dipermainkan. Menjadi hak kita untuk tidak bersetuju dengan
pandangan dan pembawaan mereka.
Tetapi wajarkah kita menghadapi semua itu dengan
mengutuk dan melabel?
Adakah cara
itu akan membuatkan mereka insaf dan menerima Islam? Atau sebaliknya?
Fikir-fkirkanlah.
Selamat berusaha
menjejaki Lailatul-Qadar.
No comments:
Post a Comment