23/04/2009 2:04pm
Tajuk berita yang sungguh memeranjatkan dan membingungkan saya. Dengan penuh debaran saya membaca berita yang terpapar di dalam Utusan Online….
KUALA LUMPUR 23 April – Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal walaupun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu juga membuat ketetapan bahawa penceraian tidak akan berlaku secara automatik walaupun salah seorang telah memeluk agama Islam.
"Kabinet juga memutuskan segala isu berkaitan penjagaan anak-anak dan penceraian perlulah diselesaikan di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Selaras dengan keputusan itu, Jabatan Peguam Negara akan diarahkan membuat pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan bagi memastikan segala keputusan Kabinet itu dapat dikuatkuasakan dengan berkesan.
Beliau berkata, pihak peguam negara juga akan diarahkan memaklumkan perkara itu pada negeri-negeri bagi membolehkan mereka membuat pindaan yang sama terhadap undang-undang syariah. - Utusan
Saya segera berlari ke rak buku, mencari beberapa naskhah kitab fikah untuk mengetahui hukum Islam mengenai perkara tersebut.
1. Agama anak.
a. Jika kedua ibu bapa muslim, maka anak-anak adalah muslim tanpa khilaf (tiada perbezaan pendapat di kalangan ulamak semua mazhab)
b. Jika kedua ibu bapa bukan muslim, maka anak-anak mereka juga bukan muslim tanpa khilaf.
c. Jika kedua ibu bapa bukan muslim memeluk Islam, maka anak-anak juga menjadi muslim.
d. Jika salah seorang daripada kedua ibu bapa bukan muslim memeluk Islam, maka agama anak mereka adalah Islam. Ini juga disepakati semua mazhab, Hanafiy, Malikiy, Syafi’iy, Hanbaliy dan Zhohiriy.
e. Jika salah seorang daripada kedua ibu bapa muslim atau kedua-duanya murtad, maka anak-anak mereka kekal muslim tanpa khilaf.
2. Suami isteri berlainan agama.
a. Apabila suami isteri bukan muslim memeluk Islam, maka ikatan perkahwinan mereka kekal sah jika kedua-duanya adalah halal berkahwin (bukan mahram) tanpa melihat cara perkahwinan yang mereka lakukan semasa berada di dalam agama yang mereka anuti. Ertinya selagi cara perkahwinan itu dikira sah di sisi agama asal mereka, maka Islam terima sebagai sah.
b. Jika salah seorang daripada suami isteri memeluk Islam, apakah hukum perkahwinan mereka? Terdapat beberapa pandangan ulamak mengenai hal ini.
i. Mazhab Zhohiriy: Sekiranya isteri memeluk Islam, maka terfasakhlah perkahwinan mereka pada saat isteri memeluk Islam, sama ada suami memeluk Islam selepas itu atau tidak. Walaupun sekiranya suami memeluk Islam sekelip mata selepas isterinya. Tidak ada lagi hak suami ke atas isteri kecuali dengan kerelaannya. Sekiranya suami memeluk Islam sedangkan isterinya Ahli Kitab, maka perkahwinan mereka kekal sama ada isteri memeluk Islam atau tidak. Jika isteri bukan Ahli Kitab, maka perkahwinan mereka terfasakh saat suami memeluk Islam.
ii. Mazhab Syafi’iy, Hanbaliy dan Ja’fariy: Jika salah seorang memeluk Islam sebelum berlaku persetubuhan antara keduanya, maka terfasakh nikah serta merta. Jika salah seorang memeluk Islam selepas berlaku persetubuhan, maka ikatan perkahwinan terputus selepas tempoh iddah. Ertinya setelah salah seorang memeluk Islam, keduanya mesti dipisahkan. Sekiranya dalam masa iddah, pihak yang belum Islam itu ikut memeluk Islam, maka kedua-duanya disatukan atas perkahwinan asal (tanpa perlu aqad yang baru). Jika tidak, maka terputuslah perkahwinan mereka.
iii. Mazhab Malikiy: Jika isteri memeluk Islam sebelum berlaku persetubuhan antara keduanya, maka ikatan perkahwinan terputus serta merta. Jika isteri memeluk Islam selepas berlaku persetubuhan, kemudian suami ikut memeluk Islam sebelum tamat iddah, maka keduanya disatukan atas nikah yang asal dengan syarat keduanya bukan mahram. Jika suami tidak ikut memeluk Islam dalam tempoh iddah, maka terputuslah perkahwinan mereka. Suami tidak ditawarkan supaya mengikuti isterinya memeluk Islam. Kecuali dia memeluk Islam atas kehendaknya sendiri.
Jika suami yang memeluk Islam sebelum berlaku persetubuhan antara keduanya, maka ikatan perkahwinan mereka terputus serta merta. Jika suami memeluk Islam selepas berlaku persetubuhan antara keduanya, maka ditawarkan isteri agar memeluk Islam. Sekiranya dia terima, maka mereka kekal sebagai suami isteri. Jika tidak, terputuslah ikatan perkahwinan mereka.
iv. Mazhab Hanafiy: Jika salah seorang memeluk Islam, maka diberi tawaran kepada pasangannya agar memeluk Islam. Jika dia terima, maka kekallah ikatan perkahwinannya. Jika tidak maka qadhi hendaklah memutuskan ikatan perkahwinan mereka.
Setiap pandangan yang dikemukakan masing-masing ada dalil dan hujjahnya yang boleh dirujuk.
(Rujukan: Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah, Abdul Karim Zaidan, jld 9, hal 93 – 100 dan 442 – 447)
Berdasarkan pandangan ulamak pelbagai mazhab, maka keputusan Jemaah Menteri di dalam mesyuarat mereka semalam, anak-anak kekal menganut agama asal walaupun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain, sangat-sangat membimbangkan. Kalau kedua ibu bapa bukan penganut Islam, kemudian salah seorang bertukar agama bukan Islam juga, tidak jadi masalah kepada kita. Namun sekiranya salah seorang memilih untuk menganut Islam, apa terjadi pada anak itu?
Begitu juga ketetapan bahawa penceraian tidak akan berlaku secara automatik walaupun salah seorang telah memeluk agama Islam, pandangan manakah yang diterima pakai dan apa alasannya?
2 comments:
salam
terima kasih atas sumber rujukan yang dapat di kongsi bersama. Ana bimbang jika sekiranya fenomena ini berterusan di takuti syariah tidak lagi diangkat.yang hanya tinggal adalah puasa dan solat dan zakat.ana teringat kuliah di U satu masa dulu bila ust Alias sebut tentang kita perlu letakkan Islam diatas undang-undang atau Islam mengikut undang-undang?
Ustazah x sebutkan sumber dlm perkara 1d
Post a Comment