Sempena Hari Raya Haji yang bakal menjelang beberapa saja lagi, dikongsikan di sini artikel yang telah ana tulis dan disiarkan di dalam BH hampir empat tahun yang lalu. Moga kandungannya dapat memberi manfaat kepada diri sendiri khususnya dan sahabat-sahabat para pengunjung ZT umumnya.
Ibadah haji lambang tauhid paling unggul
FRIDAY, JANUARY 06, 2006
Oleh Prof Madya Maznah Daud
ZULHIJAH bermaksud bulan haji. Pada bulan ini umat Islam menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kelima. Berbahagialah mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada bulan ini.
Banyak kelebihan disediakan untuk mereka yang membelanjakan harta, meninggalkan keluarga dan keselesaan di tanah air semata-mata menyahut seruan Allah menuju ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji.
Justeru, haji dikatakan sebagai puncak pengabdian dan lambang ketauhidan yang paling unggul.
Kelebihan paling utama ibadah haji adalah terhapusnya segala dosa. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji di rumah ini (Baitullah), ketika mengerjakan haji itu dia tidak mencarut dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang, dia terkeluar daripada dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”
Di samping itu, ada kelebihan lain ketika berada di Tanah Suci seperti solat di Masjidil Haram yang ganjarannya 100,000 kali ganda dan solat di Masjid Nabawi pula 10,000 kali.
Bagi umat Islam yang tidak terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini, tetap berpeluang untuk menikmati kelebihan Zulhijah.
Allah berfirman maksudnya: “Demi waktu fajar. Demi 10 malam. Demi hari yang genap dan hari yang ganjil...” (Surah al-Fajr, ayat 1-3)
Menurut Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubayr, Mujahid dan ramai dari kalangan mufassirin salaf dan khalaf, 10 malam yang disebut di dalam ayat itu ialah 10 malam pertama Zulhijah.
Pendapat itu diperkuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Amal salih yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan pada hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikit pun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah).”
Hari yang ganjil adalah hari Arafah iaitu hari ke-9. Hari yang genap adalah Hari Nahar (Aidiladha) yang jatuh pada hari ke-10 Zulhijah.
Demikian pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah dan adh-Dhahhak.
Ayat al-Quran dan hadis di atas menjelaskan betapa mulianya bulan ini di sisi Allah, khususnya 10 hari pertamanya sehingga dikatakan amalan hamba yang paling Allah suka adalah amalan yang dilakukan pada hari itu.
Apakah amalan yang sebaiknya dilakukan? Terlalu banyak kebaikan yang boleh difikir dan di senaraikan.
Antaranya ialah berpuasa sunat, lebih-lebih lagi pada hari Arafah (hari ke 9). Dalam hal ini Nabi bersabda maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim)
Kedua, ibadat korban yang disunatkan pada hari ke-10, 11, 12 dan 13.
Korban adalah sunnah muakkadah. Ada ulama yang menyebut sebagai sunnah wajibah bagi mereka yang mampu. Cukup satu korban bagi satu keluarga.
Antara dalil berkaitan dengan korban adalah firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)
“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Apa-apa yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali Imranm, ayat 92)
Dalil hadis: “Barang siapa yang memiliki kemampuan (untuk membeli haiwan korban), lalu tidak melakukannya (tidak berkorban), maka janganlah mendekati tempat solatku.” (Hadis riwayat Ahmad)
Daripada Ummu Salamah, Rasulullah bersabda: "Apabila kalian telah melihat hilal bulan Zulhijah dan ada di antara kalian yang akan berkorban maka hendaklah dia tidak memotong rambut dan kukunya." (Hadis riwayat Muslim)
“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar adalah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka, laksanakanlah korban dengan sepenuh hatimu.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)
Sahabat bertanya Nabi: “Apa maksud ibadah korban ini?” Baginda menjawab: “Ini sunnah bapa kamu Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: “Apa yang kita peroleh daripadanya?” Baginda menjawab: “Dengan setiap helai bulunya satu kebaikan.” Mereka berkata: “Bulu yang halus itu?” Baginda menjawab: “Ya. Dengan setiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)
Amalan adalah solat sunat, tilawah al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, berbakti kepada ibu bapa, menziarahi orang sakit, mengajak orang berbuat baik dan melarang berbuat jahat.
Yang penting tanamkan azam di dalam diri untuk melakukan kebaikan di mana juga dan pada bila-bila masa. Apabila tersemat keazaman, muncullah ilham, terhasillah amalan.
No comments:
Post a Comment