Tuesday, August 24, 2010

BULAN PUASA WANITA PALING BANYAK PAHALA

Hari ini, 25 Ogos diisytiharkan sebagai Hari Wanita. Jadi sayapun tak mahu ketinggalan ingin mengucapkan selamat Hari Wanita kepada semua yang bergelar wanita termasuklah diri saya sendiri. Namun tidak bermakna hari ini sahaja kita jadi wanita dan berlagak seperti seorang wanita. Setiap hari kita adalah wanita. Untungnya jadi wanita ni kerana terlalu banyak peluang untuk raih pahala, labih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh rahmah dan barakah ni. Sebab itu tajuk saya kali ini ialah BULAN PUASA WANITA PALING BANYAK PAHALA.

Mari kita lihat peluang-peluang besar bagi wanita kaut pahala di bulan puasa:

1. Buka puasa. Tidak kira di mana dan apa bangsa sekalipun, sama ada di bandar atau di desa, rata-ratanya wanita yang menyediakan makanan untuk berbuka puasa seisi keluarga. Nabi s.a.w. telah bersabda (maksudnya): "Sesisapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa itu)" Al-Baihaqi dan Ibn Khuzaimah.
Berapa orang ahli keluarga di rumah anda? Sebanyak itulah pahala puasa yang anda dapat jika anda menyediakan makanan berbuka untuk mereka. Termasuk hari-hari 'cuti', anda tetap dapat pahala puasa. Seeloknya sediakanlah makanan itu sekurang-kurangnya buah kurma dan air dengan duit sendiri. Pasti pahalanya berganda, pahala menyediakan dan pahalan infaq. Bagi wanita yang tidak ada pendapatan, mulalah menyimpan untuk infaq pada tahun hadapan jika panjang umur. Kalau umur tak panjangpun, insyaAllah akan diberi pahala juga kerana telah berniat.

2. Sahur. Siapa yang kejutkan ahli keluarga untuk bangun sahur? Selalunya ibu, seorang wanita! Sahur adalah antara sunat-sunat puasa yang besar pahalanya. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Barsahurlah kamu semua, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah". Al-Bukhari dan Muslim
Mengajak dan membantu orang lain berbuat perkara sunat, perkara yang baik kita akan dapat pahala orang yang melakukannya. Subhanallah.

3. Suami beriktikaf di masjid pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Ramai di kalangan wanita yang berkesempatan ikut beriktikaf di masjid bersama suami. Namun lebih ramai yang tidak berpeluang kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak. Sungguhpun begitu, wanita tetap berpeluang untuk meraih pahala dengan berniat untuk turut serta jika ada peluang. Dan dengan menulung menyiapkan keperluan suami pergi beriktikaf, menjaga ahli keluarga di rumah, kita akan berkongsi pahala dengannya. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang, maka sesungguhnya dia telah berjuang. Dan sesiapa yang menjaga dengan baik ahli keluarga seseorang yang pergi berjuang, maka sesungguhnya dia juga telah berjuang". Al-Bukhari dan Muslim
Bukankah suami pergi beriktikaf di masjid itu satu perjuangan untuk menjejaki Lailatul-Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan?

Itu hanyalah sebahagian sahaja. Tidak termasuk amalan-amalan fardi yang dilakukan oleh wanita itu sendiri: puasa, tarawih, baca al-Quran, berdoa, berzikir, menghubungkan silatul-rahim dan lain-lain.
Peluang yang begitu besar Allah tawarkan. Tiada alasan untuk kita tidak merebutnya. Syarat untuk kita mendapat ganjaran hebat itu adalah:
1. Beriman dan mentauhidkan Allah dengan semurni-murninya. Elakkan sebarang syirik yang nyata dan tidak nyata.

2. Ikhlaskan niat dengan setulus-tulusnya. Jangan mengharap ganjaran atau pujian manusia.

3. Betulkan amalan mengikut prinsip Syariat dengan selurus-lurusnya. Jauhkan bid'ah, ikut-ikutan atau beramal dalam kejahilan.

SELAMAT MENERUSKAN PUASA, MOGA-MOGA KITA SEMUA TERMASUK DALAM GOLONGAN MANUSIA YANG DIBEBASKAN DARI API NERAKA.

MOHON MAAF, LAHIR DAN BATIN.

Friday, August 20, 2010

Awas! 1/3 telah berlalu! Dan 1/3 itu banyak!

Aku menasihati diriku dan kalian. Sesungguhnya 1/3 telah berlalu! Dan 1/3 adalah banyak. Bagaimana amalan pada 1/3 yang lalu?
Masa terlalu suntuk untuk lemah dan bermalas-malas. Bangkit segera! Rungkaikan selimut kerehatan!
Ramadhan sedang bergerak pantas meninggalkan sesiapa yang malas!
Ketepikan kemalasan!
Nyahkan kelemahan!
Kejar keampunan!
Buru ketaqwaan!
Penatkan badan dalam ketaatan!
Wahab bin Munabbih berkata: Sesiapa yang bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah, akan bertambah kekuatannya. Dan sesiap yang bermalas-malas, dia akan bertambah lesu dan lemah.
Thabit al-Bannani berkata, seorang ‘abid berkata kepadanya: Apabila aku tidur, lepas itu aku terjaga, kemudian aku cuba tidur kembali, Allah tidak tidurkan mataku lagi.
Beliau menambah: Tidak dinamakan seseorang ‘abid itu ‘abid sekalipun terdapat padanya semua aspek kebaikan melainkan dia memiliki dua ciri: puasa dan solat. Kedua-dua ciri itu merupakan sebahagian daripada darah dan dagingnya.
Abu Ishak as-Subai’ei menderita sakit, seluruh anggotanya lemah selama dua tahun sebelum menemui ajalnya. Dia tidak berupaya untuk bangun tanpa pertulungan orang lain. Apabila dia sudah berdiri tegak (dengan bantuan orang lain), dia memulakan solat, membaca 1000 ayat dalam keadaan berdiri!
Subhanallah! Alangkah malunya kita.
Mari sama-sama kita manfaatkan sepenuhnya Ramadhan yang masih berbaki 2/3 dengan berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya, qiamul-lail, tilawah, istighfar, sedekah, menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, menghubungkan silatul-rahim, berdakwah dan lain-lain.
Mari tingkatkan iman dan taqwa, gandakan amal, jejaki Lailatul-Qadar!
Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan hamba yang dibebaskan dari api neraka! Amin….!

Thursday, August 19, 2010

Indahnya ciptaan-Mu ya Tuhanku!!!

Kisah benar diceritakan oleh seorang pemuda dari Iraq. Beliau berkata:
Di Negara kami terdapat sejenis ular yang dikenali sebagai hayyatul-bait atau ular rumah. Ular jenis ini tinggal di rumah dan tidak menyakitkan atau mengganggu tuan rumah.
Di sebuah rumah dalam sebuah kampung, terdapat seekur ular rumah yang mempunyai anak yang masih kecil. Anak ular itu duduk di bawah timbunan batu-bata di luar rumah tersebut.
Suatu hari, ketika tuan rumah itu yang merupakan seorang perempuan tua hendak mengangkat batu-bata dia ternampak anak ular di bawah timbunannya. Maka dia mengalihkan anak ular itu ke tempat selamat tidak jauh dari tempat itu.
Bila ibu ular balik, di dapati anaknya tidak ada di tempatnya. Bukan kepalang marahnya dia, lalu dia merayap ke arah sebuah baldi besar yang penuh dengan susu dan disemburnya racun dari mulutnya ke dalam susu itu.
Dia mencari-cari anaknya lagi sehingaa akhirnya dia menemuinya tidak jauh dari tempat tinggal asalnya.
Dia kembali ke baldi susu tadi dan masuk ke dalamnya kemudian keluar daripadanya. Lepas itu dia berguling di atas abu sehingga seluruh tubuhnya comot, kemudian dia masuk semula ke dalam baldi susu supaya susu itu kotor dan tidak diminum oleh tuan rumah.
Peristiwa aneh ini diperhatikan dari jauh oleh nenek tua, tuan rumah itu.

Siapakah yang mengajar haiwan tidak berakal itu tentang bahaya racun dan apa yang perlu dilakukan supaya manusia tidak terminum racunnya?

Maha Suci Allah! Tiada Tuhan melainkan Allah!

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan telah datang

Ramadhan telah datang
Menabur senyuman menatang keberkatan
Mengetuk pintu-pintu hati
Mengukir seribu janji
Yang tak pernah dimungkiri.

Siang berlapar malam berjaga
Al-Quran dibaca doa dipinta
Mengharap syafaat
Bebas dari api neraka.

Ramadhan telah datang
Tanda cinta ar-Rahman
Diturunkan al-Quran
Dipenjarakan syaitan
Ganjaran amal digandakan
Dosa-dosa lalu dihapuskan.

Apakah masih ada alasan
Perintah-Nya diabaikan
Sunnah Nabi diremehkan
Syari’at-Nya dibekukan
Kemungkaran dan maksiat berselerakan
Bayi-bayi dibuang tanpa kasihan
Wanita ditindas tiada pembelaan
Umat Islam dibunuh, dimanakah bantahan?
Palestin dijajah, al-Aqsa terancam

Ramadhan! Oh Ramadhan!
Bawalah umat ini
Kembali kepada al-Quran!

Sunday, August 08, 2010

RAMADHAN

Pintu-pintu langit kini dibuka luas saujana
Malaikat bertasbih gegak gempita mengisi maya
Syurga-syurga dihias indah berkilauan warnanya
Mukminin mukminat rukuk dan sujud syukur pada Yang Esa
Ramadhan telah tiba, Ramadhan telah tiba

Pintu-pintu neraka kini dikunci
Syaitan-syaitan telah digari
Penghuni-penghuni langit berseru penuh simpati
Wahai insan pencinta kebaikan pencari kedamaian
Masanya untukmu berlari menggapai redha Ilahi
Wahai insan pelahap kejahatan penagih kemungkaran
Masanya untukmu insaf menghisab diri

Doa bersahut sana dan sini
Tilawah mendayu petang dan pagi
Istighfar, zikir, selawat ke atas Nabi
Maaf bermaafan sengketa dilupai
Harta diinfaq rezeki disyukuri
Kaya dan miskin bersatu hati
Hanya kepada Allah semua mengabdi

Sabar menahan lapar dan dahaga
Mata ditundukkan telinga dijaga
Lidah dikawal kaki dan tangan di seka
Puasa dihayati sepenuh jiwa
Moga tercapai maqam taqwa
Dari pintu ar-Rayyan kita melangkah ke syurga

Friday, August 06, 2010

Ramdhan yang dinanti oleh penghuni langit dan bumi

Dia Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menganugerahkan makhluk-Nya satu bulan yang dilimpahi segala kebaikan dan keistimmewaan yang tak terperikan. Seluruh makhluk di langit dan di bumi teruja ternanti-nanti tibanya bulan mulia penuh barakah itu. Bulan yang satu-satunya disebut namanya di dalam kitab suci al-Quran dan dikaitkan pula dengan perisitiwa turunnya kitab itu sendiri!
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah….” Al-Baqarah 2:185.
Mereka yang mengetahui dan menghargai anugerah yang agung ini pastinya ternanti-nanti penuh rindu dan mengharap agar dipertemukan dengan Ramadhan dan berazam untuk meraih sebanyak-banyaknya kebaikan dan kelebihan yang dijanjikan.
Renungkan betapa alam buana ini dipersiapkan untuk menanti ketibaan Ramadhan!
1. Pintu-pintu langit dibuka sepanjang bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong Hadis yang bermaksud: “Apabila tiba malam pertama Ramadhan, dibuka semua pintu langit, tidak akan ditutup satupun daripadanya sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan” Riwayat al-Munziri daripada Abi Sa’eid al-Khudri di dalam ‘at-Targhib wa at-Tarhib’.
2. Dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dipasung syaitan-syaitan. (Maksud Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.)
3. Setiap malam penghuni langit menyeru penghuni bumi sehingga tersembul fajar: “Wahai pencari kebaikan, mara dan bergembiralah! Wahai pencari kejahatan, undur dan berhentilah! Siapakah yang ingin memohon ampun, lalu dia diampun? Siapakah yang ingin bertaubat, lalu dosanya dihapuskan? Siapakah yang ingin meminta, lalu permintaannya ditunaikan?” (Maksud Hadis riwayat al-Munziri daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.
Itu merupakan sebahagian persediaan ahli langit untuk menyambut ketibaan Ramadhan. Maka apakah persediaan ahli bumi?
1. Perlu memahami dan meyakini peluang yang sangat besar serta tawaran yang cukup hebat ini. Rasai dan syukuri betapa bertuahnya diberi peluang menyambut Ramadhan sekali lagi, peluang yang mungkin terakhir. Maka tanamkan azam seutuhnya di dalam diri untuk mengisi Ramadhan dengan segala kebaikan yang termampu.
2. Ingat selalu sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan dia mengetahui batasan-batasannya dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, akan dihapuskan daripadanya dosanya yang lalu” Riwayat Ibn Hibban dan al-Baihaqiy daripada Abi Sa’eid al-Khudriy r.a. Dosa terhapus bermakna selamat dari siksa api neraka!
3. Siapkan senarai amalan yang hendak dibuat dengan kefahaman setiap kebaikan diberi pahala berlipat kali ganda. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan satu kebaikan (yang sunat), baginya pahala seperti melakukan yang wajib pada bulan selainnya. Sesiapa yang menunaikan satu amalan yang wajib, baginya pahala seperti menunaikan 70 amalan yang wajib pada bulan selainnya. Ramadhan adalah bulan ditambahkan rezeki orang yang beriman”. Riwayat al-Munziri
4. Ingat memperingati dan berlumba-lumba mengejar kebaikan selari dengan gesaan Rasulullah s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Telah datang kepada kamu Ramadhan, bulan barakah yang dicurahkan Allah ke atas kamu. Dia menurunkan rahmah, menghapuskan dosa dan memaqbulkan doa. Allah melihat kepada kamu yang berlumba-lumba (melakukan kebaikan) di bulan Ramadhan dan Dia berbangga di hapadan malaikat-Nya. Maka perlihatkanlah kepada Allah dirimu yang baik. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dihalang daripada mendapat rahmah-Nya di bulan Ramadhan”. Riwayat al-Munziri daripada Ubadah bin as-Samit.
5. Mohon doa sebanyak-banyak di waktu yang dijanjikan mustajab pada setiap hari bulan Ramadhan, iaitu ketika berbuka. “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, orang yang berpuasa ketika ia berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang yang dizalimi” Maksud Hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah r.a.
6. Jagalah anggota, khususnya mata, telinga dan lidah dari melakukan perkara yang haram. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa itu perisai. Maka janganlah kamu mencarut dan jangan berkelakuan bodoh. Jika seseorang memerangimu atau mencacimu, maka katakanlah kepadanya ‘sesungguhnya aku berpuasa’ sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang jiwaku di dalam tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah Ta’ala daripada wanginya kasturi. Allah berfirman: dia telah meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwahnya kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan member ganjarannya. Dan setiap satu kebaikan itu sepuluh kali ganda seumpama dengannya” (Maksud Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)

Marilah sama-sama kita berdoa agar diri kita termasuk dalam golongan mereka yang menghargai anugerah yang hebat ini serta berjaya memperoleh syurga yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berpuasa. Amen!