Hari ini, 25 Ogos diisytiharkan sebagai Hari Wanita. Jadi sayapun tak mahu ketinggalan ingin mengucapkan selamat Hari Wanita kepada semua yang bergelar wanita termasuklah diri saya sendiri. Namun tidak bermakna hari ini sahaja kita jadi wanita dan berlagak seperti seorang wanita. Setiap hari kita adalah wanita. Untungnya jadi wanita ni kerana terlalu banyak peluang untuk raih pahala, labih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh rahmah dan barakah ni. Sebab itu tajuk saya kali ini ialah BULAN PUASA WANITA PALING BANYAK PAHALA.
Mari kita lihat peluang-peluang besar bagi wanita kaut pahala di bulan puasa:
1. Buka puasa. Tidak kira di mana dan apa bangsa sekalipun, sama ada di bandar atau di desa, rata-ratanya wanita yang menyediakan makanan untuk berbuka puasa seisi keluarga. Nabi s.a.w. telah bersabda (maksudnya): "Sesisapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa itu)" Al-Baihaqi dan Ibn Khuzaimah.
Berapa orang ahli keluarga di rumah anda? Sebanyak itulah pahala puasa yang anda dapat jika anda menyediakan makanan berbuka untuk mereka. Termasuk hari-hari 'cuti', anda tetap dapat pahala puasa. Seeloknya sediakanlah makanan itu sekurang-kurangnya buah kurma dan air dengan duit sendiri. Pasti pahalanya berganda, pahala menyediakan dan pahalan infaq. Bagi wanita yang tidak ada pendapatan, mulalah menyimpan untuk infaq pada tahun hadapan jika panjang umur. Kalau umur tak panjangpun, insyaAllah akan diberi pahala juga kerana telah berniat.
2. Sahur. Siapa yang kejutkan ahli keluarga untuk bangun sahur? Selalunya ibu, seorang wanita! Sahur adalah antara sunat-sunat puasa yang besar pahalanya. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Barsahurlah kamu semua, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah". Al-Bukhari dan Muslim
Mengajak dan membantu orang lain berbuat perkara sunat, perkara yang baik kita akan dapat pahala orang yang melakukannya. Subhanallah.
3. Suami beriktikaf di masjid pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Ramai di kalangan wanita yang berkesempatan ikut beriktikaf di masjid bersama suami. Namun lebih ramai yang tidak berpeluang kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak. Sungguhpun begitu, wanita tetap berpeluang untuk meraih pahala dengan berniat untuk turut serta jika ada peluang. Dan dengan menulung menyiapkan keperluan suami pergi beriktikaf, menjaga ahli keluarga di rumah, kita akan berkongsi pahala dengannya. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang, maka sesungguhnya dia telah berjuang. Dan sesiapa yang menjaga dengan baik ahli keluarga seseorang yang pergi berjuang, maka sesungguhnya dia juga telah berjuang". Al-Bukhari dan Muslim
Bukankah suami pergi beriktikaf di masjid itu satu perjuangan untuk menjejaki Lailatul-Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan?
Itu hanyalah sebahagian sahaja. Tidak termasuk amalan-amalan fardi yang dilakukan oleh wanita itu sendiri: puasa, tarawih, baca al-Quran, berdoa, berzikir, menghubungkan silatul-rahim dan lain-lain.
Peluang yang begitu besar Allah tawarkan. Tiada alasan untuk kita tidak merebutnya. Syarat untuk kita mendapat ganjaran hebat itu adalah:
1. Beriman dan mentauhidkan Allah dengan semurni-murninya. Elakkan sebarang syirik yang nyata dan tidak nyata.
2. Ikhlaskan niat dengan setulus-tulusnya. Jangan mengharap ganjaran atau pujian manusia.
3. Betulkan amalan mengikut prinsip Syariat dengan selurus-lurusnya. Jauhkan bid'ah, ikut-ikutan atau beramal dalam kejahilan.
SELAMAT MENERUSKAN PUASA, MOGA-MOGA KITA SEMUA TERMASUK DALAM GOLONGAN MANUSIA YANG DIBEBASKAN DARI API NERAKA.
MOHON MAAF, LAHIR DAN BATIN.
2 comments:
salam,
Ya Allah moga ramai wanita dimalaysia ni macam ustazah hendaknya,
selamat hari wanita diucapkan.
ngeri dgn kejadian buang bayi mukhtakhir ini..
salam,
subhanAllah, banyak sungguh peluang seorang wanita untuk meraih pahala...
kadang2 kalau buat, terlupa yang perkara tersebut bisa memberi pahala yang banyak malahan berlipat ganda jika niat hanya Ikhlas kerana Allah swt...
subhanAllah...
Post a Comment