Friday, August 20, 2010

Awas! 1/3 telah berlalu! Dan 1/3 itu banyak!

Aku menasihati diriku dan kalian. Sesungguhnya 1/3 telah berlalu! Dan 1/3 adalah banyak. Bagaimana amalan pada 1/3 yang lalu?
Masa terlalu suntuk untuk lemah dan bermalas-malas. Bangkit segera! Rungkaikan selimut kerehatan!
Ramadhan sedang bergerak pantas meninggalkan sesiapa yang malas!
Ketepikan kemalasan!
Nyahkan kelemahan!
Kejar keampunan!
Buru ketaqwaan!
Penatkan badan dalam ketaatan!
Wahab bin Munabbih berkata: Sesiapa yang bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah, akan bertambah kekuatannya. Dan sesiap yang bermalas-malas, dia akan bertambah lesu dan lemah.
Thabit al-Bannani berkata, seorang ‘abid berkata kepadanya: Apabila aku tidur, lepas itu aku terjaga, kemudian aku cuba tidur kembali, Allah tidak tidurkan mataku lagi.
Beliau menambah: Tidak dinamakan seseorang ‘abid itu ‘abid sekalipun terdapat padanya semua aspek kebaikan melainkan dia memiliki dua ciri: puasa dan solat. Kedua-dua ciri itu merupakan sebahagian daripada darah dan dagingnya.
Abu Ishak as-Subai’ei menderita sakit, seluruh anggotanya lemah selama dua tahun sebelum menemui ajalnya. Dia tidak berupaya untuk bangun tanpa pertulungan orang lain. Apabila dia sudah berdiri tegak (dengan bantuan orang lain), dia memulakan solat, membaca 1000 ayat dalam keadaan berdiri!
Subhanallah! Alangkah malunya kita.
Mari sama-sama kita manfaatkan sepenuhnya Ramadhan yang masih berbaki 2/3 dengan berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya, qiamul-lail, tilawah, istighfar, sedekah, menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, menghubungkan silatul-rahim, berdakwah dan lain-lain.
Mari tingkatkan iman dan taqwa, gandakan amal, jejaki Lailatul-Qadar!
Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan hamba yang dibebaskan dari api neraka! Amin….!

2 comments: