Monday, November 15, 2010

Mengenang Haji Wadak



Sempena perhimpunan tahunan umat Islam besar-besaran yang sedang berlangsung di tanah suci sekarang, mari kita singkap perhimpunan yang dipimpin sendiri oleh Nabi s.a.w. di tempat sama kira-kira 1421 tahun yang lalu. Perhimpunan yang dikenali sebagai haji wadak atau haji perpisahan juga merupakan satu-satunya haji yang ditunaikan oleh baginda s.a.w. sepanjang hayatnya.
Setelah baginda menyempurnakan tugas menyampaikan dakwah, menyebarkan risalah dan membina masyarakat berlandaskan akidah tauhid yang tulus murni, tibalah masa untuk baginda kembali mengadap Tuhan yang mengutusnya sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Seolah-olah baginda dapat merasai dekatnya saat itu sehingga ketika baginda mengutus Mu’az menjadi kadi di Yaman, baginda sempat berpesan (maksudnya): “Wahai Mu’az, boleh jadi engkau tidak akan bertemu lagi denganku selepas ini. Boleh jadi engkau hanya akan lalu di masjidku ini dan kuburku…”. Ucapan yang sungguh menyentuh hati Mu’az dan sekelian mukmin yang mendengarnya. Maka menangislah Mu’az membayangkan saat perpisahan dengan Rasul tercinta.
Pada tahun ke 10 hijrah, baginda mewarwarkan hasrat untuk menunaikan haji sebagai menyahut perintah Allah yang telah menurunkan wahyu mewajibkan haji kepada setiap muslim yang mampu. Firman Allah bermaksud: “…dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Aali ‘Imran:97)
Berduyun-duyunlah umat Islam datang berkumpul di Madinah untuk mengikuti Rasulullah s.a.w. menunaikan fardu haji di Mekah. Baginda bertolak dari Madinah bersama ahli rombongan yang sangat ramai pada 25 Zul Kaedah tahun ke 10 hijrah dan tiba di Mekah pada 4 Zul Hijjah dengan menunggang unta yang bernama al-Qaswa’.
Pada hari Arafah, kemuncak ibadah haji, baginda telah menyampaikan satu khutbah yang cukup-cukup penting di hadapan para jamaah yang terdiri dari 124,000 atau 44,000 orang. (Ar-Raheeq al-Makhtum). Dalam keadaan berdiri di Batn al-Wadi baginda menyampaikan khutbah berikut (maksudnya):
“Wahai sekelian manusia, dengarlah kata-kataku ini. Sesungguhnya aku tidak mengetahui, boleh jadi aku tidak akan menemui kamu lagi selepas tahun ini di tempat ini selama-lamanya.
Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu haram ke atas kamu (mencerobohnya) seperti haramnya hari ini, bulan ini dan negeri ini. Ketahuilah bahawa segala sesuatu daripada urusan jahiliah terletak di bawah tapak kakiku. Tuntutan ke atas darah yang ditumpahkan pada masa jahiliah dibatalkan. Dan yang pertama dibatalkan ialah tuntutan ke atas darah Ibn Rabi’ah bin al-Harits. Riba jahiliah juga dibatalkan. Dan riba pertama yang dibatalkan ialah riba ‘Abbas bin Abdul Muttalib. Semuanya dibatalkan.
Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan wanita (isteri-isteri kamu). Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah, dan dihalalkan kepada kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak boleh membenarkan seorangpun yang kamu tidak suka menjejaki hamparanmu. Jika mereka lakukan, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Dan hak mereka ke atas kamu ialah makanan serta pakaian dengan cara yang makruf.
Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya, iaitu Kitab Allah. (Sahih Muslim)
Wahai sekelian manusia, sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka ingatlah, sembahlah Allah Tuhan kamu, solatlah lima waktu, puasalah pada bulan Ramadan, bayarlah zakat harta kamu dengan senang hati, tunaikanlah haji di Baitillah, taatilah pemerintah kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhan kamu.
Dan kamu akan ditanya tentang aku. Maka apakah jawapan kamu? Mereka menjawab: “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan amanah dan telah menasihatkan ummah”.

Maka baginda menghalakan jari telunjuk ke langit dan menggerak-gerakkannya ke arah manusia sambil bersabda “اللهم اشهد “ tiga kali.”

Selepas menyampaikan khutbah yang penuh makna itu, turunlah wahyu daripada Allah Ta’ala yang bermaksud: “… Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu….” (Al-Maidah:3)

Ketika mendengar ayat itu, Umar bin al-Khattab r.a. terus menangis. Bila ditanya sebab beliau menangis, beliau menjawab: “Sesungguhnya tiada lagi selepas kesempurnaan melainkan kekurangan.” (Al-Bukhari)

Khutbah yang disampaikan mengandungi beberapa pengajaran yang perlu direnungi dan diikuti. Antaranya:
1. Meskipun berucap di hadapan jamaah haji yang terdiri daripada orang-orang Islam yang beriman, baginda menggunakan seruan wahai sekelian manusia. Baginda tidak menyeru wahai muslim atau wahai mukmin, apalagi wahai orang Arab yang merupakan bangsanya. Ini jelas menunjukkan bahawa ajaran baginda ditujukan kepada seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan agama.
2. Baginda telah mengistiharkan suatu deklarasi menjamin hak asasi manusia, nyawa dan harta. Kehurmatan kedua-duanya adalah sama dengan kehurmatan bulan haram, di tanah haram. Ertinya ia haram dicerobohi dan tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.
3. Keperihatinan baginda terhadap wanita. Dipertegaskan bahawa lelaki yang diamanahkan menjadi pelindung wanita tidak harus lupa adanya Tuhan yang lebih gagah menguasai mereka. Justeru jangan sekali-kali menzalimi wanita di bawah jagaan mereka.
4. Al-Quran adalah sumber rujukan yang menjamin kesejahteraan hidup manusia sepanjang zaman.

1 comment:

Khalifah Allah said...

Agama Islam adalah yang tertinggi, dan tiada yang lebih tinggi darinya. Allahuakhbar!