Thursday, November 11, 2010

Sedikit tentang Imam an-Nawawi

Ramai di kalangan kita yang mengetahui nama Imam an-Nawawi. Betapa tidak? Hadis 40 susunannya menjadi bahan utama di dalam halaqah dan usrah. Namun adakah semua kita mengenali beliau dengan sebenarnya?
Nama beliau ialah al-Hafiz Abu Zakariya Yahya bin Syaraf.
Dilahirkan pada bulan Muharam 631 hijriah di desa Nawa, sebuah kampong yang terletak di Bukit Gulan, Damsyiq. Di situlah beliau membesar dan menghafaz al-Quran.
Kembara ilmu
Menceritakan pengembaraannya mencari ilmu, beliau menulis: ketika berusia 19 tahun, aku dibawa oleh ayahku ke Damsyiq pada tahun 649 hijriah. Aku memasuki sekolah ar-Rawahiyyah selama dua tahun. Selama itu aku tidak pernah meletakkan badanku di atas bumi (tidak baring) dan tidak makan kecuali makanan yang disediakan oleh pihak sekolah.
Beliau mempelajari 12 matapelajaran sehari di hadapan mahagurunya dalam pelbagai ilmu: usuluddin, fiqh serta usulnya, hadis serta mustalahnya, lughah dan mantiq (ilmu bahasa dan lojik)
Suatu peristiwa luar biasa telah belaku semasa Imam an-Nawawi berusia 7 tahun. Ayahnya menceritakan bahawa malam itu adalah malam 27 Ramadan. An-Nawawi tidur di sebelahnya. Tiba-tiba dia terjaga dari tidur di pertengahan malam sambil berkata: “Ayah, cahaya apa yang memenuhi rumah kita sekarang?” Mendengar suaranya, kami terjaga tetapi kami tidak nampak apa-apa cahaya. Maka aku yakin bahawa itu adalah Lailatul-Qadar.
Seorang yang arif bernama Ustaz Yasin bin Yusuf az-Zarkasyi berkata: aku pernah melihat Syaikh (an-Nawawi) ketika beliau berumur 10 tahun di Nawa. Kanak-kanak seusianya memaksanya bermain dengan mereka sedangkan dia enggan. Dia lari dari mereka dan menangis kerana mereka memaksanya. Dalam keadaan itu dia asyik membaca al-Quran. Maka aku jatuh hati padanya. Aku bertemu dengan guru yang mengajarnya al-Quran dan berpesan kepadanya supaya menjaga budak ini dengan baik. Aku berkata kepadanya: “Budak ini diharap akan menjadi orang yang paling alim dan paling zuhud di zamannya. Dan manusia akan banyak mendapat manfaat daripadanya.” Guru itu berkata kepadaku: “Adakah engkau seorang ahli nujum?” Aku menjawab: “Tidak. Tetapi Allah yang izinkan aku berkata begitu.” Guru itu menyampaikannya kepada ayahnya. Maka dia sangat mengambil tentangnya sehingga dia khatam menghafaz al-Quran sebelum mencapai usia baligh.
Antara karamah yang dianugerahkan Allah kepadanya ialah, sekiranya tidak ada pelita untuk digunakan ketika mengarang, jarinya akan bercahaya meneranginya dengan izin Allah.

Bersambung….

2 comments:

humble me said...

jazakillah ya ustazah.
sejarah yg sangat menarik.

cucutokjanggut said...

salam wbr...

ustazah, ana minta izin untuk di copy ye..

jzkk :)