Saturday, November 13, 2010

Sedikit tentang Imam an-Nawawi

Sambungan….

Penguasaan an-Nawawi dalam pelbagai bidang ilmu

An-Nawawi dianugerahi ilmu yang luas dan mendalam dalam pelbagai bidang. Antaranya:
1. Ilmu fiqh. Beliau merupakan pakar rujuk dan menjadi tumpuan dalam ilmu fiqh Mazhab asy-Syafi’ei
2. Ilmu mengenai Matan Hadis dan nama-nama rijal (perawinya), yang dikenali sebagai Ilmu Riwayah dan Dirayah. Dia merupakan orang pertama pada zamannya yang menguasai ilmu tersebut.
3. Menghafaz, menekuni dan mengkelaskan Hadis Rasulullah s.a.w. Beliau mengetahui dengan mendalam Hadis yang sahih, yang tidak sahih serta sanadnya.
4. Beliau merupakan faqih muhadditsin dan muhaddits fuqaha’, iaitu seorang yang faqih dari kalangan ahli hadis dan seorang ahli hadis dari kalangan fuqaha’. Bahkan boleh dikatakan bahawa an-Nawawi adalah menara ilmu pada zamannya yang menjadi tumpuan dan rujukan tanpa saingan, tanpa pertikaian.

Peribadi yang unggul

Seorang yang sangat warak, zuhud dan sentiasa muraqabah Allah di mana jua dan dalam keadaan apa saja. Kerana terlalu menjauhi perkara syubhah belaiu tidak makan kecuali makanan yang dihantar oleh ayahnya dari kampungnya sendiri. Di samping ilmu dan waraknya Imam an-Nawawi juga terkenal dengan kegigihan menjalankan amar makruf dan nahi mungkar. Beliau berdepan dengan raja dan pemerintah, menulis surat kepada mereka memberi peringatan supaya berlaku adil terhadap rakyat, membatalkan cukai yang berlebihan dan memulangkan hak kepada tuannya. Kata Abu al-‘Abbas bin Faraj, Imam an-Nawawi telah mencapai tiga darjat yang mana setiap satu darjat itu tidak mampu dicapai oleh manusia biasa kecuali dengan usaha yang sangat gigih.
Darjat pertama: ilmu
Darjat kedua: zuhud
Darjat ketiga: amar makruf dan nahi mungkar.

Karya

Beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh kitab dalam bidang fiqh, hadis dan lain-lain. Antara hasil tulisan beliau yang masyhur:
1. Syarah Muslim
2. Riadhus-Solihin
3. Al-Azkar
4. Al-Arba’un an-Nawawiyyah wa Syarhuha
5. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat
6. Tabaqat al-Fuqaha’
7. Bustanul-‘Arifin
8. Dan lain-lain…

Wafat

Di penghujung usianya beliau kembali ke tanah tumpah darahnya setelah selesai menunaikan haji dan menziarahi al-Quds. Beliau telah jatuh sakit di sisi dua ibu bapanya dan kembali ke rahmatullah pada malam rabu hujung bulan Rejab tahun 676 hijrah.

Dipetik dari:
Kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, karangan Imam an-Nawawi rahimahullah.

No comments: