Monday, May 28, 2012

Bijak matematik



Ibrahim bin al-Munzir al-Hazami menceritakan, seorang Arab badwi berkunjung ke rumah seorang lelaki penduduk bandar. Lelaki tersebut tinggal bersama seorang isteri, dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Di samping itu dia juga membela ayam yang banyak. Dia menyambut lelaki badwi itu sebagai tetamu dengan segala senang hati.

Dia berkata kepada isterinya, “tulung bakarkan seekor ayam untuk hidangan tengahari”.

Setelah ayam masak, isterinya membawa ayam bakar keluar tanpa dipotong. Tuan rumah berkata kepada tetamu, “silakan potong dan bahagi-bahagikan ayam ini untuk kita semua”.

Tetamu menjawab, “saya tidak berapa pandai membahagi, tapi kalau anda semua redha dengan pembahagian yang saya buat, saya akan lakukan”.

Tuan rumah berkata, “kami redha”.

Tetamupun memotong kepala ayam, lalu diberikan kepada tuan rumah sambil berkata, “kepala untuk ketua”.

Dipotongnya dua sayap dan diberikan kepada anak lelaki sambil berkata, “dua sayap untuk dua anak lelaki”.

Dua peha diberikannya kepada anak perempuan. Dia berkata, “dua peha untuk dua anak perempuan”.

Punggung ayam diberikan kepada ibu sambil berkata, “bahagian yang lemah untuk orang tua”

Dan dia mengambil bahagian dada sambil berkata, “az-zaur lizza-er (dada untuk pengunjung”.

Keesokannya tuan rumah menyuruh isterinya membakar lima ekor ayam pula. Setelah ayam masak, isterinya menghidangkan ayam-ayam tersebut tanpa dipotong seperti semalam.

Sekali lagi tuan rumah meminta tetamunya membahagikan ayam untuk mereka seisi rumah.

Dia bertanya kepada tuan rumah, adakah hendak dibahagikan secara ganjil atau genap? Tuan rumah berkata, secara ganjil.

Lalu dia membahagikan dengan berkata, “anda, isteri dan seekor ayam jadi tiga. Dua anak lelaki dan seekor ayam jadi tiga. Dua anak perempuan dan seekor ayam, jadi tiga. Saya dan dua ekor ayam jadi tiga”. Maka dia meletakkan dua ekor di dalam pinggan di hadapannya.
Dia melihat semua mata memandang ke arah dua ekor ayam di dalam pinggannya. Maka dia berkata, “boleh jadi anda tidak puas hati dengan pembahagian yang saya buat secara ganjil”.

Tuan rumah menjawab, “buatlah secara genap”.

Badwipun mengumpulkan kembali ayam-ayam tadi dan membahagikannya semula, “anda, dua orang anak lelaki anda dan seekor ayam, jadi empat. Isteri anda, dua orang anak perempuan anda dan seekor ayam jadi empat. Saya dan tiga ekor ayam, jadi empat”. Dan dia mengambil tiga ekor ayam, diletakkan di dalam pinggannya. Dia mendongak ke langit sambil berkata, “Alhamdulillah, Engkaulah yang telah memahamkan saya semua ini”.

(Kelakar tak? Kalau tak rasa nak ketawa, buat-buatlah ketawa sikit, hilangkan stress.)

Dipetik dari kitab ‘kisah-kisah lucu’ oleh Imam Ibn al-Jauzi.

Saturday, May 26, 2012

Di pagi hari mengundi



Artikel ini telah ditulis oleh Imam Hasan al-Banna dan telah disiarkan dalam Majalah Ikhawan Muslimin, bil.3, tahun ke 4, 7 Safar 1355 Hijriah bersamaan 28 April 1936 Masihi. Walaupun telah berlalu lebih daripada 76 tahun, kandungannya masih releven hingga ke hari ini, seolah-olah ia ditujukan kepada kita di sini. Mohon semua yang membaca menyebarkannya seluas mungkin agar ia sampai kepada semua yang akan mengundi dan menjadi calon dalam PRU 13 nanti, insya Allah.

Undi adalah hak tanah air

Kepada Ikhwan Muslimin di serata daerah sempena hari mengundi dalam pilharaya umum,
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Undi dalam pilihanraya adalah hak tanahair. Maka tidak wajar dan tidak harus bagi sesiapa yang mampu, mengundurkan diri dari menyatakan suaranya dalam masalah ini. Pilihanraya merupaka satu daripada isu paling penting, kewajipan warga negara yang paling utama terhadap tanahairnya. Maka hendaklah kamu memandang serius dalam menunaikan tanggungjawab ini. Jangan abaikan suara kamu dan jangan sia-siakannya.

Kamu wajib mengetahui dengan yakin bahawa menyatakan suara dengan mengundi adalah satu persaksian yang setiap manusia akan disoal nanti mengenainya. Maka dengarlah suara hati kecil kamu dan bertanyalah kepada akal kamu. Jadilah kamu orang yang bebas dan merdeka dalam menolong kebenaran, berani dalam memilih calon yang paling layak dan paling baik. Hendaklah kamu meletakkan syarat kepada wakil yang kamu pilih supaya mereka menjadikan manhaj mereka ialah menegakkan Negara berlandaskan manhaj Islam yang mendukung isu-isu Islam, berusaha untuk mencorakkan umat dengan ajaran Islam serta Syariatnya. Jangan kamu ditewaskan oleh perasaan ingin menjaga hati dan memelihara hubungan. Sesungguhanya kepentingan tanahair mengatasi segala bentuk perkiraan lain. Perhatikan firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nisaa’:135)

Wahai Ikhwan,

Sesungguhnya pertempuran paling utama adalah pertempuran dalam pilihanraya bagi memilih wakil yang bakal menduduki dewan rakyat yang merupakan kuasa perundangan tertinggi dalam Negara. Antara kewajipan ahlinya ialah memiliki keperibadian paling bersih, menjadi contoh paling unggul, jauh dari sifat suka mengata, mengutuk dan mencela. Tidak menjatuhkan maruah manusia, tidak mencerobohi perkara yang diharamkan, tidak mengumpat, memfitnah, menaburkan berita palsu, berbohong dan bermuka-muka.

Namun, harus bagi seseorang mengemukakan manhajnya jika dia menjadi calon atau manhaj calon yang disokongnya jika dia bukan calon. Dia boleh bercakap mengenai kebaikan dan keistimewaan manhajnya dan mengemukakan hujah-hujah dan dalil-dalil yang membuktikan kebaikan manhaj yang dibawanya. Tetapi tidak harus sama sekali dia mengumpat lawannya, mengutuk, mencela, mengaibkan, dan melemparkan tuduhan walaupun dengan perkara yang betul atau tidak betul. Semua itu bukan daripada ajaran agama, bukan daripada perkara yang dipandang mulia dan bukan daripada sifat kemanusiaan. Kalau mereka berkata itu perkara biasa di dalam politik, namun Islam tidak membenarkannya dan tidak mengharuskannya selama-lamanya. Firman Allah bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat:11)

Wahai Ikhwan,

Pilihanraya akan berakhir. Yang tinggal adalah perkara-perkara yang mengguris hati atau yang menyenangkannya. Maka andainya kebaikan kekal di kalangan kamu, itulah yang terbaik. Jangan kamu lupa berbaik-baik sesama kamu pada waktu yang kita sangat berhajat kepada kesatuan dan bantu membantu.

Itulah perkara yang aku ingin menarik perhatian kamu dengan harapan kamu akan mengamalkannya, kamu sebarkan di kalangan saudara-saudara kamu dan kamu kempen sesiapan yang kamu mampu daripada kalangan kenalan kamu dan warga tanahair kamu.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Tuesday, May 22, 2012

Hukum bekerjasama melakukan penipuan di dalam pilihanraya


Seorang pembaca ikhwanonline.net mengemukakan soalan mengenai penipuan di dalam pilihanraya. Soalannya berbunyi:

Saya bekerja sebagai pegawai di pejabat daerah di sebuah wilayah di Mesir dan sentiasa dilantik untuk menjadi pemantau kepada perjalanan pilihanraya. Sedia maklum bahawa dalam proses pilihanraya selalu berlaku penipuan tanpa persetujuan saya, malah saya tidak ada kuasa untuk membantahnya.
Apakah hukum Syarak mengenai perkara ini?
Sekarang hari mengundi hampir tiba. Saya jadi serba salah, bimbang gaji yang saya terima tidak halal untuk diberi makan kepada ahli keluarga saya.

Soalan di atas telah dijawab oleh Shaikh Dr Abdul Rahman al-Birr, Professor dalam bidang Hadis dan Ulum Hadis di Fakulti Usulud-Din, Universiti al-Azhar, al-Mansurah.

Sesungguhnya segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya antara bentuk penipuan yang paling besar dan kejahatan yang paling keji adalah memalsukan kehendak umat, iaitu apa yang dilakukan oleh mereka yang bersekongkol dalam memalsukan kad-kad pilihanraya, yang memerintah supaya melakukan perkara tersebut, yang redha dengannya dan yang tidak mencegahnya. Sesungguhnya Allah Ta’ala mencela mereka yang cenderung kepada kezaliman orang-orang yang zalim di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud:113)

Maka sesiapa yang tidak berkuasa untuk menghalang kemungkaran ini, dia hendaklah sekurang-kurangnya membenci dan jangan redha terhadapnya. Itu merupakan selemah-lemah iman sebagaimana dinyatakan di dalam Hadis Sahih riwayat Muslim daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a. katanya, “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika dia tidak berkuasa, maka dengan lisannya. Jika dia tidak berkuasa, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman”.

Dan menjadi lebih buruk lagi kejahatan itu jika orang yang melaksanakan penipuan itu atau yang redha dengannya mengambil sejumlah harta untuk melaksanakannya atau untuk bersetuju dengan kemungkaran serta jenayah tersebut. Maka anggota badan pilihanraya (SPR) seperti ketua atau penolongnya, jika dia yang melakukan penipuan atau dia redha dengan penipuan itu, sudah tentu dia berdosa, makan harta yang haram, pengamal rasuah yang dilaknat. Pengamal rasuah adalah terlaknat, sama ada yang makan, yang memberi dan yang menjadi perantara di antara keduanya (pemberi dan penerima).

Di dalam sepotong Hadis yang dikeluarkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang memikul senjata untuk memerangi kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Perhatikan di dalam Hadis tersebut, baginda s.a.w. telah menghimpunkan orang yang mengangkat senjata dengan orang yang menipu. Ini dengan jelas menunjukkan betapa besarnya jenayah menipu yang dilakukan oleh seseorang untuk menipu umat ini atau menolong orang lain melakukan penipuan terhadap umat ini.

Adapun orang yang dipaksa, dan dia tidak dapat melepaskan diri atau tidak mampu untuk mengelak daripada melakukannya, atau dia mendapat ugutan yang tidak tertanggung oleh dirinya, keluarganya atau lain-lain, maka dalam situasi sebegitu, dia dimaafkan kerana dia melakukannya dalam keadaan dipaksa. Daripada Abu Dzar al-Ghifari r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak meletakkan dosa ke atas umatku yang tersalah, terlupa atau terpaksa.” Riwayat Ibn Majah.

Sumber:
http://ikhwanonline.net/new/Article.aspx?ArtID=65390&SecID=365

Friday, May 18, 2012

Membeli undi di dalam pilihanraya adalah haram



Shaikh Muhammad Abdullah al-Khatib, salah seorang ulamak al-Azhar yang terkemuka, mengeluarkan fatwa bahawa amalan membeli undi di dalam proses pilihanraya adalah haram di sisi syarak. Ia adalah sejenis rasuah, keji sehingga ke hari qiamat, jijik, menjatuhkan maruah, meruntuhkan akhlak, memusnahkan akal pengundi, bahkan menghina keinsanan manusia itu sendiri.

Fatwa tersebut disandarkan kepada peristiwa Rasulullah s.a.w. mengutus Abdullah bin Rawwahah kepada kaum Yahudi untuk membuat taksiran berapakah jumlah cukai yang mereka perlu bayar daripada hasil kurma mereka. Kaum Yahudi menawarkan kepada Abdullah sedikit harta untuk dirinya. Maka Abdullah berkata kepada mereka: “Adapun apa yang kamu tawarkan itu adalah rasuah. Sesungguhnya ia adalah jijik dan kami tidak memakannya!” (Riwayat at-Tirmizi)

Selain peristiwa itu, beliau juga mengemukakan dalil daripada al-Quran, iaitu firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Al-Baqarah:188)

Beliau menerangkan bahawa pemilihan melalui pilihanraya secara langsung merupakan satu proses yang penting dalam membina masa depan umat dan keutuhannya. Justeru, ia perlu diletakkan pada tempatnya yang betul, mengatasi segala bentuk tawar menawar dan urusniaga jual beli. Dari segi hukum syarak, mengundi adalah satu bentuk persaksian. Maka tidak harus seorang muslim mengambil upah kerana memberikan persaksian ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “… dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata…” (At-Talaq:2)

Beliau menyeru umat Islam agar mengambil berat masalah memberi undi. Undi hendaklah diberikan kepada calon yang membawa agenda mengembalikan umat ini kepada kemuliaan, keagongan dan ketuanannya, meletakkan kembali umat ini kepada kedudukan yang tinggi di kalangan bangsa-bangsa di dunia. Calon yang mengambil berat tentang penyebaran kebaikan, menolak kerosakan dan kemudaratan, yang menjaga amanah dan memikul tanggungjawab dengan serius.

Beliau juga menegaskan bahawa seseorang muslim wajib memiliki kesedaran yang murni dan kefahaman yang betul tentang agamanya. Dia tidak taksub kecuali kepada kebenaran, tidak berdiri kecuali di dalam barisan orang-orang yang berakal lagi matang serta menjauhi orang yang mengkhianati umatnya, meruntuhkan kepentingan tanah airnya sebagaimana firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Al-Ahzab:70-71)

Sumber: http://ikhwanonline.net/new/Article.aspx?ArtID=108861&SecID=211

Friday, May 04, 2012

Melawat al-Quds yang terjajah merupakan satu perkhidmatan percuma kepada musuh – Pemimpin HAMAS



HAMAS mengulangi pendiriannya menolak aktiviti melawat Bandar al-Quds yang kini berada di bawah jajahan Zionis. Pergerakan itu menegaskan bahawa lawatan itu merupakan satu pengiktirafan dan perkhidmatan percuma kepada musuh dan secara tidak langsung mempromosikan kepada dunia bahawa penjajah Zionis adalah penjaga dan pelindung keamanan dan kebebasan beragama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Media HAMAS sebagai mengulas tindakan sesetengah individu dan pertubuhan-pertubuhan yang telah melakukan lawatan ke Bandar al-Quds yang sedang dijajah, kenyataan itu menyatakan: “Sesungguhnya kami dalam gerakan HAMAS, ketika kami menyeru pentingnya diwujudkan satu barisan penggerak yang efektif secara rasmi di peringkat akar umbi dengan gembelingan seluruh rakyat jelata bagi membebaskan dan melindungi Bandar al-Quds dan Masjid al-Aqsa yang kini dikuasai penjajah Zionis, yang sedang diancam keruntuhan dan usaha-usaha meyahudikannya; maka pada masa yang sama kami mengulangi pendirian dengan setegas-tegasnya bahawa kami menolak aktiviti menzirahi al-Quds yang berada di bawah jajahan musuh. Kami ingin menegaskan bahawa satu-satunya pihak yang mendapat faedah daripada lawatan itu ialah rejim Zionis. Mereka menjadikannya sebagai modal untuk mempromosi rejim mereka bahawa mereka adalah pengawal keamanan dan penjamin kebebasan beragama. Sedangkan hakikatnya hari demi hari mereka miningkatkan polisi permusuhan, keganasan dan penindasan ke atas bangsa kita, tanah air kita dan tempat-tempat suci kita.

Oleh kerana lawatan itu merupakan satu perkhidmatan percuma kepada musuh, maka pihak HAMAS menyeru umat Arab khususnya dan umat Islam umumnya, pihak-pihak berkuasa, pertubuhan-pertubuhan, institusi-institusi, badan-badan rasmi dan tidak rasmi agar mengambil langkah yang tegas dan serius dalam memutuskan hubungan dengan Zionis dan menguatkan penggembelingan tenaga dan usaha dalam mendukung perjuangan suci bagi membebaskan al-Quds dan seluruh bumi Palestin serta mengembalikan hak-hak yang telah dirampas.

Sumber: http://ikhwanonline.net/new/Article.aspx?ArtID=107560&SecID=450

Wednesday, May 02, 2012

Perihal mengumpat dan mengata keburukan orang

Sufyan bin Husain al-Wasitiy menceritakan:

Pada suatu hari aku menyebut keburukan seorang lelaki di hadapan Iyas bin Mu’awiyah al-Mazaniy, Qadhi Basrah. Maka dia memandang tepat ke wajahku dan berkata:

“Adakah engkau telah memerangi Rum?”

Aku menjawab: “Tidak!”

Dia berkata lagi: “Atau engkau telah memerangi Sindh, Hindi dan Turki?” (Negara-negara yang disebutkan itu, pada ketika itu masih belum Islam)

Aku menjawab: “Tidak!”

Maka dia terus merenungku dengan tajam seraya berkata: “Adakah patut negeri Rum, Sindh, Hindi dan Turki selamat dari seranganmu, sedangkan seorang saudaramu yang muslim tidak selamat?”

Sufyan menyambung ceritanya dengan berkata: “Mulai saat itu aku tidak pernah mengaibkan seseorangpun dari kalangan manusia atau mengumpat mereka!”

Sumber: al-Bidayah wa an-Nihayah.

Tuesday, May 01, 2012

Demi maruah


Antara sifat terpuji yang dimiliki dan diwarisi bangsa Arab zaman berzaman ialah pemurah, berpegang kepada janji dan mempertahankan maruah.

Maruah bolehlah diertikan sebagai harga diri, nama baik serta kehormatan diri, keluarga dan bangsa. Ia sangat berharga dan mereka sanggup menggadai nyawa demi mempertahankannya.

Berbagai kisah yang menarik tercatat di lembaran sejarah berkaitan dengan penjagaan maruah di kalangan mereka. Antaranya kisah seorang pengembara dengan pencuri.

Diceritakan bahawa seorang pengembara telah mengembara dari desa ke kota dengan menunggang seekur kuda dari jenis baka yang baik.

Setelah puas mengembara, tibalah masa untuk dia berangkat pulang menemui keluarga tersayang.

Dia memulakan perjalanan pada waktu dhuha meredah padang pasir yang luas saujana. Hatinya girang, jiwanya lapang laksana padang pasir yang sedang dijelajahi ketika itu. Wajah isteri dan anak-anak yang dirindui bermain-main di mata silih berganti.

Beberapa ketika meredah sahara, haripun mula meninggi. Bahang kepanasan bagaikan tidak tertanggung. Butiran-butiran pasir laksana bara api yang sedang menyala.

Tiba-tiba dia terserempak dengan seorang lelaki terhuyung hayang menahan kepanasan dengan sepasang kaki yang tidak berkasut sedangkan pasir-pasir yang dipijak laksana bara api yang sedang menyala.

Tanpa berfikir panjang, dia lantas turun dari kudanya dan mempersilakan lelaki itu naik. Dia berjalan kaki mengiringi lelaki itu di atas kuda kesayangannya. Lelaki itu berulang kali mengucapkan terima kasih sambil mendoakan agar dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki orang yang menolongnya itu.

Tak sampai beberapa meter berjalan, tiba-tiba lelaki itu memecut kuda itu dan berlari meninggalkan pengembara yang baik hati. Barulah dia sedar rupa-rupanya lelaki itu seorang pencuri. Apa yang dilakonkan sebentar tadi hanya helah semata-mata.

Seketika dia tergamam. Kemudian cepat-cepat dia menjerit: “Ya akhi! Tunggu sebentar, dengar dulu apa yang ingin aku katakan!”

Pencuri itu memberhentikan kuda dan menanti apa yang akan dikatakan oleh mangsanya.

“Ya akhi, kuda itu halal untukmu. Tapi aku minta kamu rahsiakan peristiwa ini dari diketahui orang. Jangan biarkan perkara ini tersebar di kalangan kabilah-kabilah Arab. Kalau mereka tahu perkara seperti ini berlaku, tentulah orang yang kuat tidak akan menolong orang yang lemah, orang yang menunggang tidak akan kasihan kepada orang yang berjalan kaki. Maka jadilah padang pasir suatu kawasan yang sunyi daripada maruah. Hilang maruah, hilanglah keindahan padang pasir ini kerana maruah adalah perhiasan baginya. Padang pasir adalah tempat bertandang kemurahan, kemuliaan dan ketinggian budi!”

Mendengar kata-kata pengembara itu, pencuripun berpatah balik. Malu dan menyesal di atas ketelanjuran diri sendiri. Dengan nada kesal dia berkata kepada pengembara: “Sesungguhnya kemuliaan itu akhlak yang terpuji, kemaafan itu tabiat yang baik. Maka maafkan kesilapanku. Sesungguhnya aku pulangkan kudamu wahai pengembara yang mulia kerana takut suatu hari nanti orang akan berkata ‘orang Arab berbuat jahat kepada orang yang berbudi kepadanya’, dengan itu hilanglah maruah dari pasir-pasir sahara ini.”
div dir="ltr" style="text-align: left;" trbidi="on">