Saturday, May 26, 2012

Di pagi hari mengundi



Artikel ini telah ditulis oleh Imam Hasan al-Banna dan telah disiarkan dalam Majalah Ikhawan Muslimin, bil.3, tahun ke 4, 7 Safar 1355 Hijriah bersamaan 28 April 1936 Masihi. Walaupun telah berlalu lebih daripada 76 tahun, kandungannya masih releven hingga ke hari ini, seolah-olah ia ditujukan kepada kita di sini. Mohon semua yang membaca menyebarkannya seluas mungkin agar ia sampai kepada semua yang akan mengundi dan menjadi calon dalam PRU 13 nanti, insya Allah.

Undi adalah hak tanah air

Kepada Ikhwan Muslimin di serata daerah sempena hari mengundi dalam pilharaya umum,
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Undi dalam pilihanraya adalah hak tanahair. Maka tidak wajar dan tidak harus bagi sesiapa yang mampu, mengundurkan diri dari menyatakan suaranya dalam masalah ini. Pilihanraya merupaka satu daripada isu paling penting, kewajipan warga negara yang paling utama terhadap tanahairnya. Maka hendaklah kamu memandang serius dalam menunaikan tanggungjawab ini. Jangan abaikan suara kamu dan jangan sia-siakannya.

Kamu wajib mengetahui dengan yakin bahawa menyatakan suara dengan mengundi adalah satu persaksian yang setiap manusia akan disoal nanti mengenainya. Maka dengarlah suara hati kecil kamu dan bertanyalah kepada akal kamu. Jadilah kamu orang yang bebas dan merdeka dalam menolong kebenaran, berani dalam memilih calon yang paling layak dan paling baik. Hendaklah kamu meletakkan syarat kepada wakil yang kamu pilih supaya mereka menjadikan manhaj mereka ialah menegakkan Negara berlandaskan manhaj Islam yang mendukung isu-isu Islam, berusaha untuk mencorakkan umat dengan ajaran Islam serta Syariatnya. Jangan kamu ditewaskan oleh perasaan ingin menjaga hati dan memelihara hubungan. Sesungguhanya kepentingan tanahair mengatasi segala bentuk perkiraan lain. Perhatikan firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nisaa’:135)

Wahai Ikhwan,

Sesungguhnya pertempuran paling utama adalah pertempuran dalam pilihanraya bagi memilih wakil yang bakal menduduki dewan rakyat yang merupakan kuasa perundangan tertinggi dalam Negara. Antara kewajipan ahlinya ialah memiliki keperibadian paling bersih, menjadi contoh paling unggul, jauh dari sifat suka mengata, mengutuk dan mencela. Tidak menjatuhkan maruah manusia, tidak mencerobohi perkara yang diharamkan, tidak mengumpat, memfitnah, menaburkan berita palsu, berbohong dan bermuka-muka.

Namun, harus bagi seseorang mengemukakan manhajnya jika dia menjadi calon atau manhaj calon yang disokongnya jika dia bukan calon. Dia boleh bercakap mengenai kebaikan dan keistimewaan manhajnya dan mengemukakan hujah-hujah dan dalil-dalil yang membuktikan kebaikan manhaj yang dibawanya. Tetapi tidak harus sama sekali dia mengumpat lawannya, mengutuk, mencela, mengaibkan, dan melemparkan tuduhan walaupun dengan perkara yang betul atau tidak betul. Semua itu bukan daripada ajaran agama, bukan daripada perkara yang dipandang mulia dan bukan daripada sifat kemanusiaan. Kalau mereka berkata itu perkara biasa di dalam politik, namun Islam tidak membenarkannya dan tidak mengharuskannya selama-lamanya. Firman Allah bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat:11)

Wahai Ikhwan,

Pilihanraya akan berakhir. Yang tinggal adalah perkara-perkara yang mengguris hati atau yang menyenangkannya. Maka andainya kebaikan kekal di kalangan kamu, itulah yang terbaik. Jangan kamu lupa berbaik-baik sesama kamu pada waktu yang kita sangat berhajat kepada kesatuan dan bantu membantu.

Itulah perkara yang aku ingin menarik perhatian kamu dengan harapan kamu akan mengamalkannya, kamu sebarkan di kalangan saudara-saudara kamu dan kamu kempen sesiapan yang kamu mampu daripada kalangan kenalan kamu dan warga tanahair kamu.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

No comments: