Monday, May 28, 2012

Bijak matematik



Ibrahim bin al-Munzir al-Hazami menceritakan, seorang Arab badwi berkunjung ke rumah seorang lelaki penduduk bandar. Lelaki tersebut tinggal bersama seorang isteri, dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Di samping itu dia juga membela ayam yang banyak. Dia menyambut lelaki badwi itu sebagai tetamu dengan segala senang hati.

Dia berkata kepada isterinya, “tulung bakarkan seekor ayam untuk hidangan tengahari”.

Setelah ayam masak, isterinya membawa ayam bakar keluar tanpa dipotong. Tuan rumah berkata kepada tetamu, “silakan potong dan bahagi-bahagikan ayam ini untuk kita semua”.

Tetamu menjawab, “saya tidak berapa pandai membahagi, tapi kalau anda semua redha dengan pembahagian yang saya buat, saya akan lakukan”.

Tuan rumah berkata, “kami redha”.

Tetamupun memotong kepala ayam, lalu diberikan kepada tuan rumah sambil berkata, “kepala untuk ketua”.

Dipotongnya dua sayap dan diberikan kepada anak lelaki sambil berkata, “dua sayap untuk dua anak lelaki”.

Dua peha diberikannya kepada anak perempuan. Dia berkata, “dua peha untuk dua anak perempuan”.

Punggung ayam diberikan kepada ibu sambil berkata, “bahagian yang lemah untuk orang tua”

Dan dia mengambil bahagian dada sambil berkata, “az-zaur lizza-er (dada untuk pengunjung”.

Keesokannya tuan rumah menyuruh isterinya membakar lima ekor ayam pula. Setelah ayam masak, isterinya menghidangkan ayam-ayam tersebut tanpa dipotong seperti semalam.

Sekali lagi tuan rumah meminta tetamunya membahagikan ayam untuk mereka seisi rumah.

Dia bertanya kepada tuan rumah, adakah hendak dibahagikan secara ganjil atau genap? Tuan rumah berkata, secara ganjil.

Lalu dia membahagikan dengan berkata, “anda, isteri dan seekor ayam jadi tiga. Dua anak lelaki dan seekor ayam jadi tiga. Dua anak perempuan dan seekor ayam, jadi tiga. Saya dan dua ekor ayam jadi tiga”. Maka dia meletakkan dua ekor di dalam pinggan di hadapannya.
Dia melihat semua mata memandang ke arah dua ekor ayam di dalam pinggannya. Maka dia berkata, “boleh jadi anda tidak puas hati dengan pembahagian yang saya buat secara ganjil”.

Tuan rumah menjawab, “buatlah secara genap”.

Badwipun mengumpulkan kembali ayam-ayam tadi dan membahagikannya semula, “anda, dua orang anak lelaki anda dan seekor ayam, jadi empat. Isteri anda, dua orang anak perempuan anda dan seekor ayam jadi empat. Saya dan tiga ekor ayam, jadi empat”. Dan dia mengambil tiga ekor ayam, diletakkan di dalam pinggannya. Dia mendongak ke langit sambil berkata, “Alhamdulillah, Engkaulah yang telah memahamkan saya semua ini”.

(Kelakar tak? Kalau tak rasa nak ketawa, buat-buatlah ketawa sikit, hilangkan stress.)

Dipetik dari kitab ‘kisah-kisah lucu’ oleh Imam Ibn al-Jauzi.

1 comment:

نور عزتي said...

haha, bijak2..
menceriakan pagi sy.. ;)