And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Tuesday, May 22, 2012
Hukum bekerjasama melakukan penipuan di dalam pilihanraya
Seorang pembaca ikhwanonline.net mengemukakan soalan mengenai penipuan di dalam pilihanraya. Soalannya berbunyi:
Saya bekerja sebagai pegawai di pejabat daerah di sebuah wilayah di Mesir dan sentiasa dilantik untuk menjadi pemantau kepada perjalanan pilihanraya. Sedia maklum bahawa dalam proses pilihanraya selalu berlaku penipuan tanpa persetujuan saya, malah saya tidak ada kuasa untuk membantahnya.
Apakah hukum Syarak mengenai perkara ini?
Sekarang hari mengundi hampir tiba. Saya jadi serba salah, bimbang gaji yang saya terima tidak halal untuk diberi makan kepada ahli keluarga saya.
Soalan di atas telah dijawab oleh Shaikh Dr Abdul Rahman al-Birr, Professor dalam bidang Hadis dan Ulum Hadis di Fakulti Usulud-Din, Universiti al-Azhar, al-Mansurah.
Sesungguhnya segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya antara bentuk penipuan yang paling besar dan kejahatan yang paling keji adalah memalsukan kehendak umat, iaitu apa yang dilakukan oleh mereka yang bersekongkol dalam memalsukan kad-kad pilihanraya, yang memerintah supaya melakukan perkara tersebut, yang redha dengannya dan yang tidak mencegahnya. Sesungguhnya Allah Ta’ala mencela mereka yang cenderung kepada kezaliman orang-orang yang zalim di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud:113)
Maka sesiapa yang tidak berkuasa untuk menghalang kemungkaran ini, dia hendaklah sekurang-kurangnya membenci dan jangan redha terhadapnya. Itu merupakan selemah-lemah iman sebagaimana dinyatakan di dalam Hadis Sahih riwayat Muslim daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a. katanya, “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika dia tidak berkuasa, maka dengan lisannya. Jika dia tidak berkuasa, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman”.
Dan menjadi lebih buruk lagi kejahatan itu jika orang yang melaksanakan penipuan itu atau yang redha dengannya mengambil sejumlah harta untuk melaksanakannya atau untuk bersetuju dengan kemungkaran serta jenayah tersebut. Maka anggota badan pilihanraya (SPR) seperti ketua atau penolongnya, jika dia yang melakukan penipuan atau dia redha dengan penipuan itu, sudah tentu dia berdosa, makan harta yang haram, pengamal rasuah yang dilaknat. Pengamal rasuah adalah terlaknat, sama ada yang makan, yang memberi dan yang menjadi perantara di antara keduanya (pemberi dan penerima).
Di dalam sepotong Hadis yang dikeluarkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang memikul senjata untuk memerangi kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”
Perhatikan di dalam Hadis tersebut, baginda s.a.w. telah menghimpunkan orang yang mengangkat senjata dengan orang yang menipu. Ini dengan jelas menunjukkan betapa besarnya jenayah menipu yang dilakukan oleh seseorang untuk menipu umat ini atau menolong orang lain melakukan penipuan terhadap umat ini.
Adapun orang yang dipaksa, dan dia tidak dapat melepaskan diri atau tidak mampu untuk mengelak daripada melakukannya, atau dia mendapat ugutan yang tidak tertanggung oleh dirinya, keluarganya atau lain-lain, maka dalam situasi sebegitu, dia dimaafkan kerana dia melakukannya dalam keadaan dipaksa. Daripada Abu Dzar al-Ghifari r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak meletakkan dosa ke atas umatku yang tersalah, terlupa atau terpaksa.” Riwayat Ibn Majah.
Sumber:
http://ikhwanonline.net/new/Article.aspx?ArtID=65390&SecID=365
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment