Friday, August 10, 2012

Lailatul-Qadar : Pencarian Bermula


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam al-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (5)

Imam Malik rahimahullah berkata di dalam kitabnya (Al-Muwatto’) bahawa dia telah mendengar daripada seorang yang dia percayai kejujurannya dari kalangan ahli ilmu, bahawa Rasulullah s.a.w. diperlihatkan usia manusia sebelumnya yang sangat panjang, maka baginda seolah-olah merasai alangkah pendek usia umatnya. Dengan usia yang pendek itu umatnya tidak akan mencapai amal sebanyak yang dicapai oleh umat lain sebelumnya kerana usia mereka panjang. Maka Allah Taala menganugerahkan baginda Lailatul-Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Kenapakah malam itu dinamakan Lailatul-Qadar?
Menurut Shaikh Ibn Uthaimin, dinamakan Lailatul-Qadar kerana:
- kemuliaannya. Al-Qadar bermakna asy-Syaraf, iaitu kemuliaan. Seseorang yang mulia dan mempunyai kedudukan disebut: fulanun zu qadar ‘azeem
- pada malam itu ditentukan apa yang akan berlaku pada tahun itu dan ini menunjukkan kebijaksanaan Allah serta menerangkan ketelitian perbuatan dan kejadianNya dan ia bertepatan dengan firmanNya yang bermaksud: “pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).” (Ad-Dukhan:4)
- ibadah pada malam tersebut sangat besar ganjarannya, iaitu lebih baik daripada 1000 bulan, dan sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong Hadis yang sahih (maksudnya): “Sesiapa yang qiam pada malam al-Qadar dalam keadaan beriman dan ihtisab (mengharap ganjaran serta keredhaan Allah) diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya.” Muttafaq ‘alaih.

Bilakah Lailatul-Qadar itu?
Lailatul-Qadar adalah satu malam daripada malam-malam di bulan Ramadhan. Di dalam sepotong Hadis sahih, Nabi s.a.w. menyebut beberapa fadhilat Ramadhan, dan di antara fadhilat tersebut baginda menyatakan: “… padanya (Ramadhan) terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang dihalang dari kebaikannya, maka sesungguhnya dia telah terhalang.” (Ahmad dan an-Nasa’e.
Daripada Aisyah r.a. katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. beri’tikaf pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan. Dan baginda bersabda maksudnya: “Carilah Lailatul-Qadar pada 10 malam terakhir daripada Ramadhan.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada Aisyah r.a. juga, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Carilah Lailatul-Qadar itu pada malam witir (ganjil) daripada 10 terakhir Ramadhan.” (Al-Bukhari)

Apa yang patut dilakukan pada Lailatul-Qadar?
Nabi s.a.w. memberikan sepenuh tumpuan untuk beribadah pada 10 malam terakhir. Baginda menghidupkan seluruh malamnya dengan ibadah, membangunakan ahli keluarganya dan mengemaskan ikatan kain sarungnya. Ini digambarkan oleh Sayyidatuna Aisyah r.a. dengan katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh di dalam ibadah pada 10 malam terakhir lebih daripada apa yang dilakukan pada malam-malam yang lain.” (Muslim) Beliau juga berkata: “Apabila masuk 10 malam terakhir, baginda mengemaskan ikatan kain sarungnya dan menghidupkan seluruh malamnya serta membangunkan ahli keluarganya.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang qiam pada Lailatul-Qadar dengan iman dan ihtisab, diampuni apa yang terhadulu daripada dosanya.” (Muttafaq ‘alaih)
Jadi Lailatul-Qadar adalah malam di mana seorang hamba mengurung diri untuk Tuhannya semata-mata. Rasulullah s.a.w. beri’tikaf di masjid dan tidak menggauli isteri. Baginda hanya mengisi masa dengan solat, zikir, tilawah, bersedekah dan berdoa. Doa yang baginda ajar kepada Aisyah r.a., apabila Aisyah bertanya apa yang patut beliau lakukan pada malam al-Qadar, ialah:
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعفو عني

Adakah terdapat tanda-tanda Lailatul-Qadar?
Allah telah sifatkan Lailatul-Qadar sebagai malam yang penuh kesejahteraan hingga terbit fajar. Selaras dengan itu, Ibn Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Ia adalah malam yang lapang lagi ceria, tidak panas dan tidak sejuk. Matahari akan terbit pada paginya dengan warna merah yang lemah.” (At-Tayalisiy)
Menurut Shaikh Ibn Uthaimin, tanda Lailatul-Qadar terbahagi kepada dua, iaitu muqarinah dan lahiqah. Muqarinah adalah tanda yang seiring dengan malam tersebut, iaitu:
1. Cahayanya lebih kuat dan lebih terang daripada kebiasaan. Tanda ini sukar dilihat pada masa kini kecuali di tempat-tempat yang jauh dari pelbagai jenis lampu yang dipasang di waktu malam.
2. Hati terasa tenang dan dada terasa lapang.
3. Angin berhembus membelai lembut tanpa ribut atau angin kencang
4. Kadang-kadang Allah memberi mimpi kepada orang-orang tertentu sebagaimana pernah berlaku kepada beberapa orang sahabat radhiallahu ‘anhum
5. Manusia yang qiam pada malam tersebut akan rasa lebih lazat daripada malam-malam yang lain.
Tanda-tanda lahiqah ialah tanda yang mengikutinya atau yang terjadi selepas Lailatul-Qadar. Matahari terbit pada hari berikutnya tanpa sinar yang memancar, bersih dan murni tidak seperti hari-hari yang lain. Ini digambarkan di dalam Hadis yang diceritakan oleh Ubai bin Ka’ab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu tanpa ada pancaran sinarnya.” (Muaslim)

2 comments:

Syafa Mohamed said...

Assalamualaikum ustazah.

Boleh saya tumpang bertanya. Dalam group lokaliti saya, ramai yang sangat-sangat nakh tahu dan musykil tentang isu penurunan al quran.

Antaranya:
1) Pada malam lailatul qadr, Allah turunkan ape?wahyu pertama atau quran as a whole?
2) Adakah quran diturunkan dahulu as a whole, kemudian baru turun surah iqra?
3) Ape beza nuzul quran dan lailatul qadr?

Asiff nampak pening soalan2 di atas sebab semuanya berkait.

Mohon ustazah untuk beri pencerahan.

Maznah Daud said...

Wa’alaikumussalam wrwb

Mohon maaf banyak-banyak saya baru terpandang ada soalan daripada saudari pada pagi ini.

1. Allah turunkan al-Quran. Ibn Abbas r.a. berkata diturunkan al-Quran keseluruhannya dari luh mahfudz ke bait al-‘izzah di langit dunia (yang paling rendah) kemudian diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. secara berperingkat mengikut peristiwa yang berlaku selama 23 tahun
2. Rujuk jawapan no.1
3. Nuzul al-Quran yang biasa disambut pada 17 Ramadhan adalah peristiwa turun wahyu pertama kepada Nabi s.a.w. di gua hira'. Dan lailatul-qadar itu malam diturunkan al-quran keseluruhannya.

Allahu A'lam.