Thursday, October 11, 2012

Abu Ghayyath az-Zahid


Dikisahkan bahawa seorang yang sangat zuhud bernama Abu Ghayyath. Beliau tinggal di dalam kawasan perkuburan di Bukhara. Pada suatu hari beliau pergi ke kota untuk menziarahi seorang saudaranya. Beliau bertembung dengan sekumpulan budak-budak lelaki (anak-anak atau hamba kepada gabenor, Nasar bin Ahmad). Bersama budak-budak tersebut penyanyi dan penghibur. Mereka baru keluar dari istana gabenor dalam keadaan bersuka ria dengan kelakuan yang tidak senonoh. Kebetulan hari itu adalah hari gabenor menerima tetamu.

Manakala Abu Ghayyath terpandang keadaan budak-budak itu, dia berkata kepada diri sendiri: "Wahai diriku, satu kejadian telah berlaku. Jika engkau diam, bererti engkau terlibat sama!" Lalu dia mengangkat kepalanya ke langit memohon pertulungan dengan Allah. Dia mengambil tongkatnya dan mengetuk budak-budak itu dengan sekali ketuk. Budak-budak itu lari lintang pungkang, meluru memasuki istana gabenor. Mereka menceritakan apa yang berlaku. Gabenor memanggil Abu Ghayyath masuk mengadap.

Dan berlakulah soal jawab antara gabenor dengan Abu Ghayyath:

G: Tidakkah engkau tahu bahawa sesiapa yang derhaka kepada gabenor, dia akan makan tengahari di dalam penjara?

AG: Tidakkah engkau tahu bahawa sesiapa yang derhaka kepada ar-Rahman, dia akan makan malam di dalam an-Niran (api neraka)?

G: Siapa yang melantik engkau sebagai penguatkuasa?

AG: Yang melantik engkau menjadi gabenor

G: Aku dilantik oleh Khalifah.

AG: Dan aku dilantik oleh Tuhan Khalifah.

G: Aku bebaskan engkau dan melantik engkau sebagai penguatkuasa di Samarqand

AG: Aku mengelakkan diriku darinya

G: Anehnya engkau! Engkau menguatkuasa ketika engkau tidak dilantik. Dan engkau enggan bila dilantik.

AG: Kerana, jika engkau melantikku, engkau yang akan memecatku. Jika Tuhanku yang melantikku, tiada seorangpun yang boleh memecatku.

G: Mintalah apa hajatmu.

AG: Hajatku ialah supaya engkau memulangkan kemudaanku

G: Itu bukan terletak di bawah kekuasaanku. Adakah engkau mempunyai hajat lain daripada itu?

AG: Aku ingin supaya engkau tulis surat kepada Penjaga Neraka agar dia tidak mengazabku.

G: Itupun bukan di bawah kekuasaanku. Adakah engkau mempunyai hajat yang lain?

AG: Aku bersama Tuhan Pemilik segala hajat semuanya. Aku tidak meminta sesuatupun hajatku daripadaNya kecuali Dia memberikannya kepadaku.

Akhirnya gabenor melepaskan Abu Ghayyath pergi meninggalkan istananya.

Dari kitab: Zad al-Murabbin.

No comments: