Wednesday, October 03, 2012

DUNIA BERHAJAT KEPADA MUHAMMAD S.A.W.


Perutusan Dr Muhammad Badi', Mursyid Am Ikhwan Muslimin

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas penghulu kita, Pesuruh Allah dan mereka yang setia kepada baginda. Wa ba'du...

Rasa cemburu melonjak-lonjak, semangat kita mebuak-buak, hati kita hangus dibakar marah dan duka ketika kita melihat dan mendengar panah kebiadaban dan kekejian, lidah-lidah yang keji dan jahat menikam belakang insan paling suci, nabi paling agung yang diutus Allah untuk alam seluruhnya, nabi yang merupakan penutup nabi-nabi, imam kepada semua rasul-rasul, rahmat bagi semesta alam, pemilik sirah paling gemilang, manhaj yang paling hebat dan akhlak paling mulia.

Bertambah sedih, bertimpa-timpa rasa duka ketika mana kita menyedari bahawa pada ketika ini, alam seluruhnya amat berhajat kepada orang yang dapat menyelamatkan manusia dari ledakan kebendaan yang mengganas, keruntuhan akhlak yang teruk, kekosongan jiwa yang menyiksakan, kezaliman sistem sosial dan penindasan bangsa-bangsa. Alam seluruhnya berhajat kepada seseorang yang dapat menyelamatkan manusia dari kepincangan dan kecelaruan nilai, neraca, budaya dan undang-undang. Kepincangan yang mengakibatkan umat manusia menderita, hak-hak dicerobohi, maruah diinjak-injak sampai ke tahap disiksa, dirampas, dibunuh bukan sahaja orang dewasa, malah termasuk wanita dan kanak-kanak tanpa kasihan belas, tanpa mengira batasan agama, akhlak dan hati nurani.

Tidak ada yang dapat menyelamatkan umat manusia yang menderita sebegini kecuali wahyu Ilahi, bimbingan Nabi yang diutuskan dan disokong dari langit. Sesungguhnya Muhammad s.a.w. itulah dia Nabi yang dimaksudkan. Dia adalah khatam an-nabiyyin, akhir al-mursalin daripada Allah Ta'ala kepada alam semsta seluruhnya.

Sesungguhnya wahyu turun secara berterusan, rasul-rasul diutus berurutan sejak permulaan kejadian insan dan turunnya Adam dan Hawwa di muka bumi untuk memimpin manusia berpandukan manhaj Allah Ta'ala. "kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.” (To Ha:123)

Sesungguhnya terlalu banyak bilangan nabi dan rasul sabagai tanda kasih sayang Allah Ta'ala terhadap makhlukNya. Sehinggakan terdapat pada masa-masa tertentu lebih daripada seorang nabi pada satu waktu kerana tempat yang jauh dan kesukaran berhubung antara satu sama lain. Sebagai contoh, pengutusan Ibrahim, Ismail, Ishak dan Lut adalah pada masa yang sama. Kemudian Ya'qub danYusuf, Musa dan Harun, Zakariya, Yahya dan Isa (selawat dan salam ke atas mereka semua dan ke atas Nabi Kita Muhammad). Semua mereka diutuskan kepada kaum mereka secara khusus sahaja.

Dan sesungguhnya Isa a.s. adalah nabi terakhir bagi Bani Israel. Dia datang untuk membenarkan Syaria'at Musa a.s., meringankan beban belenggu yang dikenakan ke atas Bani Israel lantaran kezaliman dan permusuhan mereka, dan membawa khabar gembira dengan kedatangan Nabi terakhir, Muhammad s.a.w. Dia (Muhammad berbeza dengan nabi-nabi sebelumnya kerana dia diutus kepada seluruh manusia sebagai basyir dan nazir. "Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad…” (As-Soff:6)

Bahkan kalimah Injil itu sendiri dalam Bahasa Siryan bererti khabar gembira. Di dalam Injil Yuhana, dinyatakan bahawa Isa berkata: “Dan adapun apabila datang ruh al-haq itu, maka dia menunjukkan kamu kepada semua kebenaran kerana dia tidak bercakap dari dirinya sendiri, bahkan semua yang dia dengar dia bercakap dengannya, dan dia mengkhabarkan kamu dengan perkara-kara yang datang kepadanya.” (Yuhana 12:16). Di dalam Barnabas terdapat: “Akan datang misya (rasul) yang diutus daripada Allah kepada seluruh alam. Dan pada ketika itu semua yang di dalam alam sujud kepada Allah dan mendapat rahmatNya.” (82:16-18)

Dan sesungguh jarak yang paling lama antara seorang nabi dengan nabi yang berikutnya adalah jarak antara nabi Isa dengan nabi Muhammad s.a.w. (576 tahun). Hal ini dinyatakan di dalam firman Allah ‘Azza wa Jalla bermaksud: “Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): Tidak datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami). Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang (Rasul) pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Maidah:19)

Maka datanglah Muhammad s.a.w., nabi yang terakhir, membawa kitab suci yang terakhir dan risalah yang terakhir. Dan Maha Benarlah Allah Yang Maha Agung. Sesungguhnya telah 14 abad sejak kelahiran Nabi Muhammad tiada lagi nabi lain yang datang. Keadaan ini membenarkan dan menjelaskan dengan tegas bahawa dia adalah nabi terakhir, pembawa risalah Allah yang terakhir sehingga ke hari qiamat. Mereka yang menanti kedatangan nabi lain adalah satu penantian yang tidak berasas. Tiada lagi rasul selepas nabi Muhammad. Tiada lagi kitab selepas al-Quran.

Ini jika dilihat dari aspek sejarah dan mantiq. Adapun dari aspek kandungi ruhi dan maknawi risalah, maka sesungguhnya risalah Muhammad s.a.w. telah datang untuk menyempurnakan Namus Ilahi dan menyempurnakan kemuliaan akhlak yang telah sama-sama dibina oleh semua nabi dan rasul sebelumnya. Risalah yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w. mengandungi semua factor yang membolehkannya kekal, berterusan dan berkembang di samping media yang menghubungkan antara seluruh pelusuk dunia telah menjadi mudah. Rasulullah s.a.w. telah menghebahkan khabar gembira tentang tersebarnya risalah ini ke serata alam. Baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya din ini akan sampai sejauh mana sampainya malam dan siang.”, “Din ini tidak akan meninggalkan satu rumah di bandar, rumah daripada bulu dan batu kecuali akan dimasukinya.” Inilah dia hakikatnya. Internet merealisasikan telahan kenabian ini. Selain itu, Allah sendiri telah memberi jaminan akan memelihara risalah dan kitab terakhir ini dengan jaminan yang cukup mantap dan utuh. “Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.” (Fussilat:42), “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr:9). Jaminan seperti ini tidak dilakukan terhadap kitab-kitab dan risalah yang dahulu kerana ia didatangkan untuk zaman tertentu dan kaum tertentu. Maka kitab-kitab itu kebanyakannya telah dilupai, diubah dan ditokok tambah.

Sesungguhnya nabi terakhir, Muhammad s.a.w. menjalani kehidupan selama 23 tahun selepas dinobatkan sebagai rasul ketika berusia 40 tahun. Sepanjang tempoh itu baginda melaksanakan manhaj Ilahi pada diri, keluarga, para sahabat dan manusia seluruhnya. Baginda hidup bersama mereka, mengajar mereka bagaimana cara hidup di bumi dengan berpandukan manhaj langit. Baginda membetulkan aqidah, menjelaskan ibadah, meluruskan akhlak, meningkatkan jatidiri, melaksanakan syari’ah, membetulkan muamalat agar terlaksana keadilan dan persamaan di kalangan manusia sejagat, agar mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (An-Nahl:97).

Dialah satu-satunya nabi yang setiap patah kata-katanya, setiap perbuatan, malah setiap perakuannya sepanjang 23 tahun dicatat dan dijadikan sunnah yang lengkap. Sehingga jadilah sunnahnya kekal bersama kitab yang diturunkan sebagai petunjuk yang abadi bagi umat manusia seluruhnya hingga ke hari qiamat. “Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (An-Najm:4)

Khatam an-Nabiy ini telah berjaya menghidupkan ummah dari tiada, melonjakkannya ke mercu kesempurnaan sehingga cahayanya tersebar, kebaikannya melata, prinsip-prinsipnya diterima, pemerintahannya terdiri teguh di tiga benua dalam tempoh kurang daripada 30 tahun. Selepas itu cahayanya terus menjalar sehingga meliputi umat manusia timur dan barat. Cahayanya telah sampai ke Eropah dan mengeluarkan benua itu dari kegelapan kurun pertengahan kepada cahaya ketamadunan menerusi Andalusia, ibu kota tamadun Islam di Negara Barat. Ini diakui oleh pakar sejarah yang jujur serta para ilmuan barat dan timur.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah menegakkan perseimbangan yang adil antara ruh dan jasad bagi merealisasikan kesejahteraan di dalam jiwa insan. Ketika manusia disuruh supaya beramal untuk akhirat, mereka disuruh supaya tidak melupakan nasib mereka di dunia “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia…” (Al-Qasas:77).

Baginda telah merealisasikan ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan keluarga dan rumahtangga. Baginda memerintahkan supaya berkahwin untuk memenuhi tuntutan fitrah, memelihara kesucian maruah diri, membersihkan masyarakat dari gejala maksiat dan memakmurkan bumi. Tambahan kepada itu lagi, aqad perkahwinan dinamakan sebagai mithaqan ghalizho (ikatan yang sangat kuat). Baginda menyusun hubungan antara suami dan isteri, menetapkan hak dan tanggungjawab, menjelaskan peranan dalam mendidik anak, pembahagian harta pusaka dan lain-lain dengan peraturan yang sangat kemas dan sistematik.

Baginda juga meletakkan asas-asas perseimbangan antara manusia dan alam sekitar, menggalakkan manusia mengambil manfaat daripada sumber kekayaan alam di samping memelihara kesejahteraan alam sekitar serta kebersihannya dan memelihara hak-hak generasi akan datang. Lantaran itu manusia dilarang melakukan sebarang kerosakan di atas muka bumi. “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya…”(Al-A’raf:56), “…dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas:77)

Manusia disuruh supaya memakmurkan bumi dan membangunkannya. “Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.” (Hud:61) Nabi menggalakkan bercucuk tanam, membangunkan tanah yang terbiar sehingga ke saat jika berlaku qiamat sekalipun “Apabila berlaku qiamat, sedangkan pada waktu itu di tangan salah seorang kamu ada fasilah, maka hendaklah dia menanamnya.” Fasilah ialah anak benih pokok kurma.

Baginda telah memerintahkan supaya bersikap kasihan belas dan memelihara bangunan-bangunan walaupun ketika perang. Baginda bersabda maksudnya: "Berperanglah dengan Nama Allah. Jangan kamu membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua. Jangan kamu meruntuhkan bangunan dan jangan kamu menebang pokok." Kasihan belas ini tidak terbatas kepada manusia sahaja, malah merangkumi haiwan. "Allah ampuni lelaki yang memberi minum seekur anjing yang menyodok pasir kerana kehausan.", "Sesungguhnya untuk kamu pahala menolong setiap makhluk yang bernyawa."

Justeru, seorang sejarawan Inggeris, William Muir berkata di dalam bukunya “Kehidupan Muhammad”: “Sesungguhnya keistimewaan Muhammad terletak pada kata-katanya yang jelas dan agamanya yang mudah. Sesungguhnya dia telah menyempurnakan amalan yang menakjubkan. Tidak pernah terjadi di dalam sejarah, seorang musleh (reformis) yang membangunkan jiwa, menghidupkan akhlak, meninggikan kemuliaan dalam tempoh yang singkat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Islam, Muhammad.”

Novelis dan ahli falsafah besar Rusia, Tolstoy berkata: “Sesungguhnya Muhammad adalah pengasas dan rasul. Beliau merupakan antara tokoh paling hebat yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat manusia. Cukuplah kebanggaan untuknya bahawa dia telah memimpin umat seluruhnya kepada cahaya kebenaran dan menjadikannya terbang ke dunia yang tenang dan aman serta membuka untuknya jalan ketinggian dan ketamadunan.”

Ahli falsafah Perancis, Walter berkata: “Sesungguhnya sunnah-sunnah yang dibawa oleh Muhammad semua menundukkan jiwa dan mendidiknya sesungguhnya keindahan sunnah itu menarik kita kepada agama Islam dengan cara yang amat mengkagumkan. Lantaran itu pelbagai bangsa di muka bumi ini telah memeluk Islam sehingga Negro di tengah-tengah Afrika dan penduduk di kepulauan sekitar lautan Hindi.”

Saintis Amerika, Michael Hart berkata: “Sesungguhnya Muhammad adalah satu-satunya manusia di dalam sejarah yang berjaya secara tuntas dalam dua bidang, keagamaan dan keduniaan. Beliau menjadi pemimpin politik dan ketenteraan.”

Penulis Inggeris yang terkenal, Bernard Shaw berkata: “Alangkah berhajatnya dunia hari ini kepada seorang lelaki (tokoh) seperti Muhammad s.a.w. supaya dia menyelesaikan masalah yang kronik sambil dia meneguk secawan kopi.” Dan dia berkata lagi: “Sesungguhnya Eropah mula menyedari kebijaksanaan Muhammad dan mula merindui agamanya sebagaimana ia mula membela aqidah Islam setelah dulu menyerangnya. Dan agama Muhammad akan menjadi system yang di atasnya terdiri tiang-tiang kesejahteraan dan kebahagiaan, falsafahnya akan menjadi sandaran kepada menyelesaikan kekusutan dan meleraikan permasalahan yang tenat dan kronik.” Beliau begitu optimis mengemukakan berita gembira dengan katanya: “Sesungguhnya ramai dari kalangan penduduk negeriku, dan orang-orang Eropah lain yang mengagungkan ajaran Islam. lantaran itu aku boleh menegaskan ramalanku bahawa petanda-petanda zaman keislaman sidah terlalu hampir, tidak mustahil lagi.”

Itu merupakan sebahagian daripada pengakuan tokoh-tokoh terkemuka di dunia. Mereka menjadi saksi tentang Nabi Kita yang mulia, Muhammad s.a.w.; kehebatannya, geniusnya, serta keunggulan yang tiada bandingannya dari segi risalah Ilahi yang dibawa untuk menyelamatkan dunia yang dilanda kacau bilau, mengeluarkannya dari gelap kepada cahaya. Maka apakah kemudaratan yang akan menimpa Muhammad dengan celaan dan serangan yang hanya keluar dari mulut manusia-manusia murahan? Hati mereka penuh dengan hasad dengki melihat kebangkitan dan kesedaran umat manusia, yaqzhoh ruhiyyah dan terjetusnya musim bunga di tanah Arab (Arab Spring) yang merupakan satu perisytiharan Islam telah kembali semula sebagai manhaj hidup dan risalah cahaya.

Maka dunia Barat mestilah mendengar kata-kata ahli bijak pandainya dan pengakuan ahli falsafahnya. Ia hendaklah mengenali Rasulullah s.a.w. berlandaskan method ilmiah dan kajian yang bertamadun. Itu yang sepatutnya, bukan mengutuk dan mencela. Ia hendaklah mengetahui bahawa risalah Muhammad s.a.w. adalah satu-satunya yang mampu menghiaskan kemajuan kebendaannya dengan ketinggian ruhi dan keunggulan akhlak, yang dapat menjamin untuknya kebahagian akhirat dan kemewahan dunia dengan sejajar dan seimbang serta ketenangan hati dan kerehatan nurani.

Dunia Arab dan Islam pula mestilah mengalihkan kemarahan mereka terhadap celaan ke atas Rasul yang mulia s.a.w. kepada kebangkitan besar-besaran dan tenaga yang hidup, yang mendorongnya ke tahap kedudukan mereka yang telah diangkat oleh Rasulullah s.a.w. pada hari mereka mengikuti manhajnya dan berjalan di atas sunnahnya. Mereka bertukar, dalam jangka waktu beberapa tahun yang sedikit menjadi (Sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia), yang memiliki ruh yang tinggi, akhlak yang unggul, maju dari segi kebendaan, memiliki kekutan yang sukar dicabar. Mereka menakluk dunia dengan cahaya iman sebelum melebarkan kekuasaan.

Dan wajib ke atas setiap orang yang mencintai Rasulullah s.a.w. memikul risalahnya dengan benar, menyampaikan dakwahnya dengan amanah kepada setiap orang yang mencari kebenaran di dunia yang kini telah menjadi seperti sebuah kampung. Media perhubungan social telah berkembang begitu rupa hingga membolehkan kita menyebarkan petunjuk Rasulullah s.a.w. dengan semua bahasa ke seluruh penjuru dunia agar tersebar cahayanya ke serata alam buana. “Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf:108)

Adapun mereka yang mencaci dan menyakitkan hati, sama ada mereka terdiri dari orang perseorangan, pertubuhan, negara atau badan-badan tertentu maka kami mengingatkan mereka supaya jangat memusuhi Rasul yang mulia. Baginda adalah rasul kamu sebagaimana dia rasul kami kerana dia adalah utusan Allah kepada manusia seluruhnya. “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberiNya dan sebagai lampu yang menerangi.” (Al-Ahzab: 45-46)
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiaa’:107)

والله أكبر ولله الحمد


sumber:
http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=122971




No comments: