Saturday, March 22, 2014

تَبَارَكَ (MAHA SUCI ALLAH)


Satu daripada nama al-Quran ialah al-Furqan yang bermaksud ‘yang membezakan’, iaitu yang membezakan antara haq dengan batil, antara yang benar dengan yang palsu.

Dan di dalam al-Quran, terdapat satu surah bernama al-Furqan, iaitu surah ke 25. Surah itu dimulakan dengan          ( تَبَارَكَ )

Perkataan (تَبَارَكَ ) di dalam surah tersebut diulang sebanyak tiga kali: ayat 1, ayat 10 dan ayat 61.

Apa yang menarik?

Surah 25, ayat 1, 10, 61

2511061 adalah hasil 7 x 358,723

jika diterbalikkan:

1601152 adalah hasil 7 x 228,736

Sedia maklum, 7 adalah satu angka unik yang sangat berkaitan dengan kebanyakan ajaran Islam serta kehidupan kita seperti terdapat 7 hari di dalam seminggu, langit 7 lapis, al-Fatiha 7 ayat, tawaf 7 keliling, sujud di atas 7 anggota dan lain-lain.

Ini menunjukkan betapa rapinya susunan ayat-ayat al-Quran sehinggakan nombor surah serta perkataan dan ayat-ayatnya tidak diletak secara rambang. Bahkan semuanya diatur begitu rupa.

Mampukah manusia yang mengaturnya atau itu merupakan perancangan yang Maha Mengetahui segala-gala?

Wednesday, March 12, 2014

Al-Quran Yang Tiada Keraguan Tentang Kebenarannya


Sebagai muslim, kita tidak pernah ragu bahawa sesungguhnya al-Quran merupakan Kalam Allah, mukjizat teragung yang diturunkan kepada Rasul-Nya yang terakhir, Muhammad s.a.w.

Mukjizat bermaksud sesuatu yang melemahkan, yang tidak mampu ditiru, ditandingi dan disaingi oleh mana-mana pihak. Ini terbukti sejak mula diturunkan, Allah Ta'ala mencabar golongan musyrikin yang enggan mempercayai kebenaran Nabi s.a.w. agar mendatangkan sebuah kitab yang serupa, atau kalau tidak boleh, datangkan sepuluh surah, atau hanya satu surah. Namun, semua cabaran itu tidak mampu dipenuhi sehinggalah ke hari ini.

Keajaiban dan keagungan Kitab Suci al-Quran terbukti dari berbagai-bagai sudut; isi kandungan, gaya bahasa, cakupan ilmunya dan bermacam-macam lagi.

Al-Muhandis dari Syria, Abdul Da'em al-Kaheel mengkaji keajaiban al-Quran dari sudut sains dan angka, bilangan huruf serta ayat-ayat yang terdapat di dalam al-Quran.

Al-Quran diturunkan di dalam Bahasa Arab dan ditulis dengan menggunakan huruf hijaiyyah (alif, ba, ta – sampai ya).

Sebagai contoh, ambil huruf "QAF". Qaf adalah huruf pertama bagi perkataan Quran.

Beberapa surah tertentu dimulakan dengan huruf hijaiyyah yang tidak disambung bacaannya dikenali sebagai huruf muqatto'ah, seperti alif lam mim, alif lam ra, nun dan lain-lain. Terdapat dua surah dimulai dengan huruf "QAF", iaitu surah "Qaf" dan surah "asy-Syura" ('ain sin qaf). Kalau kita perhatikan semua surah-surah yang dimulakan dengan huruf muqatto'ah, mengandungi penegasan tentang kebenaran al-Quran dan wahyu yang diturunkan. Demikian juga surah "Qaf" dan "asy-Syura".

Kedua-dua surah ini merupakan surah makkiyyah. Qaf mengandungi 45 ayat, manakala asy-Syura 53. 

Yang menakjubkan, di dalam surah Qaf yang mengandungi 45 ayat itu terdapat 57 kali huruf "Qaf". Dan di dalam surah asy-Syura yang mengandungi 53 ayat juga terdapat 57 kali huruf "Qaf".

57 + 57 = 114 bersamaan dengan bilangan surah di dalam al-Quran.

Apakah ini kebetulan, atau bukti perancangan Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Teliti lagi Maha Mengetahui ....

Sunday, March 09, 2014

Pray4MH370


Tiba-tiba kita dikejutkan dengan satu tragedi yang tidak disangka-sangka, Penerbangan MH370, sebuah pesawat Boeing 777-200 dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA, hilang di ruang udara Vietnam.

Pesawat itu membawa 239 penumpang, termasuk 12 anak kapal. Terdapat 152 warga China dan 38 rakyat Malaysia dalam pesawat itu.

Sehingga kini, sudah lebih 30 jam dilaporkan hilang, tidak ada khabar berita, tiada petunjuk yang sahih untuk mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku dan apakah puncanya. Semua kita, terutamanya ahli keluarga hanya mampu berdoa dan berharap agar semuanya akan selamat.

Sesungguhnya, tepat seperti kata pepatah orang tua-tua "malang tidak berbau". Oleh itu kita mesti sentiasa bersedia menghadapi apa saja takdir yang akan menimpa sama ada baik atau sebaliknya. Sebagai muslim, kita wajib percaya bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Sebagai warganegara Malaysia yang muslim dan selalu memilih MAS sebagai wahana perjalanan merentas negara dan benua, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan. Sebahagian daripada cadangan ini saya pernah tulis di dalam kertas soal selidik yang diedarkan semasa saya menaiki MAS.

Saya tidak bermaksud bahawa cadangan yang saya kemukakan ini jika dilaksanakan dapat mengelak tragedi malang seperti yang berlaku sekarang. Tetapi sekurang-kurang jika ditakdirkan berlaku juga, maka yang pergi sama ada penumpang atau anak kapal akan pergi dalam keadaan husnul-khatimah.

Pertama – Penyediaan arak atau minuman keras. Semua sedia maklum bahawa minuman itu haram di sisi Islam dengan nas al-Quran (Surah al-Maidah 5:90). Kita membawa nama sebuah negara Islam dan tercatat pula di dalam perlembagaan, Islam sebagai agama persekutuan. Namun secara terang dan nyata melanggar hukum Islam. Bukankah itu suatu kejanggalan yang amat nyata? Adakah kita takut akan kehilangan penumpang jika tidak menghidang minuman yang Allah haramkan itu? Tidakkah kita beriman bahawa Allah yang memberi rezeki atau ar-Razzaq? Dan dalam keadaan kita tidak berhenti mengedar arak, MAS dilaporkan rugi juga (http://www.beritasemasa.com.my/mas-rugi-lagi-malaysia-airlines). Maksudnya, rugi bukan kerana tidak edar arak. Dan andaikata untung besar dengan hidang arak, bolehkah keuntungan itu kita gunakan untuk menebus laknat Allah?
Oleh itu, saya menyeru dan merayu pihak pengurusan MAS agar berhenti segera daripada menyediakan minuman itu. Selamatkan kakitangan MAS dari laknat Allah. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Allah melaknat arak: orang yang meminumnya, orang yang memberi minum kepada orang lain, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang memerahnya, orang yang diperah untuknya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya dan orang yang memakan harganya." Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, dan al-Hakim daripada Ibn Umar radhiallahu 'anhuma. Dan daripada Anas radhiallahu 'anhu, dia berkata "Nabi s.a.w. melaknat pada arak itu sepuluh perkara: orang yang memerahnya, orang yang diperah untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang memberi minum kepada orang lain, orang yang menjualnya, orang yang makan harganya, orang yang membelinya dan orang yang dibeli untuknya." Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah.

Kedua – Pakaian peramugari. Sedia maklum, wanita Islam wajib berpakaian menutup aurat berdasarkan firman Allah (Surah an-Nur 24:31 dan al-Ahzab 33:59). Sekiranya pihak pengurusan belum bersedia untuk mewajibkan pakaian yang menutup aurat ke atas peramugari yang beragama Islam, berilah peluang kepada mereka yang memilih untuk memakai pakaian yang menutup aurat untuk memakainya. Dengan itu pihak pengurusan tidak dianggap sebagai penghalang kepada kakitangan yang hendak melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya berpakaian menutup aurat tidak langsung mengganggu tugas sebagai peramugari. Ini terbukti di mana peramugari yang bertugas di dalam penerbangan sewa khas yang membawa jamaah haji ke tanah suci, semuanya berpakaian menutup aurat. Dan mereka dapat menjalankan tugas dengan cemerlang sekali.

Ketiga – Masalah solat. Dalam perjalanan yang jauh, ramai penumpang muslim yang tidak solat sedangkan solat adalah tiang agama, rukun Islam paling penting selepas syahadah. Tidak ada alasan untuk meninggalkan solat secara sengaja. Mereka tidak solat mungkin kerana tidak mengetahui masuknya waktu solat atau tidak mengetahui cara untuk menunaikan solat di dalam pesawat. Oleh itu dicadangkan, buat pengumuman setiap kali masuk waktu dan sediakan video tentang cara-cara berwuduk dan cara-cara menunaikan solat di dalam pesawat. Dengan itu, pihak pengurusan MAS telah melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan mungkar. Mereka yang tidak solat tidak boleh lagi menyalahkan pihak pengurusan tidak menyediakan kemudahan untuk mereka.

Keempat – Doa. Doa adalah senjata orang beriman. Allah sayang kepada hambaNya yang berdoa dan telah mengajar pelbagai jenis doa, termasuk doa menaiki kenderaan dan doa musafir. Beberapa syarikat penerbangan dari negara Islam lain seperti Egypt, Qatar memasang doa-doa tersebut ketika hendak berlepas. Dicadangkan MAS juga memasang doa-doa itu yang sabit daripada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Dengan itu, diharapkan perjalanan akan diberkati dan dilindungi dari bencana dan bahaya yang tidak diduga.



Itulah serba sedikit cadangan yang sangat mudah untuk dilaksanakan. Mudah-mudahan kita terelak daripada laknat Allah. Kita berusaha dan mencari jalan supaya kita mati dalam keadaan Allah redha dan husnul-khatimah (kesudahan yang baik).

Ya Allah, hambaMu telah sampaikan. Saksikanlah.




Tuesday, March 04, 2014

Siapakah Ahli Kitab?



Ahli Kitab ialah Yahudi dan Nasrani sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim. Allah yang menamakan mereka ahli kitab kerana mereka memiliki kitab yang diturunkan Allah kepada Bani Israel, iaitu Taurat kepada Nabi Musa dan Injil kepada Nabi Isa ‘alaihimas-salam. “Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. Supaya kamu tidak mengatakan: Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka.” (Al-An’am:155-156)
Ahli Kitab juga termasuk dalam golongan orang-orang kafir dan musyrik sama dengan penyembah berhala, penyembah bintang dan cakrawala serta lain-lain. Namun mereka diberikan hukum yang khusus disebabkan mereka pernah menerima kitab samawi daripada Nabi-nabi mereka yang terdahulu, iaitu kitab Taurat daripada Nabi Musa dan kitab Injil daripada Nabi Isa. Antara hukum yang khusus bagi mereka ialah:
a.   Halal memakan sembelihan mereka, iaitu binatang yang mereka sembelih untuk makan, bukan sembelih untuk selain Allah atau menyebut nama selain Allah ketika sembelih dan daging itu tidak bercampur dengan bahan-bahan lain yang haram dimakan oleh umat Islam. Allah berfirman maksudnya: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)…” (Al-Maidah:5)
b.   Dihalalkan atau diharuskan lelaki muslim berkahwin dengan wanita-wanita mereka yang baik, yang memelihara kesucian diri dan yang merdeka. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah:5)

Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah, ahli kitab yang dihalalkan untuk makan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka terdiri dari dua kategori:
Kategori Pertama: Bukan keturunan Bani Israel. Mereka ini boleh dibahagikan kepada beberapa golongan:
Pertama: Golongan yang diketahui telah memeluk agama Yahudi dan Kristian sebelum kedua-dua agama itu diselewengkan dan dinasakhkan. Golongan ini, halal berkahwin dan makan sembelihan mereka.
Kedua: Golongan yang diketahui menganut agama itu selepas diselewengkan tetapi sebelum di nasakhkan. Sekiranya mereka tetap berpegang dengan yang benar dan menjauhi apa yang diselewengkan, hukum mereka sama dengan yang pertama. Sekiranya mereka mengikuti agama yang telah diselewengkan, maka tidak halal berkahwin dengan mereka.
Ketiga: Golongan yang diketahui menganut kedua-dua agama itu selepas diselewengkan dan dinasakhkan, maka tidak halal berkahwin dan makan sembelihan mereka.
Jadi, golongan yang menganut agama Yahudi dan Kristian selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tidak haruslah berkahwin dengan mereka.
Keempat: Golongan yang tidak diketahui bilakah mereka menganut agama itu, maka tidak halal berkahwin dengan mereka.

Kategori Kedua: Ahli Kitab dari keturunan Bani Israel. Imam an-Nawawi berkata, ramai di kalangan fuqahak asy-Syafi’eiyyah berkata harus berkahwin dengan wanita Bani Isreal tanpa mengira sama ada datuk nenek mereka menganut agama itu sebelum penyelewengan atau selepasnya. Namun beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu.
Walau bagaimanapun, wanita Bani Israel yang datuk nenek mereka menganut Yahudi atau Kristian selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada beza dengan wanita ahli kitab yang lain, haram berkahwin dengan mereka.

Kesimpulannya ahli kitab yang merupakan penganut agama Yahudi dan Nasrani tetap ada sehingga sekarang. Namun adakah sembelihan mereka halal dimakan dan wanita mereka halal dinikahi oleh lelaki muslim, bergantung kepada syarat-syarat yang diterangkan di atas.

Hukum lelaki Muslim berkahwin dengan  wanita Ahli Kitab

Allah Ta’ala mensyari’atkan perkahwinan dan menetapkan golongan yang haram dan halal dikahwini. Lelaki yang beriman dituntut supaya memilih wanita yang beriman sebagai isterinya. Wanita yang musyrikah haram dikahwini oleh lelaki muslim walaupun musyrikah itu mempunyai daya tarikan yang cukup hebat. Begitulah juga sebaliknya, wanita yang beriman wajib memilih lelaki yang beriman sabagai suami. Lelaki yang musyrik tidak halal berkahwin dengan wanita muslimah walau bagaimana kacak sekalipun. Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” (Al-Baqarah:221)

Alasan kenapa lelaki dan wanita beriman diharamkan berkahwin dengan pasangan yang tidak beriman ialah: “(Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke Neraka sedangkan Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (Al-Baqarah:221)

Walau bagaimanapun, Allah mengecualikan daripada golongan musyrikah itu, wanita Ahli kitab atau kitabiyyah. Ini kerana kitabiyyah mempunyai persamaan dengan muslimah dalam sesetengah kepercayaan atau aqidah seperti beriman kepada Allah, hari akhirat, adanya perhitungan amal dan lain-lain. Dengan itu adalah diharapkan dapat memudahkan mereka menerima Islam. Keharusan berkahwin dengan kitabiyyah adalah dengan syarat mereka terdiri dari wanita yang muhsonat sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan…” (Al-Maidah:5). 

Perkataan muhsonat dalam ayat itu bermaksud wanita yang menjaga maruah dan kesucian diri serta tidak berzina. Kitabiyyah yang tidak menjaga maruah dan kesucian diri, tidak halal berkahwin dengan mereka. Hal ini ditegaskan oleh Sayyidina Umar al-Khattab. Beliau melarang para sahabat r.a. berbuat demikian. Selain daripada syarat muhsonat, menurut Mazhab asy-Syafi’ei mereka mestilah terdiri dari keturunan yang telah menganut agama Yahudi dan Nasrani sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. (rujuk pandangan Imam an-Nawawi yang telah diperincikan di atas) Oleh itu, wanita yang baru menganut kedua-dua agama itu tidak termasuk di dalam kalangan kitabiyyah yang halal dikahwini oleh lelaki muslim.

Oleh kerana keharusan lelaki muslim berkahwin dengan kitabiyyah merupakan pengecualian daripada hukum asal, iaitu haram berkahwin dengan non muslim, maka pengecualian ini tidak boleh diberikan kepada muslimah  kerana hukum asal adalah haram. Harus itu satu pengecualian yang Allah beri kepada lelaki muslim untuk berkahwin dengan kitabiyyah, bukan kepada wanita muslimah untuk berkahwin dengan lelaki ahli kitab.